Monday 20 May 2013

NAKHAEI SERU ANWAR JADI MUSLIM YANG BAIK......



KUALA LUMPUR, 20 Mei – Bekas Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (Pas), Datuk Nakhaei Ahmad menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menjadi seorang Muslim yang baik dan berguna untuk masyarakat  Islam di negara ini dan berhenti daripada menjadi seorang pengkhianat yang melampaui batas.

Jelasnya, Anwar sepatutnya bermuhasabah diri di atas kekalahan Pakatan Pembangkang pada PRU kali ini dan bukannya bertindak menghasut rakyat serta menyalahkan pihak lain di atas kekalahan pakatan pimpinannya itu.
“Saya yakin, Anwar tahu bahawa PRU kita memang telus. Dia tahu tentang itu. Jika benar PRU di negara ini boleh dicatur, saya rasa adalah lebih baik BN mengatur keputusan di Permatang Pauh untuk menjatuhkan beliau.
“Saya cuma mahu ingatkan Anwar, janganlah mencampur adukkan antara perkara yang hak dan batil dan jangan menyembunyikan perkara yang benar sedangkan dia mengetahuinya,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambahnya lagi, Anwar mungkin sudah terlupa tentang kekuasaan Allah dalam memberikan kerajaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan mencabut kerajaan dari siapa yang Dia kehendaki.
“Dulu Anwar hanya selangkah lagi untuk menjadi Perdana Menteri tetapi seperti yang saya sebutkan, Allah akan memberikan kekuasaan, pangkat dan jawatan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
“Apabila Allah tidak mengkehendaki untuk memberikan kerajaan atau kekuasaan, maka Allah akan mengadakan pelbagai sebab untuk menarik atau mencabut kekuasaan itu. Dan itulah yang terjadi kepada dirinya (Anwar). Beliau harus sedar tentang perkara itu,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau menyeru Anwar agar kembali ke pangkal jalan, bermuhasabah diri dan memperbaiki diri untuk menjadi seorang Muslim yang baik dan bermanfaat kepada ummah.
“Anwar perlu sedar, sudah ramai rakan-rakannya yang ikhlas dalam perjuangan, yang dulunya sanggup berkorban apa saja untuk beliau, kini seorang demi seorang telah meninggalkan beliau. Apakah rakan-rakan yang meninggalkan Anwar itu salah semuanya dan Anwar saja yang betul?
“Sudah tentu ada sebab musabab yang menyebabkan mereka meninggalkan perjuangan Anwar walaupun sudah ada yang berpuluh tahun bersama dengan beliau. Anwar perlu sedar hakikat ini dan rakyat juga perlu melihat perkara ini dengan fikiran yang terbuka,” jelasnya. -MediaUMNO

No comments: