Tuesday 26 March 2013

OPS DAULAT : KELAPARAN, TIDAK BERMAYA, PENGGANAS SULU SERAH DIRI....



LAHAD DATU : Tidak makan selama lebih dua minggu menyebabkan seorang lelaki bersenjata Sulu akhirnya menyerah diri kepada pasukan keselamatan pada Isnin.
Lelaki bersenjata itu dalam keadaan lemah menyerah diri kepada anggota keselamatan menerusi sebuah paya dekat Kampung Tanjung Baru pada kira-kira pukul 5 petang, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa.

“Lelaki itu dalam keadaan sangat lemah, dia kelaparan dan tidak cukup tidur sejak beberapa minggu,” katanya, sambil menambah, saki-baki lelaki bersenjata yang lain akan datang menyerah diri tidak lama lagi. (mStar Online)
SEBELUM ITU....Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata seramai 429 individu telah ditangkap dan daripada jumlah itu 116 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 42 daripadanya telah dibebaskan.
Beliau berkata 42 mayat musuh telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran termasuk dua mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dua hari lepas, manakala 29 mayat telah dikebumikan.

Dalam pada itu, Khalid berkata 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo telah dibawa masuk ke perkampungan terbabit pagi ini bersama pegawai dari Pejabat Daerah Lahad Datu bagi membolehkan mereka melawat rumah dan harta benda masing-masing.

Ini adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara serta Majlis Daerah Lahad Datu, dan dibantu Majlis Keselamatan Negeri bagi menilai kerosakan dan jumlah ganti rugi yang perlu diberikan.

Berhubung seorang pengganas Sulu yang menyerah diri di kawasan Kampung Tanjung Batu petang semalam, Khalid berkata keadaan fizikal militan itu yang lesu setelah 15 hari tidak menjamah makanan adalah gambaran kepada keadaan yang dialami saki-baki pengganas yang bersembunyi di kampung terbabit.

"Jadi kita harap pengganas lain yang berada di dalam semak dan paya berhampiran supaya turut berbuat demikian kerana sudah ketiadaan bekalan makanan selain kehilangan arah berikutan pemerintah tentera mereka telah ditangkap," katanya. BERNAMA

No comments: