Monday 18 February 2013

KERETA MCLAREN RM3.6 JUTA MILIK ROSYAM NOOR...???


KUALA LUMPUR - Pelakon dan penerbit drama terkenal, Rosyam Nor semalam menafikan dakwaan bahawa dia membeli sebuah kereta mewah jenama McLaren MP4-12C yang dianggarkan berharga RM3.6 juta di negara ini.

Rosyam, 46, ketika dihubungi memberitahu, kereta yang dibina dengan menggunakan teknologi Formula 1 itu sebenarnya dipinjam daripada seorang rakan untuk sebuah drama lakonannya yang bakal ditayangkan di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi.

"Sumpah kereta itu bukan milik saya. Ia berharga lebih RM3 juta, mana mungkin saya mampu membelinya," tegas pelakon filem Castello itu.



Menurut beliau, meskipun syarikat penerbitan miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. telah banyak menerbitkan drama dan filem tempatan, namun dia menyifatkan kejayaan tersebut belum cukup untuk membolehkan dirinya membeli super car seperti itu.

"Saya bersyukur atas segala rezeki yang telah dikurniakan kepada saya melalui pengiktirafan serta kejayaan yang diperoleh melalui Suhan Movies, namun belum tiba masanya untuk saya memiliki kereta tersebut.

"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa segala kejayaan yang saya peroleh melalui syarikat penerbitan itu adalah hasil daripada kerjasama pelbagai pihak termasuk para pelakon dan pengarah yang telah banyak memberikan sumbangan serta idea dalam usaha kami menerbitkan drama-drama tempatan," katanya.


Semalam, sebuah blog hiburan tempatan melaporkan bahawa Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin telah membeli sebuah kereta McLaren MP4-12C yang dianggarkan berharga RM3.6 juta.

Turut dimuatkan dalam blog tersebut ialah sekeping gambar yang menunjukkan dia sedang berada di pekarangan sebuah rumah sambil melihat ke arah kereta McLaren yang berwarna hitam itu.
Dalam perkembangan yang lain, Rosyam memberitahu, bahawa dia akan terbang ke Bangkok, Thailand pada minggu hadapan bagi menyiapkan proses terakhir pembikinan filem terbaharu terbitan Suhan Movies iaituBalistik yang diarahkan oleh Silver.

"Selepas kejayaan filem Castello pada 2006, kini saya kembali di layar perak untuk filem ala gangster yang kedua terbitan Suhan Movies.

"Selain itu, sebuah lagi filem terbitan Suhan Movies berjudul Isyarat Cinta sedang giat disiapkan dan ia diarah oleh pengarah KL Menjerit, Bade Azmi," ujarnya.

Filem pertama terbitan syarikatnya, Castello yang ditayangkan pada tahun 2006 berjaya mencatat kutipan mencecah RM1.56 juta.

Anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu juga telah memenangi pelbagai anugerah dalam dunia lakonan.

No comments: