Thursday 17 May 2012

KEMERIAHAN SAMBUTAN HARI GURU DI SEKOLAH KU.....


Gurubesar sedang memberikan ucapan


UCAPAN YDP PIBG....


ASSALAMUALAIKUM WBT….

Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru sekalian.

Saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, samada yang masih berkhidmat sekolah ini ataupun yang telah bersara atau berpindah dari sekolah ini. Saya bagi pihak PIBG ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa kampung ini demi untuk masa depan yang lebih cemerlang.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
.
Tarikh 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya. Tidak kiralah siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu dan berguna. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara.Berdasarkan kepada sumbangan para guru maka tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.
.
Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan idea dan kepakaran yang diterpakan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengaplikasi segala sumber ilmu melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi.

Sebenarnya usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan boleh di pandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu  bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah mereka yang berjaya dan tersohor di tengah-tengah masyarakat.
.
Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan, termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala para pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat  inteleknya, malah beradab dan berintegriti. Itulah antara perkara yang ingin dicapai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Guru-guru dan anak-anak sekalian,

Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan para pelajar. Sering kita mendengar para pelajar yang bertindak di luar batas keagamaan dan sosial seperti merakam aksi ghairah, membuli rakan-rakan serta melakukan jenayah akibat terpengaruh dengan perkembangan yang bersifat negatif. Saya ingin menyatakan bahawa kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah.  Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini.
.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja. Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melenting sekiranya anak kita ditegur oleh guru dan ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. 

Guru-guru dan anak-anak sekalian,

Walaupun telah banyak pencapaian yang dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara dapat berlaku secara berterusan dan adalah penting untuk dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.

Untuk menjadi murid yang cerdas, adalah mustahak anak-anak kita mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi  maka  Dasar 1Murid 1Sukan telah diperkenalkan. Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) juga telah dilaksanakan sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dimulakan di sekolah lagi supaya anak-anak kita mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada bahasa Kebangsaan yang merupakan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita. Namun begitu, kita juga sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah amat penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa utama di dunia.

Malah banyak lagi sebenarnya dasar2 pendidikan yang telah dilakukan oleh kerajaan dan semuanya adalah demi untuk memartabatkan profession keguruan agar pencapaian yang cemerlang akan menjadi pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian di peringkat sekolah.

Selain itu, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibubapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.

Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses transformasi pendidikan di negara kita dengan cemerlang. Atas segalanya, guru-guru yang berinovatif mampu melonjakkan transformasi pendidikan Negara. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan kudrat gurulah kita membina masa depann yang sejahtera.

Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan guru-guru adalah ibubapa kedua kepada anak-anak kita.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang sentiasa sabar anak-anak murid untuk mempastikan kecemerlangan murid dan sekaligus sekolah . Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.

“Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.

Sekian.  Wabillahi taufiq wal hidayah…. Wassalamualaikum wbt…

PK 1 membacakan doa...






Ikrar Hari Guru



Membelah pulut kuning... simbolik sambutan Hari Guru tahun ni





Guru-guru yang sambut hari lahir pada hari guru, turut diraikan...



Lukis dan teka...



Gelak guling bila teringat lukisan terakhir cikgu ni .....18 sx .... hehehe


Gemuruh jiwa... semangat membara.....






Wind of change......



Guru lelaki paling popular...



Guru wanita paling popular......


SAMBUTAN.... SIMPLE TETAPI MERIAH.....
HUJAN LEBAT TIDAK MENGHALANG MAJLIS BERJALAN LANCAR...


***BP selalu dipanggil cikgu, walaupun bukan seorang cikgu..... BP macam cikgu ke? huhu....

No comments: