Tuesday 13 November 2012

AWAS..!!! JERAT PERCINTAAN INTERNET...!!!

AWAS! Bukit Aman Dedahkan Ratusan Wanita Malaysia Mangsa Penipuan 'Asmara Dalam Internet'

Apakah itu Internet Romance Scam?

Internet Romance Scam merupakan sejenis penipuan atas talian yang melibatkan situasi di mana penipu mengenal pasti mangsa mereka menerusi laman sosial atau laman web suai kenal dan seterusnya cuba mendekati dan menjalin hubungan cinta.



Melalui laman ini, penipu akan menggunakan identiti yang menonjolkan mereka sebagai teman cinta sejati yang sempurna.

Mereka sanggup menghabiskan masa dan tenaga untuk memperoleh kepercayaan mangsa, menggoda mereka serta menyatakan keinginan untuk berkahwin.


Kata-kata manis dan pujukan cinta dan sayang yang dilafazkan sebenarnya merupakan sebahagian daripada skrip yang telah kerap kali digunakan dan sasaran mereka ialah untuk memanipulasikan keadaan emosi dan kelemahan mangsa.

Namun di sebalik semua ini, tujuan sebenar mereka ialah untuk memperdaya mangsa dan mengaut sejumlah besar wang ringgit daripada mangsa.


Betapa seriuskah jenayah ini?

Bilangan kes Internet Romance Scam semakin meningkat di seluruh dunia. Di UK, seramai 230,000 orang dianggarkan telah menjadi mangsa jenayah ini.

Pihak polis Singapura melaporkan kenaikan sejumlah 41 kes pada tahun 2011 dari 21 kes pada tahun 2010. ‘Australian Competition Consumer Commission’ menganggarkan kerugian keseluruhan oleh mangsa Internet Romance Scam berjumlah AUS$21.9juta.


Di Malaysia, The Star melaporkan bahawa Internet Romance Scams adalah tersenarai sebagai jenayah komersil kedua tinggi.

Harian Metro turut melaporkan bahawa dalam 8 bulan pertama tahun 2011, seramai 774 wanita Malaysia telah diperdaya dengan jumlah kerugian sebanyak RM24juta. 

'The Scam Survivor Handbook' yang diterbit oleh Romancescams.org pada tahun 2010, telah mengenalpasti negara Malaysia sebagai kawasan hitam yang terbaru, di mana penipu-penipu memasuki sempadan Malaysia menggunakan visa pelajar, tetapi sebenarnya menjalankan operasi penipuan.

Apakah kesan negatif akibat jenayah ini?

Internet Romance Scam bukan sahaja memberi kesan negatif kepada diri mangsa, tetapi turut melibatkan pihak keluarga mangsa serta masyarakat.

Berikut adalah kesan negatif akibat jenayah ini:

-Kerugian kewangan – Sesetengah mangsa mengalami kerugian besar wang ringgit, berhutang dengan bank atau ‘ah long’, muflis, atau kehilangan duit simpanan.

-Kesan emosi dan psikologi – Sesetengah mangsa mengalami gangguan tekanan selepas trauma, kemurungan, membunuh diri, dll.


-Kecurian identiti – Maklumat peribadi mangsa diguna untuk memperdaya mangsa lain.


-Peras Ugut – Penipu memeras ugut mangsa menggunakan foto atau video eksplisit yang dikongsi dengan mereka, atau mengancam akan mencari mangsa di alamat rumah.


-Gangguan seksual – Sesetengah mangsa yang diperdaya untuk bersemuka dirogol atau diculik dan kemudiannya diperas ugut.



Syaitan....!

-Penglibatan dalam aktiviti jenayah – Tanpa disedari, sesetengah mangsa terlibat dalam jenayah menunaikan cek palsu atau pengedaran dadah.

-Perpecahan keluarga – Hubungan anak- ibu bapa atau suami-isteri retak disebabkan oleh penglibatan dalam Internet romance scam atau kerugian wang ringgit.


-Kesangsian dalam masyarakat – Kesangsian di antara ahli masyarakat yang melampau menyebabkan kes yang benar-benar memerlukan bantuan terabai.


Apakah cabaran yang dihadapi semasa memerangi jenayah ini?

Jenayah Internet Romance Scam tidak mudah dibendung. Ini kerana bilangan penipu meningkat dengan kadar yang cepat di seluruh dunia berbanding dengan bilangan mangsa yang melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa.

Teknik penipuan yang digunakan pula kerap berkembang.

Tambahan lagi, penipu ini tidak beroperasi secara individu, tetapi di bawah sindiket yang sistematik dan mempunyai sumber yang luas.

Mereka biasanya beroperasi dari kedai kafe siber.

Mereka juga bijak menutup jejak operasi mereka dan ini menyukarkan tugas pihak berkuasa untuk mengesan, memberkas dan menuduh penjenayah ini.

Biasanya, wang yang dihantar kepada penjenayah ini sukar dikesan dan berkemungkinan besar tidak dapat dituntut kembali.

Penipu Internet Romance Scam juga sering menggunakan identiti palsu untuk mendekati mangsa.

Oleh itu, foto serta video yang mangsa nampak atau peroleh sebenarnya dicuri dari laman web suai kenal, agensi model, laman web sosial, atau dari mangsa lain.


Dengan itu, sekiranya tangkapan dibuat, pihak berkuasa masih mungkin menghadapi kesukaran untuk mengaitkan individu yang ditahan dengan identiti penipuan yang digunakan.

Apakah cara untuk memerangi Internet Romance Scams?


Menurut kitab perang Sun Tzu, “dalam sesuatu peperangan, sekiranya kita mengenali siapa musuh kita dan siapa diri kita, kita tidak akan mudah kalah”.

Oleh itu, kita perlu meningkatkan pengetahuan kita mengenai Internet Romance Scams.

Kita perlu memahami cara penipu ini beroperasi, rahsia kejayaan mereka, jenis mangsa yang disasarkan, dan sebagainya.

Kemudian, bersama kita menyebarkan maklumat ini kepada individu di sekeliling kita dan mendidik orang ramai mengenai taktik dan teknik penipuan bagi mengelak diri dari mudah terpedaya.

Lebih ramai yang menyedari mengenai penipuan ini, lebih sukar bagi penipu ini untuk mencari mangsa.

Mereka yang pernah menjadi mangsa merupakan individu penting kerana pengetahuan dan pengalaman yang pernah dilalui.

Sekiranya pengalaman ini dikongsi bersama pihak berkuasa dan orang ramai, pengetahuan yang dimiliki boleh digunakan untuk melindungi dan mengelakkan individu lain dalam masyarakat kita menjadi mangsa Internet Romance Scam. (Facebook PDRM)


No comments: