Monday 1 October 2012

KUCING BOLEH DIMAKAN...???


Sampai hatikah anda menyembelih kucing gebu dan comel peliharaan anda untuk di masak bagi hidangan makanan anda sekeluarga.... Urghhh!!! Kerja giler!!!

Kita ikuti apa pendapat dan pandangan Ketua Pengarah DVS, Datuk Mohamed Radzuan Malek yang mengatakan bahawa TAK SALAH MAKAN KUCING.......

Mohamed Radzuan Malek
Datuk Mohamed Radzuan Malek

“Memakan kucing bukan satu kesalahan mengikut undang-undang negara. Justeru pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan ke atas individu yang memakan daging haiwan tersebut,” demikian kata Pengarah Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Mohamed Radzuan Malek.

Tegasnya, sehubungan itu masyarakat perlu membetulkan persepsi terhadap fungsi DVS sebelum sewenangnya menuding jari ke arah kerajaan berkaitan semua permasalahan haiwan termasuk  kes kucing dimakan oleh manusia.

Beliau menjelaskan, bukan DVS tidak menerima aduan. Bagaimanapun mengikut prinsip penguatkuasaan, kucing bukan tergolong haiwan ternakan yang diiktiraf sebagai makanan tetapi tidak menjadi kesalahan di sisi perundangan negara jika ada memakannya seperti juga masyarakat lain yang memakan anjing, khinzir atau monyet.

Namun beliau tidak menafikan bukan kejadian haiwan dimakan itu yang menjadi fokus, tetapi adalah tindakan awal si pemakan ketika proses mematikan haiwan tersebut seperti memukul, mencucuk atau menyembelihnya yang didakwa zalim.

“Kita faham tanggapan masyarakat mengatakan berlaku kezaliman tetapi mengikut Akta Binatang 1953, adalah tidak salah  perbuatan seperti itu dilakukan sekiranya untuk penyediaan makanan.

"Sama juga seperti kita mengetuk kepala ikan keli ketika menyiangnya,” ujar Mohamed Radzuan.

Beliau menambah, kezaliman yang dilontarkan terlebih dahulu mesti didefinisikan mendalam oleh masyarakat terutama pihak komuniti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib haiwan jalanan. Ia perlu ditafsirkan selari dengan prinsip perundangan yang dimiliki oleh negara  ini.

Mohamed Radzuan berkata, satu saluran yang khilaf sekiranya terus menghalakan kepada DVS semata-mata dalam isu makan kucing ini.

“Perlu diingat, DVS bukan berkonsep seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat. Misalnya ada tempat perlindungan haiwan. Tetapi DVS mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan perundangan ke atas penzalim haiwan bagi melindunginya,” ujar Mohamed Radzuan.

Antara perlindungan daripada kezaliman itu bermaksud seseorang manusia tidak boleh memukul, menendang, menunggangnya secara berlebihan, tidak memberi makan minum secukupnya, menyebabkan penderitaan, memaksa binatang yang sakit membuat kerja dan melagakan haiwan.

Mohamed Radzuan berkata, bahkan pemelihara haiwan tidak boleh memaki hamun atau berkasar ke atas haiwan itu dan beginilah perlindungan ke atas haiwan.  

"Tetapi jika kezaliman itu dilakukan untuk tujuan penyediaan makanan bukan dianggap zalim mengikut persepsi undang-undang,” akhiri beliau.

SUMBER :  Sinar Harian  1/10/12

No comments: