Wednesday 3 October 2012

KENDERAAN KALIS PELURU, PENJENAYAH GAGAL ROMPAK PENGURUP WANG

ANGGOTA polis memeriksa Toyota Hilux kalis peluru yang terlibat dalam kejadian cubaan merompak di Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU  :  Umpama aksi dalam filem Hollywood apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki seorang pengurup wang dirempuh sehingga terbalik oleh sebuah lori lapan tan di Jalan Storey, berhampiran bangunan Pacific Mall di sini, kelmarin.

Seperti dirancang, dalam kejadian jam 5 petang itu, dua kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux serta Proton Wira masing-masing dinaiki dua lelaki bertopeng serta bersenjata api, sampai di tempat kejadian sebelum melepaskan tembakan pada kenderaan dinaiki mangsa.

Kumpulan penjenayah terbabit memburu wang RM700,000 dibawa pengurup wang berkenaan yang turut diiringi tiga pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan.

Kumpulan penjenayah terbabit melepaskan lapan das tembakan pada Toyota Hilux dinaiki mangsa, namun hampa selepas mendapati kenderaan berkenaan kalis peluru.

Berikutan bimbang ditahan, kumpulan penjenayah terbabit beredar dari tempat kejadian beberapa minit kemudian, manakala pengurup wang dan tiga pekerjanya selamat.

Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, mangsa menaiki Toyota Hilux berwarna hitam sebelum ia dihimpit sebuah lori.


 “Toyota Hilux mangsa terbalik dan dihempap lori berkenaan. Tidak lama kemudian, dua kenderaan dinaiki beberapa individu bertopeng tiba dan melepaskan tembakan terhadap pacuan empat roda mangsa.

“Kemalangan itu mungkin dirancang dan tidak lama kemudian, penjenayah melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr Hashim Haron berkata, dua penjenayah keluar daripada dua kenderaan dinaiki mereka sebelum melepaskan lapan das tembakan ke arah Toyota Hilux mangsa.

Menurut beliau, keempat-empat mangsa terselamat kecuali pemandu yang cedera ringan akibat kemalangan.

“Kami menemui dua kenderaan suspek yang ditinggalkan dua kilometer dari tempat kejadian pada hari sama.

“Kami turut menemui sepucuk pistol dan beberapa topeng yang ditinggalkan di dalam Proton Wira dinaiki suspek dan kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Menurut Hashim, pihaknya masih mengesan suspek kes terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

myMetro 3/10/12

No comments: