Tuesday 18 September 2012

YOUTUBE MASIH BERDEGIL, TIDAK SENSITIF...!!!


Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia masih belum membuang klip filem ‘Innocence of Muslims’ daripada senarainya.

“Itulah bagaimana mereka tidak sensitif,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Rais berkata, kebebasan bersuara tidak termasuk menyebab atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.

Memandangkan bantahan meluas dalam dunia Islam, beliau berkata, YouTube mempunyai setiap sebab untuk mengeluarkan filem anti-Islam daripada senarainya.

“YouTube nampaknya tidak sedar kepada kekacauan yang disebabkannya. Pemilik YouTube tidak layak dilepaskan daripada kemarahan umat Islam atau tindakan undang-undang,” katanya.

Rais berkata, pendakwa raya berhak untuk mengheret pihak yang menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Filem itu dikutuk umat Islam dan Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai ‘sebuah filem yang bersifat menghasut’ manakala Majlis Gereja Sedunia berkata filem itu ‘satu penghinaan kepada agama Islam’. - Bernama

No comments: