Wednesday 22 August 2012

SURUHANJAYA BERAT SEBELAH


YANGON 21 Ogos - Beberapa anggota suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine baru-baru ini, didakwa bersikap berat sebelah terhadap masyarakat Islam Rohingya.

Dakwaan terbaru itu dinyatakan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh gabungan sembilan persatuan etnik Rohingya di United Kingdom, Jepun, Jerman, Australia, Thailand, Denmark, Norway dan Liga Demokrasi Rohingya di Myanmar.

Menurut kenyataan gabungan tersebut, beberapa anggota suruhanjaya itu merupakan penyokong kuat kerajaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan telah memburukkan lagi krisis terbabit melalui kenyataan media yang mereka keluarkan sebelum ini.

Katanya, pengerusi suruhanjaya, Dr. Aye Maung telah mengusulkan untuk mengasingkan masyarakat Rohingya daripada pekan dan kampung yang dikuasai oleh penduduk Buddha.

Seorang anggota suruhanjaya, Ko Ko Gyi, pula secara terbuka melabelkan penduduk Rohingya sebagai pendatang haram dan perlu diusir dari Myanmar, manakala Pengerusi Parti Barisan Depan Demokratik, Khin Maung Swe pula merupakan seorang penyokong kuat kempen anti Rohingya.

"Wakil kumpulan demokrasi dan parti politik yang turut dilantik menganggotai suruhanjaya itu, tetapi wakil etnik Rohingya tidak dipanggil menyertai suruhanjaya siasatan tersebut.

Semalam, kerajaan Myanmar mengumumkan pembentukan suruhanjaya terbabit selepas didesak oleh kumpulan hak asasi antarabangsa dan negara-negara lain untuk menyiasat konflik etnik di Rakhine pada Jun lalu yang mengorbankan 87 orang dan menyebabkan lebih 5,000 rumah musnah.

Menurut kenyataan gabungan itu, meskipun 27 anggota suruhanjaya terbabit terdiri daripada wakil daripada kumpulan agama termasuk Islam yang bukan daripada etnik Rohingya, Kristian, Buddha dan Hindu tetapi siasatan yang dijalankan mungkin tidak boleh dipercayai dan tidak telus.

"Kami menyeru masyarakat antarabangsa menyokong cadangan agar siasatan tersebut dilakukan sepenuhnya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kami juga menggesa cadangan penubuhan jawatankuasa siasatan PBB itu dimasukkan di dalam teks Perhimpunan Agung PBB yang akan datang berhubung resolusi mengenai Myanmar dan dalam teks Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang akan datang mengenai Myanmar,'' jelas kenyataan itu. - AGENSI

No comments: