Friday 6 July 2012

TOM CRUISE PALING MAHAL..!!




LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Tom Cruise mengungguli senarai pelakon lelaki yang menerima bayaran paling tinggi di Hollywood, dengan memperoleh pendapatan berjumlah AS$75 juta (RM236 juta) antara Mei 2011 hingga Mei 2012, terbitan majalah Forbes.
Cruise yang menyambut hari jadi ke-50 semalam, mengukuhkan dirinya sebagai seorang daripada pelakon paling berpengaruh dan kaya di Hollywood sejak dia mula mencipta nama dalam filem Top Gun pada 1986.

Kejayaan Cruise disusuli dengan kutipan hasil tayangan filem lakonannya, Mission Impossible: Ghost Protocol yang mencecah AS$700 juta (RM2.2 bilion) di seluruh dunia.

Pendapatan Cruise itu hampir sekali ganda melebihi kekayaan yang diperoleh oleh dua aktor terkenal, Leonardo DiCaprio dan Adam Sandler yang berkongsi tempat kedua dengan pendapatan AS$37 juta (RM116 juta).

Bekas ahli gusti profesional, Dwayne ‘The Rock’ Johnson pula berada di tangga keempat dengan memperoleh pendapatan sebanyak AS$36 juta (RM113 juta) selepas satu daripada filemnya, Fast Five berjaya mengutip sebanyak AS$626 juta (RM1.9 bilion) sepanjang tayangannya.

Pelakon komedi, Ben Stiller meraih tempat kelima dengan gaji AS$33 juta (RM103 juta) manakala kedudukan keenam diduduki oleh Sacha Baron Cohen yang memperolehi pendapatan sebanyak AS$30 juta (RM94.5 juta).

Di tangga ketujuh ialah Johnny Depp AS$29.8 juta (RM94 juta); kelapan, Will Smith AS$29.5 juta (RM93 juta), kesembilan, Mark Wahlberg AS$27 juta (RM85 juta) dan kesepuluh, Taylor Lautner AS$26.5 juta (RM83.5 juta).
- AGENSI

No comments: