Monday 16 July 2012

DS DR. ZAMBRY : MUHASABAH DIRI, IMBAU SEJARAH UMNO UNTUK KETEGUHAN PARTI...

PERAK TODAY 18Ahli-ahli UMNO atau Barisan Nasional khusunya perlu mengimbau sejarah perpecahan yang pernah berlaku pada parti itu dalam usaha untuk mengelak perkara yang sama berulang.


Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lumut semalam memberitahu setiap ahli Umno itu perlu mengenang semula cabaran serta jatuh bangun parti bagi membolehkan mereka belajar daripada kesusahan pada waktu itu.
Beliau menambah, sepanjang 66 tahun tertubuhnya UMNO, pelbagai badai dalam perjuangan telah berlaku dimana ia seharusnya menjadi pedoman kepada setiap ahli untuk mengelak dari berlakunya perpecahan dalaman yang sama berlaku.
“Dalam perjuangan kita ini, ingat banyak perpecahan berlaku tapi dalam masa yang sama bila berlaku perpecahan itu kita perlu cepat-cepat rapatkan barisan kita… perhatikan kekuatan tenaga kita… pastikan supaya Umno tidak tumbang disebabkan oleh perpecahan dalaman kita.
“Kita imbau balik perpecahan kita supaya kita boleh belajar daripada pengalaman kita.
Menurut Zambry, sejarah perpecahan Umno telah bermula pada tahun 1969 dimana perpecahan ketika itu bukan hanya berlaku antara ahli-ahli dalaman sebaliknya ia melibatkan keseluruhan Barisan Nasional.
Katanya, peristiwa perpecahan ketika itu merupakan satu igauan buruk kepada rakyat Malaysia keseluruhannya sehinggakan berlakunya kejadian 13 Mei.
“Kemudian kita lihat pula pada tahun 1977 berlakunya pergolakkan dalaman pada BN apabila kepimpinan Pas membuat keputusan masuk parti kita dan selepas itu Pas keluar semula pada Dis tahun yang sama.
“Disebabkan perpecahan ketika itu, diadakan satu pilihanraya kecil negeri hanya untuk negeri Kelantan.
Beliau menambah, pada tahun 1988 sekali lagi pergolakkan besar berlaku dalam parti yang melibatkan sokongan ahli terhadap Tengku Razaleigh dan Tun Mahathir.
Katanya lagi, disebabkan perpecahan itu ia telah menyebabkan ahli-ahli UMNO mula berpuak-puak sehinggakan ketua-ketua bahagian pun berpecah.
“Kemudian pada 1998 berlaku lagi peristiwa perpecahan iaitu apabila Anwar Ibrahim dipecat.
“Pada 2008 pula sekali lagi pergolakkan politik berlaku atau kita namakan Tsunami Politik yang melanda Umno atau BN khususnya.
“Siapa pernah menjangka pada tahun itu akan berlaku satu pertarungan besar antara BN dan pembangkang yang saya sendiri tidak sangka akan terjadi.
Justeru katanya, dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi perjuangan dan kekuatan parti maka setiap ahli Umno haruslah sentiasa bermuhasabah bagi mengelak satu lagi peristiwa perpecahan dalaman berlaku.
“Ingat dalam 66 tahun itu kita telah menghadapi pelbagai badai dalam perjuangan yang kadang kala memang berat untuk diharungi tetapi adakala menggembirakan kita,”katanya

No comments: