Wednesday, 27 June 2012

AZIZ SATTAR ENGGAN TERIMA KUNJUNGAN ZED ZAIDI


ENTAH di mana silapnya, kunjungan Seniman yang diketuai presidennya, Zed Zaidi, untuk melawat pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar, 87 atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ajis, di Hospital Ampang, tengah hari semalam, ditolak sekerasnya ahli keluarga seniman itu.
Walaupun dipujuk Timbalan Presiden, Elyas Ismail, namun keluarga Aziz Sattar tetap berkeras dengan keputusan mereka.
Hampir sejam menunggu, Zed yang turut ditemani sekumpulan media, rakan artis dan ahli Seniman yang hadir akhirnya terpaksa akur dengan kehendak keluarga Pak Ajis. Sementelah lagi ia melibatkan campur tangan pihak hospital.
Bukan sahaja tidak dibenarkan melawat, malah media yang hadir juga ditegah dari merakam sebarang gambar.
Walaupun tidak menyatakan rasa terkilan, namun riak di wajah Zed dapat merungkai kekecewaannya.
Memandang positif mengenai perkara itu, Zed akur dengan kehendak Pak Ajis dan menganggap tiada apa yang perlu diperjelaskan sehingga menimbulkan spekulasi lain.
“Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai presiden. Saya mengetahui keadaan Pak Ajis pada hari Sabtu lalu dan sedaya upaya mencari dana untuk memberikan sumbangan.
“Sebelum datang, saya telah buat pengesahan daripada ahli keluarganya. Mereka setuju menerima lawatan saya. Tapi, lain pula jadinya. Saya tidak tahu nak kata apa, mungkin Pak Ajis tidak mahu diganggu. Saya berdoa agar kesihatannya beransur baik,” katanya.
Walaupun kunjungannya ditolak, Zed tetap menyerahkan sumbangan kepada Pak Ajis. Malah ia turut diterima baik ahli keluarganya ~ SINAR HARIAN

No comments: