Wednesday 23 May 2012

TIADA HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang kini membela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes berkaitan perhimpunan 28 April, berkata beliau tidak mempunyai hubungan politik dengan ketua pembangkang itu tetapi sekadar menjalankan tugas sebagai seorang peguam profesional.


“Saya seorang peguam dan setiap orang berhak berbuat demikian. Saya tidak teragak-agak atau mempunyai masalah untuk mengambil kes ini,” katanya kepada pemberita ketika mengulas kehadiran mengejut beliau di Mahkamah Sesyen hari ini sebagai anggota pasukan pembelaan Anwar.
Mohamed Yusof, yang mengetuai pendakwaan pada perbicaraan kes liwat kedua ketua pembangkang itu, berkata beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan sesiapapun ketika bersetuju mewakili Anwar.
Mahkamah Tinggi pada 9 Jan lepas memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Mohamed Yusof, yang bersara Februari lepas, berkata Anwar menghubunginya pada kira-kira 10 malam semalam, dan beliau tidak teragak-agak menyertai pembelaan.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai bantahan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Mohamed Yusof berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Abdul Gani, dan enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut lewat malam semalam, dan mengalu-alukan kedatangan Mohamed Yusof dalam pembelaan.
Anwar pula, ketika dihubungi, berkata langkah itu diambil kerana Mohamed Yusof arif tentang undang-undang.
“Saya menghubunginya selepas mendapat maklumat beliau sudah bersedia menyertai pembelaan,” katanya.
- Bernama

2 comments:

Anonymous said...

Apa! dia ariff undang-undang......apa karpal tak ariff undang-undang dan lain-lain peguambela dia tidak ariff undang-undang??? hehehe melayu melayu

Anonymous said...

Pasti lumayan bayarannya..
kadang kadang aku tengok, lawyer ni antara kelompok yang kurang moralnya..