Saturday 5 March 2011

WAHAI BANGSAKU.....BERSATULAH..


BERSATULAH BANGSAKU!

Bangsa Melayu hari ini berada di persimpangan yang amat menggerunkan. Orang Melayu hari ini sedang duduk di dalam satu dilema yang mengerikan. Benarkah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis. Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri, akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini.


Mungkinkah pada akhirnya Melayu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan hanya terkandung dalam cerita hikayat-hikayat lama? Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan menjadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa? Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan menggigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan satu kuasa bukan Melayu yang tidak peduli kepada melayu lagi.

Pada 63 tahun lepas, Inggeris telah menubuhkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada residen. Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Perjuangan UMNO telah berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja melayu.

Tetapi pada hari ini usaha-usaha untuk menyambung semula idea Malayan union iaitu satu konsep total untuk menghapuskan hak melayu dan Islam telah dimulakan semula oleh pemimpin parti pembangkang. Mereka telah menyemai semangat 'ketuanan rakyat' yang digembar-gemburkan sebagai satu platform kebangkitan rakyat menentang pemerintahan negara dengan menggunakan slogan 'kuasa kembali kepada rakyat’.

Persamaan konsep 'malayan union' dan 'ketuanan rakyat' ini telah diimplementasikan di Pulau Pinang dengan penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehari selepas kemenangan DAP. Di Perak pula mereka telah memulakan langkah-langkah implementasi ke arah menjahanamkan maruah Ke Bawah Duli Sultan Azlan Shah.

Sebenarnya tindak tanduk pemimpin pembangkang ini membayangkan kepada kita cita-cita agong mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara republik.

Oleh itu bersatulah seluruh umat melayu. Perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu dalam Perlembagaan negara.

Negeri Perak adalah satu kes klasik untuk melihat bagaimana sebuah negeri yang pembahagian politiknya menunjukkan kekukuhan kedudukan Melayu, tetapi runtuh penguasaan Melayu kerana perpecahan sesama Melayu.

Dan di dalam kes Perak, sudah kedengaran kegusaran dari segelintir pemimpin PAS kerana DAP sudah pasti akan meletak calon Melayu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Perak dalam PRU akan datang. Pada waktu yang sama DAP sedang memindahkan pemilih-pemilih Cina di kawasan yang mereka fikir selesa ke kawasan lain bagi memberi ruang untuk penguasaan yang lebih besar oleh mereka.

Ini bererti, jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak semula maka kita bakal berdepan dengan calon Menteri Besar DAP dari keturunan Melayu. Tidak juga mustahil, DAP akan meletakkan calon-calon Parlimen dari keturunan Melayu. Apakah kita juga akan mempunyai Perdana Menteri Melayu dari Parti DAP? Bukankah DAP adalah parti yang terbesar penguasaannya di dalam Pakatan Rakyat?

Persoalannya, benarkah DAP mahu menolong Kerajaan Islam? Adakah DAP akan mengundi bersama dengan wakil-wakil Rakyat PAS bagi meluluskan pindaan perlembagaan yang membolehkan Hukum Hudud dilaksanakan? Atau PAS yang terpaksa menolak hasratnya untuk melaksanakan undang-undang Islam dan mewujudkan Negara Islam bagi mengikat DAP untuk mendampingi mereka?

Saya bersetuju dengan pandangan Tok Guru Ayah Haji Lah Pondok Geting yang menulis “Pakatan pembangkang yang disertai PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP akan hanya menghancurkan umat Islam. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak ketika dibawah kerajaan boneka DAP.

“Perkembangan pada masa sekarang menunjukkan DAP yang menjadi tuan kepada pakatan pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti mengikut telunjuk DAP semata-mata untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri, manakala PAS mengikut membabi-buta sehingga Nik Abdul Aziz dan Lim Guan Eng tidak jauh bezanya. tambah Tok Guru Ayah Haji Lah Pondok Geting.

Realitinya, jika dilihat perhubungan PAS dengan DAP dan dirujuk segala insiden yang berlaku pada hari ini, ternyata DAP adalah sebuah Parti yang teguh dan seinci pun tidak berganjak ideologi mereka di dalam perhubungan mereka dengan PAS.

Sebaliknya PAS yang perlu berkorban untuk DAP. Ini adalah kerana di dalam menambah sokongan pengundi Cina, PAS perlu memberi lebih banyak konsesi kepada mereka. Konsesi yang dimaksukan ialah perlu menggugurkan lebih banyak elemen-elemen perjuangan Islam di dalam PAS.

PAS hari ini terkepung oleh permainan moral mereka sendiri. Sedangkan ia hanyalah parti politik yang dianggotai oleh manusia dan bukannya malaikat. Dan manusia yang menganggotai PAS terdiri daripada lelaki dan perempuan, yang punya nafsu dan keinginan masing-masing. Ahli-ahli PAS ditarbiyah secara rejimental tetapi dada mereka tidak dibelah dan hati mereka tidak dicuci oleh malaikat. Sebaliknya sekadar rukuk di Pulau Melaka dan sujud di Rusila.

PAS ialah sebuah parti yang mengangkat pemimpin dan ahlinya lebih suci dari Malaikat dan lebih maksum dari Rasulullah s.a.w. Isunya ialah sikap hipokrit. Berlagak alim tetapi rupanya alim-alim kucing. Hidup penuh kepura-puraan.

Tetapi saya percaya masih ada pemimpin-pemimpin PAS yang benar-benar berjuang untuk agama dan rakyat Negara ini. Sebab itulah saya merasakan masanya sudah tiba untuk UMNO dan PAS menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 di atas platform yang sama. Beberapa bulan yang ada boleh digunakan bagi 
merundingkan bentuk Kerajaan yang akan dibentuk.

Ingatlah dalam perang Uhud, Tahun ke 3 Hijrah, askar Islam sudah diambang kemenangan tetapi kalah juga kerana pemanah-pemanah Islam lupa tanggung jawab sebenar kerana tamakkan harta rampasan perang. Begitulah dengan Pas sekarang. Mereka sedang diuji oleh Allah dengana kuasa. Pas sudah lupa akan perjuangan sebenar untuk menegakkan negara Islam dan menguatkuasakan hukum hudud. Pas sekarang sedang tergoda dan terpesona dengan tipu daya kafir harbi.

Sesungguhnya, tiada satu pun Rasul yang diutuskan... tiada satu pun ulamak yang dilahirkan... tiada sebuah ayat pun di dalam kalamullah yang menghalang perpaduan di antara mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah...

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

No comments: