Saturday, 21 April 2012

ISTERI MAUT DI TALI BUAIAN............

Isteri Muda Mati Tergantung Di Tali Buaian

Isteri Muda Mati Tergantung Di Tali Buaian



KOTA BHARU – Seorang pembantu kedai jual ayam terkejut apabila menemui mayat isterinya tergantung di tali buaian yang diikat di alang rumah mereka di Taman Tengku Panglima, Wakaf Mek Zainab, di sini petang kelmarin.
Zulkifli Azmi, 25, menemui mayat isterinya, Apinyar Datubahae, 26, tergantung di bilik di tingkat atas, kira-kira jam 3 petang, ketika pulang untuk menghantar makanan.
Zulkifli memberitahu pemberita kejadian tersebut disedarinya apabila mendengar anak tunggalnya, Siti Nur Aishah Ateiyra, sembilan bulan, menangis.
“Pelik dengan tangisan itu, saya terus ke tingkat atas dan terkejut melihat mayat isteri saya tergantung di tali buaian anak kami,” katanya.
Zulkifli berkata, dia memberitahu bapanya, Azmi Omar, 50, dan adiknya, Muhammad Zaidi, 17, berhubung kejadian berkenaan, sebelum menghubungi polis serta jiran-jiran mereka.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu isterinya adalah kira-kira jam 8 pagi kelmarin semasa pulang menghantar nasi. Masa itu, isterinya sedang menyusu anak mereka.
Dia berkata, sejak dua bulan lepas setelah balik dari Wing, Thailand, isterinya tiba-tiba menjadi pemarah.
“Dia pernah mengelar pergelangan tangannya apabila tertekan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, memberitahu mayat Apinyar dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat. –Sinar Harian Online

BERUANG TERLEPAS, WANITA JEPUN MAUT DIBAHAM..!!!

Wanita Jepun Mati Dibaham Beruang

TOKYO – Sekurang-kurangnya dua wanita terbunuh selepas seekor beruang terlepas dari kurungan di sebuah taman di utara jepun hari ini, lapor media tempatan.
Dalam kejadian tersebut, pekerja wanita yang berusia 70 tahun meninggal dunia selepas dibaham binatang buas tersebut, manakala rakannya pula yang berumur 60 tahun ditemui mati selepas beberapa jam hilang.
Taman yang terletak di wilayah Akita itu membela kira-kira 38 ekor beruang, lima yang dilaporkan terlepas dari kandang manakala enam lagi ditembak oleh pemburu di kawasan tersebut. – DPA

SIAPA AKTRES YANG DICULIK DAN MAUT DIPENGGAL..???

Aktres Diculik Maut Dipenggal

ALLAHABAD – Seorang aktres Bollywood mati dibunuh dua rakan pelakon yang baru dikenalinya di lokasi penggambaran filem terbaru mereka, lapor media semalam.
Meenakshi Thapa, 26, dilaporkan diculik dan dipancung Amit Jaiswal dan kekasihnya, Preeti Surin, bulan lalu.
Menurut polis, motif di sebalik insiden itu adalah mahu mendapatkan wang tebusan.
Sumber polis berkata, Meenakshi bertemu pasangan terbabit di set penggambaran filem terbaru arahan Madhur Bhandarkar berjudul Heroine.
Dalam filem itu, Meenakshi diberi peranan kecil. Ibu Meenakshi dipercayai membayar 60,000 rupee (RM3,534) untuk membebaskannya tetapi wang berkenaan gagal mengembalikan aktres terbabit kepada keluarganya.
Polis berkata, Meenakshi dicekik di hotel penginapan mereka dan mayatnya – kecuali bahagian kepala – dibuang dalam tangki air.
Kepala Meenakshi pula dicampak dari sebuah bas yang dalam perjalanan dari Allahabad ke Mumbai.
Penyiasat daripada Bahagian Jenayah Polis Mumbai menemui mayat Meenakshi di rumah disewa Preeti di Allahabad, Rabu lalu.
Sumber berkata, Amit dan Preeti mengaku membunuh Meenakshi kerana yakin dengan cerita mangsa yang mendakwa dia kononnya dibesarkan dalam keluarga berada.
“Suspek percaya Meenakshi adalah anak orang kaya kerana gaya hidupnya yang mewah walaupun tidak mendapat peranan utama dalam sesebuah filem.
“Meenakshi pula berjaya menyembunyikan hakikat bahawa dia sebenarnya datang dari keluarga sederhana,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek menculik Meenakshi dan menuntut tebusan bernilai 1.5 juta rupee (RM88,372).
Bagaimanapun, katanya, suspek memang tidak bercadang membebaskan Meenakshi kerana mangsa sepatutnya dibunuh sebaik saja bayaran dibuat.
Setakat ini, Meenakshi belum pernah diberi kepercayaan membawa watak besar dalam filem.
Dia diberi peranan kecil dalam filem seram, 404, tahun lalu, selain muncul beberapa kali sebagai model iklan.
Polis berkata, ketika menuntut tebusan daripada ibu Meenakshi, Amit dan Preeti mengugut untuk menghasilkan filem lucah aktres berkenaan, selain mengambil kad bank mangsa. “Selepas ibu Meenakshi memasukkan sebahagian wang ke akaun Meenakshi, mereka membunuhnya.
Pasangan itu menyangka mereka berjaya melupuskan semua bukti pembunuhan.
Bagaimanapun, mereka melakukan kesilapan apabila Amit menyimpan kad SIM telefon bimbit Meenakshi.
Polis berjaya mengesan mereka melalui kad berkenaan. – DM

HARAM TIDAK BAYAR PTPTN..


BENTONG: Hukumnya haram jika tidak membayar pinjaman termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman.
Beliau berkata mengikut Islam, hukum bagi orang yang meminjam sama ada sesama sendiri, bank atau mana-mana institusi adalah wajib membayarnya.
“Haram hukumnya mengikut Islam dan telah berlaku kezaliman jika gagal membayar balik wang pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Falak Syarie di Janda Baik dekat sini, Jumaat.
Katanya peminjam wajib membayar balik pinjaman sepertimana terkandung dalam kontrak perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

PAS MAHU YDP MAIPP LETAK JAWATAN..!!!


Isu jawatan YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang: Tuntut PKR, DAP tunai janji pilihan raya -
GEORGETOWN: PAS mahu Abdul Malik Abul Kassim melepaskan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) walaupun beliau sudah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Februari lalu.
Ini bagi membolehkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man, yang kini memegang jawatan Timbalan YDP MAIPP, dilantik menggantikan Abdul Malik.
Abdul Malik yang juga EXCO Agama, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, dilantik memegang jawatan YDP MAIPP selama dua tahun, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mohd Salleh berkata, PAS Pulau Pinang berpendirian bahawa Abdul Malik wajar mengosongkan jawatan itu segera dengan apa cara sekalipun bagi melancarkan pentadbiran MAIPP.
“Itulah (meletak jawatan) yang terbaik baginya,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Mohd Salleh yang mempengerusikan mesyuarat pertama MAIPP kelmarin, atas kapasitinya sebagai Timbalan YDP, berkata pengosongan jawatan itu seiring dengan pengakuan kerajaan negeri yang tersilap memperakukan nama Abdul Malik sebagai YDP MAIPP kepada Istana Negara.
“(Timbalan Ketua Menteri I) Datuk Mansor (Othman) pun sudah mengakui silap (memperakukan nama Abdul Malik kepada Istana Negara) dan wajarlah beliau (Abdul Malik) melepaskan jawatan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu.
Rabu lalu, Mansor mengakui kerajaan negeri melakukan kesilapan apabila memperakukan nama Abdul Malik sebagai YDP MAIPP kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada 22 Disember lalu bagi menggantikan Ellias Zakaria.
Berikutan itu, kerajaan negeri memperakukan senarai nama kedua dengan menamakan Mohd Salleh sebagai YDP MAIPP.
Bagaimanapun, masalah timbul kerana Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan Abdul Malik sebagai YDP MAIPP berdasarkan perakuan pertama oleh kerajaan negeri.
Kerajaan negeri mengemukakan senarai kedua dengan memperakukan Mohd Salleh sebagai YDP MAIPP kerana mahu menunaikan janji kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir pada 2009 yang berjanji melantik Mohd Salleh jika beliau menang.
Kini kerajaan negeri berusaha untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk merayu bagi membolehkan Mohd Salleh menggantikan Abdul Malik.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa, mengakui kepemimpinan PAS Pusat tidak senang dengan kemelut yang berlaku dan mahu PKR serta DAP menunaikan janji memberikan jawatan itu kepada PAS.
Abdul Malik ketika dihubungi pula berkata, PAS berhak membuat kenyataan memintanya mengosongkan jawatan berkenaan.
“Itu hak dia untuk membuat kenyataan,” katanya yang enggan mengulas lanjut isu berkenaan.
- BERITA HARIAN

APA JAWAPAN ANWAR BILA KAUM CINA TANYA, "MANA DAPAT DUIT NAK HAPUSKAN PTPTN"?.


Bajet alternatif sila kemukakan tafsiran bajet
Goh Chee Chong

PRU semakin hari semakin hampir, Pakatan Rakyat mulalah keluarkan cek-cek kepada rakyat, buat sementara waktu ini tidak kira sama ada cek-cek itu nanti cek tendang ataupun bukan, sebaliknya cek itu semakin hari semakin besar angkanya. Sebelum ini berjanji mahu mansuhkan bayaran Tol Plus, beri wang kebajikan sebanyak 1000 ringgit, turunkan harga minyak petrol dan sebagainya, sekarang pula mahu hapuskan wang pinjaman pengajian tinggi PTPTN, menunjukkan sebuah kerajaan alternatif yang sungguh bermurah hati, sungguh menggembirakan semua orang.

Sebaliknya penulis mahu kembali kepada keadaan sebenar dan realistiknya:  Pakatan Rakyat keluarkan cek yang begitu melambung tinggi nilainya, berapa banyak kah duit yang akan dibelanjakan? Dari mana datangnya duit-duit itu pula?

Sebelum ini cek Buku Jingga Pakatan Rakyat, secara kasarnya dalam bajet mereka mereka akan belanjakan 250 billion ringgit setahun, ia bermakna sama dengan pendapatan setahun negara, ia boleh menyebabkan dalam  masa 2 tahun sahaja negara boleh diisytiharkan muflis. Hari ini Pakatan Rakyat mahu mansuhkan wang pinjaman PTPTN sebanyak 43 billion ringgit itu, kami mahu bertanya adakah jika kerajaan BN jatuh dan kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, negara kita akan punyai wang yang banyak sehingga tidak putus-putus boleh digunakan itu, akan dibazirkan semua oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah itu nanti?

Secara lurus saya ingin berkata, Pakatan Rakyat sering keluarkan cek-cek kosong, itu semuanya tidak membawa sebarang makna.  Kerana tiada orang yang begitu bodoh untuk mempercayainya, jika benar Pakatan Rakyat mahu kotakan janji-janji cek mereka itu, jaraknya amat jauh antara realistiknya dan logik akalnya. Mungkin mereka sangat ghairah keluarkan cek-cek janji mereka, jika kita duduk dan fikir baik-baik “dari mana untuk mendapatkan duit-duit” itu, bermakna kita akan rasa curiga kemampuan Pakatan Rakyat untuk kotakan janji-janji mereka itu.

Kata-kata “jika tidak beri Pakatan Rakyat mencubanya, mana awak tahu Pakatan Rakyat tidak mampu?” kami percaya inilah jawapan dan kata-kata yang dikeluarkan oleh orang-orang dan penyokong-penyokong tegar Pakatan Rakyat.

Jika mahu beri Pakatan Rakyat mencubanya, ia memang bukan satu halangan, tetapi bukan untuk Pakatan Rakyat mencuba memerintah kerajaan negara ini.  Sebelum ini, kita telah beri Paktan Rakyat jadi menteri kewangan, melakar sebuah bajet kewangan alternatif negara, segala cek kosong dalam Buku Jingga, semuanya dijadikan dan dibentuk di dalam bajet kewangan tersebut, dan telah menunjukkan dari mana hasil yang diperolehi oleh negara, adakah ia dapat imbangi cek-cek yang telah dikeluarkan itu.

Bagi Pakatan Rakyat jika mahu laksanakan perkara itu, sepatutnya tiada sebarang halangan. Kerana pempimpin tertinggi Pakatan Rakyat pernah menjadi menteri kewangan Malaysia selama 7 tahun, dan pakar hebat ekonomi Pakatan Rakyat Tony Pua Kiam Wee berada di sisi beliau, bajet kewangan sekecil ini sudah tentu tidak dapat menyusahkan Pakatan Rakyat.

Tetapi bagi rakyat pula, mendengar ahli-ahli politik bercakap sesedap mulut buka cek-cek kosong ini, kenapa tidak duduk bersama tunjukkan dan bentangkan bajet-bajet projek dan rancangan itu, bukankah ia lebih praktikal dan nyata. :- MyMassa

-AH/DNA


*Kalau kaum Cina nak tau, inilah jawapannya.

Sumber : MalayDelima

RAKYAT ASING TIDAK LAYAK UNDI



JPN nafi dakwaan Facebook pemastautin sementara dapat MyKad biru -
SHAH ALAM: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan kad pengenalan pemastautin sementara berwarna biru kepada warga asing bagi melayakkan mereka mengundi.
Isu yang menjadi perbualan hangat di laman sosial Facebook itu turut mendakwa kad pengenalan berkenaan tertera kod berlambang segi tiga berwarna hijau, selain pemiliknya diberi tempoh tertentu untuk memperbaharui kad pengenalan mereka.
Kad pengenalan pemastautin sementara berwarna hijau dan pada kad itu ada empat segi tiga berwarna hijau bagi membezakan ia lain daripada kad pengenalan warga negara. Kad pengenalan ini dikeluarkan berkait peraturan 5 (3) (C) (2) JPN. – Jainisiah Mohd Noor, Pegawai Perhubungan Awam JPN
Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisiah Mohd Noor, berkata gambar disiarkan di Facebook terbabit adalah palsu kerana kad pengenalan pemastautin sementara berwarna hijau.
“Kad pengenalan pemastautin sementara berwarna hijau dan pada kad itu ada empat segi tiga berwarna hijau bagi membezakan ia lain daripada kad pengenalan warga negara. Kad pengenalan ini dikeluarkan berkait peraturan 5 (3) (C) (2) JPN,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jainisiah berkata, tindakan itu dipercayai didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebar dan mempengaruhi orang ramai.
Seorang lelaki, Rahman Salim, 40, yang membaca laporan terbabit dalam sebuah laman Facebook, berkata pihak berkuasa perlu segera memberi penjelasan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan orang ramai.
“FB ini dengan jelas menunjukkan kad pengenalan yang berwarna biru, tetapi tertera di bawah nama pemiliknya dengan status sebagai pemastautin tetap. Saya bimbang jika orang ramai terpengaruh dengan dakwaan palsu ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati dakwaan yang dihebahkan dalam Facebook tidak benar kerana SPR tidak pernah menukar warna kad pengenalan pemastautin sementara.
Carian dan semakan nombor kad pengenalan pemastautin sementara yang tertera dalam Facebook itu juga menunjukkan pemiliknya bukan seorang pengundi dan rekodnya tiada di dalam daftar pemilih.
- BERITA HARIAN