Bukan mudah untuk Susan Chapelle, 52, berkongsi kisahnya yang menjadi mangsa perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah ketika usianya baru menginjak 26 tahun. |
Mlay Mail Online melaporkan, Susan enggan memaafkan lelaki yang telah memberikan dadah, merogol dan merakam gambar wanita bogel serta memukul dua isterinya.
Menceritakan kembali detik hitam itu, Susan mengenali Selva pada tahun 1991 apabila dia ternampak iklan menjual haiwan di surat khabar dan menunjukkan minat untuk melakukan pembelian.
Mereka telah mengaturkan temujanji dan Selva datang untuk mengambil Susan sebelum ditawarkan segelas wain di kawasan rumahnya.
Apabila Susan bangun dari tidur, dia sedar bahawa skirt yang dipakainya sudah berada di posisi lain dan ketika itu Susan berasa dirinya dalam keadaan teruk.
“Saya tak tahu apa yang dah berlaku. Saya rasakan ia sesuatu yang sangat teruk. Tetapi dalam fikiran anda, anda fikirkan bahawa anda berada di rumah orang yang anda tak kenal, saya diberi segelas wain. Anda fikir mungkin ada sesuatu di sebaliknya,” katanya.
Ahli majlis kerajaan tempatan Squamish, Kanada itu berkata pembebasan Selva di negara ini perlu diatasi dengan berhati-hati dan pihak berkuasa tidak boleh sesekali lupa bahawa Selva mampu melakukan serangan seksual terhadap 1,000 wanita sebelum dia berjaya ditangkap.
“Malaysia perlu memahami bahawa Selva adalah seorang pesalah yang tidak serik dan seorang lelaki yang ganas,” katanya.
Chapelle, yang merupakan ibu kepada dua orang anak perempuan berkata, ramai wanita yang pernah menjadi mangsa Selva masih menderita meskipun serangan seksual itu telah berlalu hampir 30 tahun lalu.
Jelasnya, adalah tanggungjawabnya kini yang merupakan seorang ahli politik untuk membela nasib dan mengubah persepsi mengenai mangsa rogol.
Beliau bagaimanapun masih tidak yakin dengan keadaan Selva yang kononnya berjaya dipulihkan selepas menjalani hukuman penjara selama 25 tahun di negaranya.
Selva, 56, kembali ke Malaysia pagi Selasa lalu selepas menjalani hukuman di sebuah penjara di Toronto, Kanada.
Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atas Selva selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.
Chappelle menerusi akaun Facebooknya turut memuat naik isu berkenaan Selva dengan mempersoalkan sistem negaranya dan keputusan yang ‘tidak masuk akal’.
“Masyarakat kita yang memilih untuk menganiayai mangsa jenayah ini dan yang membuatkan kira-kira 1000 orang wanita berdiam diri. Tidak berkongsi tentang kejadian yang menimpa mereka ini kepada ahli keluarga mereka mahupun pihak berkuasa.
“Lelaki ini menetap di negara kita dan ‘memburu’ perempuan yang sebaya anak perempuan saya. Rasa malu itu membuatkan mereka tidak mahu meluahkan perasaan mereka. Jika pengalaman saya dapat mengubah hanya satu perkara, ianya hanyalah perasaan malu itu. Hentikanlah memalukan mangsa. Hentikanlah bertanya bagaimana pakaian kami ketika itu. Atau jika peristiwa tersebut ‘hadir kembali’ di dalam trauma yang kami alami,” tulisnya.
Beliau turut berkongsi kerisauan terhadap rakyat negara ini apabila Selva kini sudah bebas bergerak tanpa sekatan undang-undang.
“Selva berjalan keluar dari lapangan terbang dengan bebas di Malaysia, saya tertanya-tanya berapa banyak lagi wanita akan didera sebelum dia kembali dalam tahanan,” tulisnya. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment