Sunday, 20 March 2016

SPRM BONGKAR SINDIKET SELEWENG DANA KERAJAAN LEBIH RM100 JUTA


KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM SPRM BONGKAR SINDIKET SELEWENG DANA KERAJAAN LEBIH RM100 JUTA 

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar satu sindiket yang menyeleweng dana Kerajaan Persekutuan membabitkan sebuah kementerian, yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih kurang RM100 juta. 


Sindiket itu dibongkar dalam satu operasi khas yang diadakan oleh Ibu Pejabat SPRM pada 17 Mac 2016. Setakat ini, sembilan orang telah ditangkap. 

Mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita. Salah seorang yang ditangkap merupakan pegawai kanan kementerian berkenaan, berjawatan Setiausaha Bahagian. 

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 18 Mac 2016 bagi membantu siasatan. Siasatan SPRM menunjukkan sindiket ini menggunakan modus operandi mengarahkan pihak kewangan sebuah agensi di bawah kementerian terbabit membuat bayaran kepada tidak kurang dari 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket ini bagi program-program yang diwujudkan walhal kerja-kerja dimaksudkan tidak pernah dilaksanakan. 

Tiada sebarang tuntutan dikemukakan oleh syarikat-syarikat itu kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan berkenaan memainkan peranan bagia memastikan bayaran dibuat kepada syarikat-syarikat terbabit. 

Kemudian, dalam peratusan tertentu, pegawai kanan berkenaan menerima imbuhan daripada pihak syarikat dan ada di antaranya dibayar melalui cek ke akaun peribadi pegawai kanan. 

Hasil siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan sindiket ini telah berlaku sejak tahun 2010. SPRM tidak menolak kemungkinan ia telah berlaku beberapa tahun sebelum itu. 

Justeru, siasatan akan terus dijalankan. Siasatan setakat ini menunjukkan wang kerajaan yang telah diselewengkan sekurang-kurang RM100 juta dalam tempoh berkenaan. 

Selain itu, pegawai kanan terbabit menerima habuan-habuan daripada pihak kontraktor antaranya rumah, kereta-kereta mewah, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, penggunaan kemudahan kad kredit supplementari, pengubahsuaian rumah. 

Pegawai kanan terbabit dipercayai hidup mewah sehingga mampu membeli jam-jam tangan berjenama, yang satu daripadanya mencecah harga tidak kurang dari RM400,000, barang-barang kemas yang banyak dan ada yang bernilai tidak kurang RM600,000, ‘beddings’ bernilai lebih RM300,000, foto hiasan bernilai lebih RM60,000 dan  beg-beg tangan berjenama dan ada yang berharga RM400,000. 

Dianggarkan beliau menerima suapan mencecah keseluruhan RM20 juta selain kerap ke luar negara bersama anggota keluarga hingga mampu menggunakan penerbangan ‘First Class’ setiap seorang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan juga Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiyaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 

SPRM telah membekukan sejumlah 69 akaun bernilai RM8.33 juta dan harta lain seperti rumah serta menyita kenderaan-kenderaan mewah. SPRM akan memanggil saksi-saksi terutamanya dari kementerian terbabit bagi membantu siasatan. 

Selain itu, SPRM juga akan melihat sistem dan prosedur perolehan kementerian yang menyebabkan berlakunya ketirisan dana sehingga menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan. 

Pada 14 Mac 2016, SPRM Kuala Lumpur juga telah mengadakan Ops Tiris sehingga membawa kepada penahanan empat orang termasuk seorang pegawai kanan kerajaan dan bekas pesara. Seorang lagi telah didakwa pada 17 Mac 2016. 

DATO’ AZAM BAKI 
PENGARAH SIASATAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA 
19 MAC 2016 

Post a Comment