Thursday 7 January 2016

FITNAH KONGSI BAJU SEKOLAH ABANG DAN ADIK : AIBKAN PELAJAR DAN IBU....


Sejak beberapa hari lalu, kecoh diperkatakan tentang sekeping gambar yang memaparkan seorang pelajar tingkatan satu yang dikatakan kononnya terpaksa berkongsi pakaian sekolah dengan abangnya yang belajar di tingkatan empat.


Semalam, ibu pelajar tersebut menafikan dakwaan yang tersebar dan menjelaskan bahawa meskipun beliau merupakan ibu tunggal, namun masih mampu menyediakan pakaian sekolah yang cukup untuk 3 orang anaknya.

Penulis dan 'sensor' wajah pelajar berkenaan.

Timbul persoalan di fikiran penulis. Pertamanya, siapakah yang merakam gambar adik berkenaan? Jika dilihat dari gambar tersebut, berkemungkinan besar ia dirakam di dalam bilik guru atau pejabat sekolah berdasarkan susun atur perabut dan keadaan sekitarnya.

Malah sebenarnya menurut ibu tunggal itu, anak bongsunya yang belajar di tingkatan satu itu lewat mendaftar kerana baru tahu ditetapkan belajar di sekolah berkenaan, bukan kerana berkongsi baju dengan abangnya sebagaimana yang tersebar.

Timbul persoalan kedua, siapakah yang merakam gambar tersebut? Apakah Pengetua Sekolah? Guru? Kerani sekolah? Pembantu guru? Pembantu tadbir? Pekerja am? Atau tukang kebun? Atau siapa?

Ketiga, siapakah yang bertanggungjawab menyebarkan gambar tersebut bersama ‘cerita sedih’ 

berkenaan pelajar tersebut? Apakah makcik Senah yang berniaga apam balik atau pakcik Kadir yang menjual air tebu di pinggir pagar sekolah?

Sudahlah gambar tersebut tidak di’blur’kan wajah pelajar berkenaan, malah ceritanya sama sekali tidak benar berbanding cerita sebenar dari ibu pelajar tersebut.

Pada pandangan penulis, berkemungkinan besar gambar itu telah dirakam oleh ‘orang dalam sekolah’ berkenaan. Takkanlah makcik Senah atau pakcik Kadir tiba-tiba masuk pejabat sekolah atau bilik guru untuk rakam gambar berkenaan, kan?

Tidak menyiasat secara terperinci, dia kemudian cuba ‘tunjuk baik’ dengan menyebarkan ‘cerita tipu’ di laman sosial. Kononnya ‘bersimpati’ dengan nasib murid itu. Tapi, sedarkah individu itu bahawa perbuatan tersebut telah memalukan pelajar berkenaan dan keluarganya?

Mungkin nampak niatnya baik untuk ‘membantu’, tapi bantuan sedemikian rupa bukan saja menjejaskan air muka ibu kepada pelajar tersebut, malah mungkin pelajar itu sendiri akan rasa malu berdepan dengan rakan-rakan barunya di sekolah.

Pada pandangan penulis, kes seperti ini sering berlaku sejak wujudnya laman sosial di negara kita. Ramai benar yang teringin jadi ‘reporter tidak bertauliah’, tapi tidak tahu tentang etika dan prinsip kewartawanan yang sebenar. Banyak kes begini berlaku di Facebook, bukan?

Lebih malang lagi, kes ini berlaku di sekolah dan berkemungkinan melibatkan warga pendidik yang sewajarnya menjaga aib para pelajarnya dari masyarakat umum. Tidakkah mereka rasa bersalah dengan tindakan sebegini pada pelajar itu dan keluarganya?

Penulis sanjung ‘keprihatinan’ warga KPM dalam membela nasib pelajar masing-masing. Namun penulis yakin bahawa pihak pengurusan sekolah, PPD, JPN mahupun kementerian mempunyai saluran khas bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah dengan cara yang lebih baik dan rasmi.

Selain itu, insiden seperti ini juga perlu dijadikan iktibar bagi semua pihak, terutama penjawat awam yang sewajarnya tahu tentang etika kakitang an kerajaan yang tertakluk pada peraturan dan disiplin tertentu yang telah ditetapkan. Jika dibuat juga perangai yang begini, jangan salahkan orang jika tindakan disiplin diambil.

Sudah berbuih mulut SKMM, para pemimpin, ketua polis negara dan ketua-ketua polis di seluruh negeri mengingatkan masyarakat kita supaya tidak menyebarkan cerita yang tidak benar dan meminta menyiasat terlebih dahulu kebenarannya sebelum dikongsi di laman sosial.

Tapi nampaknya nasihat itu tidak dipedulikan, malah cerita palsu makin berleluasa di laman-laman sosial. Penulis tertanya-tanya, tidak takutkah kita pada dosa fitnah? Atau sememangnya kita rasa bangga jadi individu pertama yang buat cerita fitnah?

- MYKMU

1 comment:

d said...

Salam Perjuangan,

Blog Gelombang Rakyat kini kembali di medan peperangan dunia blogger dalam meneruskan perjuangan di medan keyboard warrior.

Mohon jasa baik anda untuk menyenaraikan blog Gelombang Rakyat dalam senarai blog pilihan.

http://gelombang-rakyat.blogspot.com/

Sekian, Salam Perjuangan.