Sunday 2 August 2015

USTAZ KAZIM DAN TIMB. MUFTI TEGUR AZALINA 'HALALKAN YANG HARAM'


SHAH ALAM – Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkenaan saranan Azalina terhadap Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit dan mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem.

Datuk Mohd Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, saranan itu adalah saranan ‘songsang’ kerana sebagai makhluk ALLAH kita disarankan mencegah kemungkaran walaupun dalam lakonan.
“Lama sungguh saya mendiamkan diri di dalam arena FB ni, rasa aman bila tak muat status atau berkongsi info.. Tapi rasanya lagi tidak aman bila terbaca laporan ada orang yang mengatakan kalau setakat berpegang-pegang atau adegan-adegan tertentu antara bukan mahram dalam drama dan filem tak payahlah diperbesarkan, disuruhnya pulak berfikiran terbuka jangan disempitkan.
“Astaghfirullah.. Sepatutnya usaha untuk menambah baik dan patuh pada perintah ALLAH wajib disokong, untuk akak yang bercakap demikian, bawak-bawaklah insaf, hidup didunia tidak lama, kuasa menteri pun apa sangat. Kita ini makhluk ALLAH, hamba ALLAH, kalau kita tidak mampu jadi baik tapi janganlah halang orang lain nak jadi baik…Yang haram tetap haram walau sekadar lakonan,” tulisnya dilaman Facebook rasminya semalam.
Azalina selaku Pengerusi Finas dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, isu adegan pasangan bercinta berpegangan tangan, berpelukan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya sekadar lakonan yang tidak mengundang ke arah maksiat terhadap penonton.
“Isu ini dah jadi agak merepek kerana sesebuah drama atau filem merupakan industri kreatif dan apa yang dipaparkan di kaca televisyen hanyalah lakonan. Kalau nak cakap babak-babak itu boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen kerana di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat.
“Kita tidak boleh berfikiran sempit. Kalau semua tak boleh, takkan nak bercakap dengan bantal?” kata Azalina yang mengulas garis panduan penerbitan drama dan filem yang dikeluarkan oleh LPF baru-baru ini. – Sinar Harian Online
SEMENTARA ITU....
Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim mengingatkan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru dilantik sebagai menteri untuk tidak merasa dirinya lebih besar daripada kuasa Allah.

“Sepatutnya dia sebagai seorang menteri perlu insaf dan faham bahwa dia masih tidak terlepas daripada menjadi hamba Allah. Apabila menjadi menteri bertambahlah tanggungjawabnya menjadi khalifah Allah.

“Jawatan itu harus digunakan untuk memelihara peraturan Allah berlangsung kepada hamba-hambaNya, bukannya teruja dengan cara hidup Barat sehingga terlupa dia masih berbumbung kan langit Allah, tumpang berpijak di atas hamparan tanah Allah dan menghirup setiap detik udara Allah.

“Jadilah hamba Allah yang patuh dengan peraturan Allah termasuk dalam berlakon, berpakaian dan sebagainya,” katanya mengulas kenyataan Azalina semalam berhubung isu tapisan adegan seksi dan ghairah drama dan filem tempatan.

Ini berikutan Azalina menegur pihak di Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit dan perlu mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem. Baginya isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat terhadap penonton.

“Isu ini dah jadi agak merepek kerana sesebuah drama atau filem merupakan industri kreatif dan apa yang dipaparkan di televisyen adalah sebuah lakonan.

“Kalau nak cakap babak-babak itu (berpelukan) boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen, (kerana) di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat,” kata Azalina.

Bidas Ustaz Zamri, begitu rendahnya sistem nilai seorang menteri yang hanya menilai kualiti filem berdasarkan adegan yang di luar batas syarak.

“Sedangkan nilai sesuatu filem itu adalah berdasar nilai yang diangkat dalam filem berkenaan tidak semestinya wajib ada adegan yang mempromosikan mungkar dan maksiat.

“Ingatlah, memperjuangkan kebebasan ala Barat tanpa melihat peraturan Al-Quran adalah tanda-tanda sempitnya ufuk hidup sesorang apabila mengikat diri dengan sistem yang memperjuangkan hawa nafsu sedangkan Al-Quran telah seribu tahun telah membebaskan manusia dari penjajahan hawa nafsu,” katanya.

No comments: