Friday 10 October 2014

ISTERI MAUT DILANGGAR SUAMI KETIKA SEDANG LAKUKAN 'SEMBAHYANG' DI GARAJ KERETA

Adun PD, Ravi (kiri) menenangkan Sinnamurthy yang masih terkejut dengan kematian isterinya. - Foto kecil: Kathayee
Adun PD, Ravi (kiri) menenangkan Sinnamurthy yang masih terkejut dengan kematian isterinya. - Foto kecil: Kathayee

PORT DICKSON - Seorang wanita maut dilanggar kereta yang dipandu suaminya ketika mengundurkan kenderaan itu di Taman Tong Seng Blok, Kampung Arab, sekitar jam 9 pagi, semalam.


Mangsa K Kathayee, 76, disahkan meninggal dunia pada jam 10.51 pagi ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Port Dickson (HPD).

Suami mangsa, A Sinnamurthy, 77, berkata, ketika kejadian, dia langsung tidak menyedari isterinya sedang melakukan adat sembahyang di garaj kereta.

“Mungkin dia sedang duduk mencangkung menyebabkan saya langsung tidak nampak dia ketika mengundurkan kereta di garaj untuk ke tempat kerja.

“Tiba-tiba sahaja saya terdengar jeritan dari arah belakang kereta. Saya segara keluar untuk melihat, namun hati saya luluh apabila melihat isteri sedang mengerang kesakitan," katanya.

Sinnamurthy yang bekerja sebagai Pembantu Khas Adun Port Dickson memberitahu, dia terus membawa isterinya ke HPD untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superitendan Baharudin Mustapha berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di perut maut ketika menerima rawatan kecemasan di HPD.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HPD untuk di bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat,” katanya.  -  SinarHarian