Tuesday 26 August 2014

TIADA ARAK, PRAMUGARI WAJIB TUTUP AURAT : MAS DIMINTA TERAPKAN SYARIAT ISLAM DI DALAM SETIAP PENERBANGAN


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedia menggerakkan orang ramai melakukan bantahan jika MAS terus menyediakan arak dalam penerbangannya. Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, MAS perlu menampilkan imej Islam bersesuaian dengan status Malaysia sebagai negara Islam.

“Banyak syarikat penerbangan di negara-negara Islam telah menghentikan hidangan arak dalam penerbangan. Mengapa kita tak boleh? Ini bukan isu baru, PPIM telah lama bantah hidangan arak dalam pesawat namun, tidak diendahkan," katanya.

Menurut Nadzim, MAS tidak akan rugi jika menghentikan hidangan arak.

“Keuntungan sebenar bukan daripada arak, tetapi datangnya daripada perkhidmatan terbaik syarikat berkenaan.

“MAS tidak perlu tunduk kepada permintaan penumpang sebaliknya perlu mencari alternatif lain menggantikan minuman keras itu,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak pengurusan syarikat penerbangan itu  perlu mengikut syariat Islam supaya pendapatan yang diperoleh mendapat keredaan ALLAH.

“Bukan saja soal penyediaan arak, tetapi dari segi pemakaian perlu ditekankan kerana setiap tahun jumlah pengunjung Islam dari serata negara berkunjung ke mari. Jadi bagaimana dengan tanggapan mereka kepada kita?

“Jangan jadikan alasan memperoleh keuntungan kita sanggup menggadaikan agama sendiri,” katanya.


Pemuda Umno meminta pengurusan baharu MAS mengkaji polisi uniform kru penerbangan.

SEMENTARA ITU.... Exco Pemuda Umno, Dazma Shah Daud berkata, pengurusan baharu MAS perlu buat beberapa perubahan polisi untuk buktikan transformasi itu.

“Kami mencadangkan pengurusan MAS memberi kelonggaran atau mewajibkan pramugari beragama Islam memakai tudung dan mengenakan seragam yang menutup aurat.

“Isu ini bukan perkara baharu, malahan ia mendapat desakan daripada kebanyakan rakyat negara ini yang mahu melihat MAS lebih menekankan aspek Islamik dalam kalangan kakitangan mereka,” katanya yang juga Pengerusi Biro Pekerja Muda.

Katanya, usul itu akan dibawa dalam Mesyuarat Exco Pemuda Umno, hari ini.

Dazma berkata, pengurusan MAS tidak perlu gusar tentang persepsi penumpang luar negara atau bukan Islam kerana masyarakat global kini sudah terbuka menerima pemakaian tudung dan uniform yang lebih sempurna.

Malah kata beliau, imej dan integriti MAS akan lebih melonjak terutamanya dalam kalangan penumpang negara Islam serta akan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

“Imej bertudung tidak lagi menjadi imej tabu kerana pemakaian mengikut syariat Islam itu sudah mampu diterima majoriti masyarakat global.

“Jangan rasa takut perniagaan terjejas kerana kita kena yakin dengan ketentuan ALLAH SWT kalau kita mengikut suruhan-Nya,” katanya.

Beliau berkata, sudah banyak syarikat penerbangan seperi Royal Brunei Airlines, Saudi Airlines dan Iran Air mewajibkan pramugari mereka memakai tudung dan ia terbukti tidak menjejaskan reputasi syarikat penerbangan tersebut.

“Tiba masanya pengurusan baharu MAS meneliti dan mengkaji kembali polisi pemakaian uniform dalam kalangan kru penerbangan mereka.

“Pemuda Umno pasti majoriti rakyat negara ini akan memberi sokongan sepenuhnya jika kakitangan MAS berpakaian menutup aurat dan lebih sopan,” katanya.

***Baju kebaya tidak sesuai 

No comments: