Sunday 10 August 2014

PAS DISINGKIR DARI PR... ???

 
 
Dua pimpinan tertinggi PAS, Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah tidak lagi menghormati Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa akhbar Nanyang Siang Pau, 1 Ogos.
Artikel bertajuk ‘Jatuh bangun pakatan rakyat berkait rapat dengan dwi kuasa’ yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun merumuskan perkara itu dapat dilihat melalui kemelut politik Menteri Besar Selangor yang berlaku sekarang ini.
“Dalam kes Menteri Besar (MB) Selangor, PAS dianggap tidak berpegang kepada janji dan tidak menghormati Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin tertinggi pakatan itu.
“Kronologinya seperti berikut, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dalam soal penentuan jawatan Perdana Menteri daripada pakatan pembangkang, PAS tidak memberikan reaksi sepatutnya dan seperti kurang selesa dengan keadaan itu, sekali gus menunjukkan mereka mempunyai niat tertentu dalam politik,” kenyataan dari akhbar itu dipetik.
Akhbar itu meramalkan jika isu MB Selangor tidak ditangani dengan sebaik mungkin, bukan sahaja mampu menggoyangkan kesemua parti dalam pakatan pembangkang tetapi mampu memusnahkan keseluruhan gabungan itu.
Ia juga membuktikan bahawa pakatan itu sebenarnya langsung tidak bersepakat.
“Ini kerana jawatankuasa tertinggi pakatan pembangkang telah sebulat suara memutuskan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun Presiden dan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Datuk Nik Abdul Aziz membantah keputusan itu.
“Membuktikan bahawa mereka langsung tidak menghormati Anwar dan jawatankuasa tertinggi berkenaan.”
Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui kemelut jawatan MB Selangor yang berlaku sekarang merupakan krisis paling buruk pernah terjadi dalam sejarah kewujudan pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Menurutnya, krisis yang berlarutan sejak dua minggu lalu iaitu selepas mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang pada 23 Julai lalu, telah menghakis keyakinan orang ramai terhadap masa depan pakatan pembangkang.
“Ahad ini, 10 Ogos bukan hari penentu untuk Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, tetapi adalah hari penentu kepada pakatan pembangkang yang berusia enam tahun,” katanya dalam blog limkitsiang.com
Kit Siang juga turut membuat satu kesimpulan dalam bentuk kiasan,”Alternatif yang terlalu dahsyat untuk difikirkan adalah PR akan ditolak ke dalam nota kaki sejarah Malaysia.”
Tarikh 10 Ogos (Ahad) yang menjadi rujukan Kit Siang merupakan hari yang ditetapkan untuk Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat membuat keputusan mengenai kedudukan Wan Azizah sebagai MB Selangor yang baharu bagi menggantikan Khalid.
Dalam masa sama, tarikh 10 Ogos merupakan tarikh asal PAS pusat bermesyuarat menentukan pendirian parti mereka terhadap perkara tersebut.
Petang semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu Harakahdaily bahawa PAS Pusat telah menunda tarikh mesyuarat daripada 10 Ogos kepada 13 Ogos.
Keputusan penundaan itu dibuat selepas Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang di Kota Bharu pada 6 Ogos membuat keputusan menolak cadangan PR untuk melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor yang baharu.
Hari ini sekali lagi Setiausaha Agung PAS tampil memberitahu penundaan mesyuarat PAS Pusat kali kedua, dari 13 Ogos kepada 17 Ogos.
Mustafa Ali berkata, pindaan itu terpaksa dibuat kerana ada dalam kalangan anggota yang tidak dapat hadir mesyuarat pada 13 Ogos.
“Oleh kerana mesyuarat ini penting, maka PAS mahu memastikan semua pihak dapat hadir, maka insya Allah, 13 Ogos ini semua boleh hadir,” ujarnya ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Menurut Mustafa, walaupun mengakui Ahli Jawatankuasa PAS boleh hadir jika diadakan mesyuarat pada 10 Ogos, namun ia tidak sesuai diadakan kerana dilihat ‘tidak cukup matang’
“Semua pihak insya Allah boleh hadir mesyuarat pada 10 Ogos tetapi tarikh itu dilihat tidak cukup matang terhadap perkembangan yang berlaku, sebab itu kita tunda kepada 13 Ogos,” jelasnya.

No comments: