Tindak tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim mempolitikkan isu kehilangan MH370 sebagai modal berkempen dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, adalah sesuatu yang sudah dijangka.
Beliau kononnya kesal dengan cara kerajaan mengendalikan insiden tersebut sehingga timbul percanggahan fakta. Sebagai Ketua Pembangkang, kenyataan seperti itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana gelagat begitu memang satu kelaziman.
Kalau ada pun persoalan, ianya menjurus kepada kenapa Anwar mengambil masa sehingga lima hari susulan kehilangan pesawat itu sebelum mengecam kerajaan dalam ceramah-ceramahnya di Kajang?
PR ketandusan isu pada PRK DUN Kajang?
Adakah ia kerana Anwar dan isterinya ketandusan modal untuk menarik undi, lalu keputusan diambil untuk menjadikan MH370 sebagai senjata politik?
Ketika operasi untuk mencari pesawat membawa 239 penumpang dan anak kapal masih buntu, Anwar seolah-olah cuba “mengajar” kerajaan apa yang sepatutnya dilakukan.
Serangan Anwar bersabit krisis pesawat Penerbangan Malaysia mirip dengan tuduhan melulu yang dibuat oleh beliau semasa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu tahun lalu ketika pilihan raya umum ke 13 semakin hampir.
Malah ketika itu, penyokong tegar beliau, Tian Chua menuduh Umno sebagai dalang di sebalik pencerobohan itu. Hanya apabila dikenakan saman fitnah, naib presiden PKR itu menarik balik tuduhan kosong itu dengan memohon maaf kepada Umno di dalam mahkamah.
Dalam kes MH370, Anwar sekali lagi membelakangkan kepentingan negara demi mencari untung politik.
Beliau langsung tidak mahu mengiktiraf hakikat bahawa kerajaan menggalas sebuah operasi antarabangsa yang begitu rumit dalam menyelaraskan aset ketenteraan dan kepakaran 12 negara untuk mencari pesawat malang itu merentasi rantau Asia-Pasifik.
Dalam keghairahan berpolitik, kepentingan nasional diketepikan. Sebaliknya Anwar mahu “memerah” krisis MH370 untuk membangkitkan kemarahan pengundi Kajang terhadap kerajaan hanya demi mencapai kemenangan bagi isterinya.
Dalam siri ceramah-ceramahnya, Anwar cuba mendabik dada kononnya kepimpinan beliau yang tegas semasa memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri lebih berjaya mengurus bencana Highland Tower rebah hingga mengorbankan 48 mangsa pada 13 tahun lalu.
Orang ramai tidak perlu mengimbas begitu jauh untuk menilai kualiti kepimpinan Anwar; cukup sekadar melihat cara kepimpinan Anwar dan isterinya dalam mengurus PKR.
PKR diakui paling lemah dalam Pakatan Rakyat
PKR bukan sahaja dilihat terlalu lemah di bawah kepimpinan Anwar selaku Ketua Umumnya dan Azizah sebagai presiden parti.
Percakaran sesama pemimpin semakin teruk, khususnya pertelagahan di antara timbalan presiden Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim khususnya sejak pilihan raya umum yang lalu.
Pergaduhan merekalah yang akhirnya membawa kepada keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi Kajang sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menggugurkan Khalid sebagai MB.
Selain itu, isu kenaikan gaji wakil rakyat di Selangor dan pertelingkahan sesama ahli PKR pada pemilihan parti turut membuktikan kepimpinan Anwar tidak berkesan.
Senarai kepincangan kepimpinannya terlalu banyak dan pengundi Kajang tentu lebih mengetahui bahawa masalah-masalah setempat mereka tidak berjaya diselesaikan oleh wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh sebelum ini.
Tentunya, penduduk Kajang kali ini mahukan perubahan dari segi meningkatkan taraf kehidupan mereka ke tahap lebih baik.
Sebab itu, apabila Anwar mendabik dada mengenai kepimpinan beliau dan mempolitikkan isu MH370, beliau seolah-olah meludah ke langit dan melihat hanya kuman di seberang laut tetapi cuba menyembunyikan gajah politik dalam dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment