Friday 21 March 2014

CUACA BURUK - TENTERA LAUT AUSTRALIA GAGAL KESAN OBJEK DIKAITKAN #MH370 DI SELATAN LAUTAN HINDI

Info Grafik

KUALA LUMPUR : Cuaca buruk menyebabkan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berdepan masalah mengesan objek yang dicerap satelit di selatan Lautan Hindi, yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia yang hilang, demikian menurut Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA). 

Dalam tweetnya, AMSA menyatakan kepulan awan dan hujan mengehadkan jarak penglihatan anak kapal pesawat P-3 Orion RAAF dalam usaha mencari objek itu yang dicerap oleh satelit kira-kira 2,500km dari barat daya bandar raya Perth di Australia.

Pada Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata imej satelit itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13.

Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.

Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.

Sumber mStar Online

No comments: