Saturday 15 February 2014

JPN ARAHKAN GURU BELASAH 4 MURID DI SMJK DI SITIAWAN JALANI PEMERIKSAAN MENTAL

alt

IPOH 15 Feb - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak jumaat, telah mengarahkan guru lelaki yang dipercayai mencederakan empat pelajar dua hari lepas, menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Manjung.
Timbalan Pengarah JPN Mohd Idris Ramli berkata guru berkenaan direhatkan selama seminggu sehingga 19 Feb ini dan diarahkan menjalani pemeriksaan itu berdasarkan laporan pihak sekolah bahawa guru itu dipercayai mengalami tekanan di samping masalah mental.
"Kita akan meneliti dan menyiasat perkara ini dengan melibatkan semua pihak untuk mengetahui kejadian sebenar termasuk kesemua pelajar berkenaan. Kita telah menghantar dua pegawai kita ke sekolah berkenaan pagi tadi," katanya semalam
Beliau berkata ini kerana tindakannya mencederakan empat pelajar itu dilihat tidak normal berbanding hukuman rotan yang dianggap biasa.
Katanya selepas tempoh berkenaan guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris dan komputer di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Sitiawan itu akan ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Manjung sehingga kes itu selesai.
Mohd Idris berkata guru berkenaan juga pernah terlibat dalam kejadian hampir sama di sekolah yang sama pada 22 Jan lepas namun ia berjaya diselesaikan secara baik dengan keluarga pelajar.
Terdahulu, kejadian berlaku apabila guru berkenaan didakwa bertindak keterlaluan apabila membelasah empat pelajar di sekolah berkenaan pada 12 Feb lepas.
Seorang pelajar lelaki disepak di bahagian muka dan mengalami pendarahan di dagu ketika berada di makmal komputer selain seorang pelajar perempuan ditumbuk lima kali di bahagian muka sehingga menyebabkan cermin matanya patah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata pihaknya menerima laporan daripada empat pelajar berkenaan iaitu seorang pelajar Tingkatan Dua dan tiga pelajar Tingkatan Satu.

No comments: