Friday 22 November 2013

MUSLIMAH PAS YANG TIDAK MUSLIMAH LAGI.... ???


Walaupun Hadi Awang berkeras menafikan wujudnya perpecahan di dalam PAS antara golongan Ulama dengan Anwarinas tetapi semua orang tahu bahawa Hadi Awang hanya menipu diri sendiri dengan penafian itu.

Hadi cuba menuduh isu perpecahan hanyalah rekaan UMNO untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Hakikatnya, pertentangan antara golongan Ulama dengan Anwarinas bukanlah rahsia, malah merupakan pengetahuan umum bagi setiap rakyat Malaysia yang celik politik.

Perpecahan di dalam PAS menjadi semakin parah dengan timbulnya isu Kalimah Allah sehingga menyebabkan pemimpin PAS terpaksa berdolak dalih. Akhirnya, sehingga kini tiada siapa yang dapat menyatakan dengan jelas apakah pendirian PAS sebenarnya berkenaan isu ini.


Bagi menyemarakkan api yang sedang membara, Karpal Singh pula mengacah-acah PAS agar membuang sahaja nama Islam pada parti itu atas alasan parti berasaskan agama sudah tidak relevan lagi di Malaysia.

Apa yang berlaku menyebabkan golongan Ulama di dalam PAS semakin tercabar. Mereka menganggap Karpal sebagai sudah melampaui batas dengan cuba mencampuri urusan dalaman PAS. Bertitik-tolak dari itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat dikaji semula atau dalam kata lain, mencadangkan PAS agar keluar dari pakatan.

Cadangan Datuk Harun tidak mengejutkan memandangkan kedudukan PAS ternyata semakin hari semakin lemah sejak bekerjasama dengan PKR dan DAP. Ini terbukti dari keputusan PRU-13 yang memperlihatkan PAS mendapat kerusi yang semakin berkurangan selain tercorot dalam pakatan pembangkang. Selain itu, undi yang diperolehi PAS di dalam pilihanraya kecil sejak 2009 juga dilihat mengalami pengurangan secara agak konsisten, tidak kira sama ada PAS menang atau tidak dalam PRK tersebut.

Sekiranya keadaan ini berterusan tanpa ada apa-apa pembaikan tidak mustahil kedudukan PAS akan semakin parah dan lemah dalam PRU yang akan datang. Bagaimanapun, Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof telah tidak bersetuju dengan Datuk Harun. Beliau merasakan yang kedudukan PAS semakin kuat berdasarkan kedudukan Pakatan Rakyat. Nampaknya, Siti Zailah benar-benar berpegang kepada kesepakatan yang jitu dengan PKR dan DAP dan tidak lagi melihat PAS sebagai satu entiti berasingan. Baginya, PAS, PKR dan DAP adalah satu, dan kedudukan DAP yang semakin kuat adalah juga kekuatan PAS.

Siti Zailah kemudian berhujah bahawa kerjasama itulah yang membolehkan PR menang di 4 buah negeri dalam PRU-2008. Beliau bagaimanapun tidak menyebut kekalahan satu dari negeri-negeri tersebut dalam PRU-2013. 

Beliau juga berhujah bahawa tahaluf siyasi ini berjaya kerana hari ini ramai di antara pemimpin PAS terlantik menjadi EXCO negeri berbanding sebelumnya Kita tidak tahu sama ada Siti Zailah telah mendengar hujah Datuk Harun mengenai tahaluf siyasi perlu dikaji semula, tetapi kita pasti Siti Zailah telah benar-benar kemaruk kuasa sehingga tidak mampu mentafsirkan antara kekuatan dan kelemahan PAS.

Dari hujah Siti Zailah, kita melihat bahawa sekiranya PAS hanya mempunyai 1 kerusi sekali pun, tetapi jika PR menang dalam PRU serta melantik pemimpin PAS memegang beberapa jawatan, maka ia sudah merupakan satu kemenangan baginya.

Siti Zailah jelas terlupa bahawa perjuangan PAS, DAP dan PKR adalah berbeza. Jika PR menang PRU dengan PAS mempunyai jumlah kerusi tercorot, maka PAS tidak berhak untuk mengatur pemerintahan negara. Ini bermakna PKR dan DAP bebas mencorakkan pemerintahan menjadi negara liberal atau memperkenalkan pluralisme dalam beragama sepertimana hala tuju perjuangan mereka.

Apakah Siti Zailah sememangnya tidak punya masalah dengan hala tuju PKR dan DAP asalkan PAS dibenarkan memegang beberapa jawatan? Inikah yang Siti Zailah ingin katakan?

Jika benar, maka jelaslah bahawa golongan Ulama di dalam PAS kini merupakan golongan yang terpinggir, bersendirian dan mungkin mewakili segolongan kecil sahaja. Ini kerana PAS sebenarnya telah berubah hampir sepenuhnya.

Jika dulu PAS menganggap wanita sebagai kelas dua sehingga melarang mereka menjadi calon, tetapi hari ini wanita PAS bangun menentang Ulama. Apakah komen Datuk Harun mengenai hujah Siti Zailah? Kita sama-sama tunggu dan lihat sama ada Ketua Dewan Ulama ini juga akan memusing kenyataan sendiri bagi menunjukkan yang PAS tidak punya masalah dalaman mahupun masalah dengan pakatan. Apa yang pasti, walau sejauh manapun mereka memusing dan memutarbelit kenyataan sesama sendiri, mereka juga yang akan pening akhirnya. Apabila mereka semakin pening, semakin ramailah yang akan meninggalkan mereka. SUMBER

No comments: