Wednesday 16 October 2013

KESONGSANGAN DAP TAHAP KRONIK


Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dicabar mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng kerana didakwa menjadi punca kepada kemelut dalaman DAP sehingga memaksa pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) diadakan semula.

Bekas Naib Pengerusi parti itu, Zulkifli Mohd. Nor berkata, cabaran itu rasional kerana sistem demokrasi adalah tunjang kepada perjuangan DAP dan oleh kerana itu sepatutnya tiada unsur pilih kasih dalam mengenakan tindakan terhadap pemimpin atau ahli yang melakukan kesilapan.

Menurutnya, pemilihan semula CEC DAP yang diadakan 29 September lalu juga didakwa mempunyai unsur meragukan dengan kehadiran 450 perwakilan haram daripada 120 cawangan yang dinaik taraf.

“Sebanyak 120 cawangan itu asalnya dari kategori B yang hanya layak menghantar pemerhati, namun telah dinaik taraf kepada kategori A yang melayakkan mereka menjadi perwakilan dan mengundi.

CEC sebenarnya tiada kuasa untuk menaik taraf kategori cawangan ini kerana mereka sendiri tak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), malah itulah punca kepada undi tinggi yang diterima oleh Guan Eng," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, kehadiran 450 perwakilan haram itulah yang menambah undi Guan Eng pada CEC berkenaan sedangkan undi sebenar yang diterimanya hanya sekitar 900 undi.

Tambahnya, keputusan itu juga membuktikan ideologi Malaysian Malaysia yang dibawa DAP adalah bersifat songsang dan tidak menepati maksud sebenar demokrasi.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan kepada ROS berkaitan isu itu, Zulkifli berkata, ROS sendiri perlu melakukan siasatan berdasarkan laporan akhbar yang dibuat oleh ahli DAP.

“Saya sendiri tidak akan membawa perkara ini kepada ROS seperti pemilihan lalu dan biar ahli di peringkat akar umbi yang memikirkan sama ada mahu membawa isu pemilihan semula ini kepada ROS atau sebaliknya," ujarnya.

Zulkifli baru-baru ini mendakwa, orang Melayu dalam DAP hanya bernilai 50 sen -UM

No comments: