Sunday 20 October 2013

INIKAH BARISAN TRANSFORMASI UMNO...???


SIAPA yang masuk dan siapa yang keluar dalam barisan kepimpinan UMNO untuk tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2016 sudah diketahui. Tetapi siapakah sebenarnya yang menang dan siapa pula yang kalah?

Bahawa pemilihan kali ini sangat penting bagi UMNO, sudah tidak perlu dihuraikan lagi. Inilah barisan kepimpinan yang diyakini akan membantu menyiapkan parti itu untuk mengukuhkan kedudukannya sebelum pilihan raya umum yang akan datang; boleh jadi pada 2017, boleh jadi juga pada 2018.

Inilah barisan yang digalaskan tanggungjawab untuk mengubah persepsi negatif umum terhadap UMNO. Inilah barisan yang diberi kepercayaan untuk mencorakkan UMNO dalam mengotakan janjinya melaksanakan perubahan. Inilah barisan yang diberi mandat untuk menonjolkan wajah baru UMNO. Inilah barisan transformasi UMNO.

Inilah barisan kepimpinan yang digambarkan sebagai "pasukan impian" yang akan menggalas proses pembaharuan yang dilaung-laungkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sejak beliau mengambil alih pentadbiran parti dan menerajui kepimpinan negara.




Adakah transformasi itu akan berlaku?  Ini sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan.

Melihat kepada senarai nama mereka yang masuk dan yang keluar, yang menang dan yang kalah, seorang kawan saya secara terbuka berkongsi pandangannya: "Transformasi dan perubahan dalam UMNO berjalan dengan cukup lancar… seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku."

Kawan saya itu memang selalu suka menyindir. Saya percaya banyak orang — terutamanya yang berada di luar parti itu — yang cuba membaca apakah mesej yang mahu dihantar oleh suara akar umbi UMNO melalui barisan kepimpinan yang mereka pilih ini. Ada yang sinikal dan ada juga yang berusaha merasionalkan pilihan suara akar umbi UMNO itu.

Setelah Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Jalil masing-masing dikembalikan dengan mudah sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita UMNO kerana lawan mereka yang tidak kuat, bukan sedikit orang mengharapkan akan berlaku perubahan setidak-tidaknya dalam barisan 25 anggota Majlis Tertinggi.

Ini kerana bayangan dan bisik-bisik tentang status quo bagi jawatan Naib Presiden cukup kuat terdengar di mana-mana. Suara akar umbi UMNO mengekalkan status quo dengan memilih semula penyandang — Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Datuk Mukhriz Mahathir gagal dalam cubaannya memecahkan benteng status quo itu.

Tiga Naib Presiden yang dipilih semula itu menafikan bertanding sebagai satu pakatan tetapi muncul bersama menghantar borang pencalonan. Sepanjang tempoh kempen, mereka menafikan lagi bertanding sebagai regu tetapi orang dapat membaca apa yang tersurat dan memahami apa yang tersirat.

Suara akar umbi UMNO mengekalkan status quo kerana yakin kepada kepimpinan parti itu yang sudah menunjukkan prestasinya dalam PRU13. UMNO yang menerajui Barisan Nasional merampas semula Kedah daripada Pakatan Rakyat. UMNO juga menang 88 kerusi di Dewan Rakyat, menambah sembilan kerusi berbanding PRU12.

Ahli-ahli UMNO yang mengekalkan status quo itu tidak mahu dengar tentang prestasi BN dalam PRU13 lebih teruk daripada PRU12. Itu BN; ini UMNO. Bagi ahli-ahli UMNO, parti mereka telah berjaya. Bagi ahli-ahli UMNO, prestasi buruk BN itu adalah kerana parti komponen terutamanya MCA gagal mendapatkan sokongan kaum Cina atau pengundi Cina termakan hasutan Pakatan Rakyat dan tidak tahu mengenang budi.

Pemilihan ini juga membayangkan penolakan yang jelas kepada suara progresif dalam UMNO — suara yang selalu dianggap sumbang di tengah-tengah suara konservatif yang lebih lantang. Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Nur Jazlan yang dilihat suara progresif dalam UMNO yang konservatif gagal mendapat tempat dalam Majlis Tertinggi.

Apakah ini mesej bahawa seruan politik baru dan politik idea masih lagi asing bagi UMNO? Apakah ini mesej bahawa "jangan berlagak pandai dan jangan memandai-mandai"? Apakah ini kemenangan kepada suara konservatif dan kanan yang paling kanan?

Berapa ramaikah pula mereka yang menang dalam pemilihan UMNO ini dipilih kerana idea dan berapa ramai pula yang dipilih kerana kedudukan sedia ada dalam hierarki kuasa? Sekurang-kurangnya lapan Anggota Majlis Tertinggi yang tersenarai adalah menteri atau timbalan menteri manakala muka baharu yang dipilih tidak menonjol dengan idea sebaliknya dikenali selama ini dengan retorik lama.

Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam dalam satu wawancara menjelang pemilihan ini meluah pandangannya dengan nada kecewa. UMNO belum dapat fokus kepada perkara-perkara yang penting untuk negara, katanya. UMNO sibuk dengan isu-isu yang emosional dan bukan isu-isu nasional. Dalam wawancara itu, beliau membangkitkan beberapa persoalan semasa orang Melayu dan masa depan mereka.

"Saya lebih kecewa lagi, isu-isu yang ditimbulkan oleh rakyat jelata tidak disentuh langsung contohnya rasuah dan dakwaan salah guna kuasa, ada calon yang sebut? Tiada langsung," katanya seperti dipetik oleh portal berita, Malaysia Gazette.

Mesej Tun Musa jelas. Beliau mahu pemimpin UMNO mendengar suara rakyat, mengangkat suara rakyat dan jadi jurubicara rakyat.

Tetapi setelah pemilihan ini adakah kita akan mendengar suara parti dan suara kerajaan yang mungkin agak berbeza? Apakah akan ada suara yang lain ketika garis pemisah antara kerajaan dan parti itu hampir tidak ada? Adakah UMNO akan diam lagi tentang hal-hal yang menjadi resah gelisah rakyat dan tanpa sedar atau mungkin dengan sedar menyerahkan tugas itu kepada NGO?

Inilah barisan pilihan suara akar umbi UMNO selepas kuasa memilih diluaskan melalui pindaan perlembagaan pada 2009. Suka atau tidak suka, tepat atau tidak kena, masuk akal atau hilang akal, inilah barisan kepimpinan yang dikehendaki oleh UMNO.

Apa yang baik bagi suara akar umbi UMNO tidak semestinya baik juga pada mata dan fikiran semua orang. Begitu juga, apa yang difahami oleh UMNO dan apa yang ditanggapi oleh orang di luar UMNO tidak semestinya sama.

Tetapi inilah barisan yang telah dipilih. Inilah barisan terbaik yang mereka angkat, atau inikah sebenarnya?


- Astro Awani

No comments: