Tuesday 5 March 2013

PENGARAH HOSPITAL PARAH DITETAK....

Hiasan

IPOH — Akibat tidak berpuas hati kerana diarah berpindah ke unit lain, seorang lelaki bertindak menetak Pengarah Hospital Taiping sehingga parah menggunakan sebilah parang sepanjang dua kaki hari ini.

Dalam kejadian pada 11.20 pagi di hospital berkenaan, Doktor Mohd. Yassim Abdul Rahman cedera di badan, kepala dan tangan selepas cuba menahan asakan serta tetakan seorang petugas di Jabatan Pengimejan dan Diagnostik hospital itu yang berusia 53 tahun.


Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, DSP Leong Wen Yew berkata, kejadian berlaku ketika pengarah itu pergi ke pejabat suspek untuk menemuinya dan mereka dipercayai bergaduh kerana suspek diarah berpindah ke unit lain dan diminta mengosongkan pejabat unit sedia ada.

Akibat tidak berpuas hati, suspek beredar dari situ dan kemudian datang semula membawa sebilah parang sebelum menetak mangsa di ruang legar berhampiran Unit CT Scan hospital berkenaan, katanya sewaktu dihubungi.

Mangsa, yang dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan lanjut turut mengalami patah tulang lengan. Keadaannya dilaporkan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya lain yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebatan. — BERNAMA

No comments: