Tuesday 4 November 2014

MAKTAB MAHMUD BUAT LAPORAN POLIS NAFI VIDEO SAMSENG ASRAMA BULI JUNIOR BERLAKU DI SEKOLAHNYA


Lihat video di sini

PADANG TERAP 4 Nov - Pengurusan Maktab Mahmud Padang Terap, di sini, membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang hari ini menafikan kejadian buli yang tersebar di laman sosial sejak malam tadi, berlaku di sekolah mereka.
 
Laporan polis itu dibuat Penolong Kanannya, Mohd Zulqurnain Mohd Yusoff, kira-kira 2.20 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada individu tidak dikenali mengaitkan video buli terbabit dengan sekolah berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
 
"Sebaik mendapat maklumat itu, saya membuka laman sosial Facebook dan menyaksikan video buli berkenaan, selain melihat sendiri komen salah seorang waris pelajar Tingkatan Dua di sekolah ini yang memberitahu bahawa kes itu berlaku di sini.
 
"Bagaimanapun pihak sekolah menafikan sekeras-kerasnya kejadian itu berlaku di sekolah ini berikutan latar belakang asrama itu sama sekali berlainan termasuk warna besi katil dan cat dinding, " katanya yang membuat laporan polis bersama Pengetua Maktab Mahmud Padang Terap, Nawal Nawawi.
 
Melalui video selama kira-kira 4 minit 37 saat yang mula disebarkan pada malam tadi itu, ia memaparkan sembilan pelajar junior dibuli oleh kira-kira lima pelajar senior.
 
Video itu mula tersebar luas di laman sosial dan menerima kecaman hebat daripada orang ramai.

No comments: