Saturday 12 May 2012

BEKAS EXCO PEMUDA KEADILAN DEDAH SKANDAL TERBARU ANWAR.... pulak dahh!!!



AIDCNews – 12/05/12 – Bekas exco Pemuda Keadilan, Abdul Ghani Haron membongkar satu lagi skandal Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membabitkan seorang anak muda yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam.
“Anwar Ibrahim mengorat anak muda ini..”, dedahnya dalam ceramah Sulong TIBAI di Taman Pinggiran, Gombak, 10 Mei.
Dalam ceramah itu Abdul Ghani turut mendedahkan komunikasi Anwar dengan anak muda tersebut yang disifatkan sebagai mengorat sepertimana pasangan kekasih.
Bekas exco pemuda Keadilan yang pernah dikenakan tahanan ISA itu juga mencabar Anwar melakukan penafian dan bersumpah tidak pernah melakukan perbuatan itu ke atas anak muda tersebut.

DAP vs PAS... GARA-GARA HUDUD..!!! PETANDA PR TERSUNGKUR PRU 13!!!


PAS tetap laksana undang-undang Islam tanpa rakan pakatan sedia ada-
KUALA LUMPUR: DAP dan Karpal Singh ditegur supaya tidak terlalu tamakkan kuasa dalam memutuskan sebarang isu membabitkan pakatan pembangkang, sebaliknya perlu menghormati pendirian PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.
Teguran dibuat Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib susulan kenyataan Pengerusi DAP itu bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak berhak bercakap mewakili pakatan pembangkang mengenai hukum hudud jika pembangkang memerintah negara. Harun berkata, selama ini, kerjasama PAS dengan DAP dalam pakatan pembangkang adalah atas nama parti, bukan Karpal Singh.
“Hadi adalah pemimpin tinggi PAS yang juga sebahagian pakatan pembangkang, jadi kenapa pula beliau tidak boleh bercakap bagi pihak pembangkang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan Hadi sebagai berkata: “Jika pakatan pembangkang memerintah negara, hukum hudud hanya akan dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan diselesaikan, serta penetapan gaji minimum dilaksanakan.”
Harun berkata, PAS akan tetap melaksanakan Islam sebagai addin kerana ia bukan saja meliputi aspek undang-undang, tetapi juga ekonomi, sosial dan pendidikan.
“Kita tetap akan laksanakan hudud dan pinda Perlembagaan walaupun mungkin bukan dengan rakan pakatan yang ada sekarang… mungkin dengan pakatan lain yang memberi sokongan kepada kita nanti. Mungkin ada pihak yang simpati dan menyokong perjuangan kita nanti.
“Jika cukup majoriti (penguasaan kerusi), jika PAS lebih kuat berbanding rakan lain nanti, kita akan laksanakan (hudud dan pinda Perlembagaan),” katanya.
Harun berkata, secara umumnya, majoriti intelektual bukan Islam tidak takut pada hukum hudud, kecuali individu tidak bermoral yang pernah mencuri dan melakukan kesalahan lain.
Sambil menganggap kenyataan Karpal tidak akan memberi kesan kepada PAS, beliau berkata parti yang memperjuangkan Islam itu tidak akan berganjak daripada pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud.
EXCO PAS Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, berkata Karpal tidak perlu campur tangan dalam hal membabitkan hukum Islam kerana PAS sendiri tidak pernah campur tangan dalam hal agama orang lain.
“Kalau orang Cina cakap pasal agama dia, kita tak pernah campur tangan dengan apa yang mereka nak buat, jadi bila kita cakap pasal Islam, hudud, mereka tidak patut ambil tahu, sebab ini hukum kita, agama kita dan kita mahu laksanakan,” katanya.
Pendakwah dan ahli PAS, Datuk Ismail Kamus menyifatkan Karpal seorang pemimpin yang keras hati dan sengaja bertindak seolah-olah tidak memahami konsep pelaksanaan hukum hudud.
“Dia bukan tidak tahu hukum hudud memberi keadilan kepada semua pihak, tapi sengaja buat tidak faham. Begitu juga ada pemimpin PAS sendiri yang tidak senang dengan pelaksanaan ini,” katanya.
- BERITA HARIAN
Dalam Buletin Utama TV3 sebentar tadi, Karpal menegaskan sekali lagi bahawa DAP tetap menentang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam dan menyatakan bahawa di dalam Muktamar PAS yang lalu, PAS telah bersetuju untuk TIDAK melaksanakan HUDUD sebaliknya ditukar ke NEGARA KEBAJIKAN...

MURTAD.....PASTU UMUM BUNUH DIRI DI FACEBOOK

Lelaki Murtad Malaysia Umum Hendak Bunuh Diri Di Facebook Hari Ini

Lelaki Murtad Malaysia Umum Hendak Bunuh Diri Di Facebook Hari Ini..Leh Percaya Ke?

Seorang lelaki yang asalnya beragam Islam bernama Syahir dan kemudiannya murtad menukar agama kepada Kristian, Edward Martin Jesus mengumumkan di Facebook miliknya bahawa dia akan membunuh diri sebelum jam 12 tengah hari, hari ini.
Lelaki itu dikatakan putus cinta dengan wanita bernama Nur Atiqah Nor Aziz. Sebelum membunuh diri dia memberitahu mahu memulangkan barangan pemberian teman wanitanya itu.
Tempoh 14 jam lalu, dia mengumumkan berikut di Facebooknya;
sebelum aku ingin bunuh diri aku akan pergi ke rumah atiqah aziz untuk menyerahkan segala pemberian dia pada aku.. kemudian aku akan bunuh diri di suatu tempat yang aku pernah pergi dgn dia jalan2…
Ada pula yang melaporkan Edward telah meminda tarikh bunuh diri dari tengah hari tadi, kepada 3 Jun pula, yakni tarikh lahir teman wanitanya itu.
Sehingga kini belum dapat disahkan sama ada dia telah melaksanakan niatnya atau tidak.
Maklumat yang diberikan dalam akaun Facebooknya ialah dia pernah bersekolah di SMK Seksyen 19, Shah Alam dan tinggal di bandar yang sama. Tidak diketahui sama ada maklumat berkenaan benar atau tidak
Mesej 6 jam lalu (waktu berita di ditulis ialah pukul 2 petang – 12 Mei).
Ia berbunyi ;
those yg banyak beri support pada aku .. aku minx maaf kerana dr awal hingga akhir usahamu adalah sia2 belaka.. aku sudah buat keputusan… harap perjalanan aku akan berjalan dengan lancar.. jgn ada yang cuba untuk menghalang aku untuk aku bunuh diri!


Tidak diketahui apa nasibnya sekarang. Terlalu banyak bahan berita yang mengelirukan ketika ini, termasuk ada yang kata akaun Facebook miliknya telah digodam.
Apakah dia melawak atau dia serius. Namun, kalau melihat kepada update-update yang diletakkan, nampaknya serius.
Namun, yang memberikan komen pula agak lawak.
Ada yang menasihat Edward agar bersabar tunggu Euro habis dulu, ada yang kata layan hindustan kejap, ada yang paste link untuk jual barang kat internet, mengambil kesempatan untuk berkenalan, ada jugak yang mengatakan kisah cinta dia lebih baik pada filem Twilight.
Ada pula rakan lama yang memaki Edward dengan mengatakan dia seorang kaki buat drama.
Apa pendapat anda, dia ni buat lawak nak perhatian atau memang dia akan meneruskan niatnya? Apa yang boleh kita buat?
Facebook Edward Martin Jesus di sini.



BEKAS KETUA PENULIS BLOG BARACK OBAMA PUJI PENDEKATAN NAJIB


KUALA LUMPUR: Sam Graham-Felsen, bekas ketua penulis blog Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meraikan rakan internet beliau pada majlis sarapan dan jamuan petang sebagai sebahagian daripada pendekatan baru untuk mendampingi pelbagai kumpulan masyarakat di negara ini. 

Graham-Felsen yang berkhidmat sebagai penulis blog Obama pada pemilihan presiden 2008, berkata Obama juga mengamalkan pendekatan serupa iaitu melalui "Dinner with Barack".

"Majlis makan malam adalah peluang terbaik bagi orang biasa untuk berkongsi pengalaman dengan presiden dan saya rasa (menjadi hos sarapan dan jamuan teh) adalah langkah yang cukup baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada majlis makan tengah hari bertajuk "Daripada Satu Klik Kepada Satu Gerakan: Bagaimana Media Sosial Mengubah Organisasi Anda dan Dunia" di sini, hari ini. 

Ceramah itu dianjurkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2012. 

Graham-Felsen berkata demikian ketika diminta mengulas majlis sarapan yang dihoskan Najib bagi empat pengikut Twitter beliau di Chawan Restaurant di Bangsar, di sini hari ini. 

Beliau berkata, pertemuan seperti itu juga akan memberi peluang kepada pemimpin untuk mendengar keluhan dan sungutan orang kebanyakan. 
Sementara itu, beliau berkata walaupun pengikut media tradisional mengalami penurunan ketara, imbangan yang mantap antara media tradisional dan media baru perlu ada. 

"Media tradisional masih alat pemujukan penting berbanding media baru, manakala saluran tradisional pula perlu mengguna pakai platform lebih bersifat interaktif untuk membolehkan orang ramai, khususnya golongan belia, menyumbang pandangan mereka," katanya. - BERNAMA

PART 5 (FINAL) - SURAT TERBUKA TAMRIN TUN GHAFAR UNTUK YAB PERDANA MENTERI





PENUTUP



YAB Dato’ Sri,

Kemarahan rakyat, terutamanya generasi muda ialah kerana UMNO dan para pemimpinnya didapati sudah menyimpang jauh daripada landasan perjuangan asal sehingga amalan rasuah, skandal, boros dan berbelanja mewah menjadi darah daging. Sebagai orang UMNO, saya amat malu mendengar label baru terhadap parti kita iaitu “UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO” umpama aur dan tebing serta lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.

Oleh kerana marah yang teramat sangat, ada pula yang mengatakan “mengundi UMNO dan BN serupalah memberi talian hayat untuk pemimpin-pemimpinnya terus merompak kekayaan negara.

UMNO adalah umpama sebuah bantera yang di suatu ketika dahulu banyak berjasa. Nakhoda demi nakhoda dan anak-anak kapal pula ketika itu telah berjaya mengemudikan bahtera tersebut ke destinasi yang dirancang dengan selamat. Malangnya oleh kerana dek telan zaman, bahtera tersebut mulai reput, bocor dan kain layarnya pun mulai koyak dan berlubang-lubang. Anai-anai pula bermaharajalela. Tambah pula nakhoda dan anak-anak kapalnya pula tak ubah seperti cerita “The Pirates of the Carribbean”. Makin hari makin teruk keadaannya, tak ubah seperti warga emas yang menghidap seribu satu macam penyakit yang tidak mampu lagi diubati dan menunggu masa saja untuk ditalkinkan.

Terharu benar rasanya melihat bahtera yang dibina begitu indah dan gagah oleh pejuang-pejuang yang telah pergi sedang melalui proses putaran alam yang serupa. Inilah keadaan UMNO/BN hari ini.

Ada yang berhujah mengapa tidak kita ahli-ahli UMNO membantu menyelamatkan kapal (UMNO) yang hampir tenggelam ini.


YAB Dato’ Sri,

Sebagai contoh, beberapa kali apabila Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk membantu menyelamatkan UMNO, usaha murni beliau itu telah disekat dengan pelbagai cara dan helah; dengan ‘nasihat’ dari Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada pemimpin-pemimpin bahagian UMNO, dengan menabur pelbagai janji dan akhirnya dengan membeli mereka. Akhbar-akhbar pula begitu bermurah hati memberi ruang yang seluas-luasnya menghina beliau dengan kata-kata kesat dan sinis seolah-olah beliau adalah pengkhianat bangsa. Pemimpin UMNO Kelantan pula begitu lantang mengatakan beliau adalah pemimpin ‘has been’, tidak relevan dan berbagai lagi.

Tetapi apabila menghadapi pilihanraya keil Galas, akhbar-akhbar yang sama menyiarkan di muka hadapan puji-pujian pemimpin UMNO khasnya pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan yang pernah mengkritik beliau di satu ketika dahulu. Kata mereka, Tengku Razaleigh ialah pemimpin berkaliber yang paling layak mengetuai jentera pilihanraya UMNO/BN di sana sehingga ada pula yang mencadangkan beliau dinamakan sebagai calon. Pendek kata kuli tangan Tengku Razaleigh menjadi haus kerana ciuman ahli-ahli UMNO ketika itu. Begitu melangitnya pujian sehingga beliau sendiri merasa ‘syok’.

Menang saja pilihanraya kecil itu tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih kepada beliau dari pemimpin-pemimpi UMNO. Sekali lagi beliau dipinggirkan. Apabila beliau melancarkan AMANAH, Timbalan Perdana Menteri terus mempersoalkan tindakan itu.

Sekarang oleh kerana nak merampas semula Kelantan dari Pas, sekali lagi Tengku Razaleigh akan digunakan. Tiba-tiba saja Perdana Menteri akan memberi penghormatan kepada beliau dengan melawat Gua Musang pada 4hb Mei ini.

Tidak hairanlah jika sekiranya berbagai jenis projek dan bantuan segera akan dihulurkan di sana seperti membaikpulih atau membina sekolah-sekolah, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Bentong dan lain-lain lagi. Sudah ada cakap-cakap sekeping replika cek bernilai RM5 juta akan disampaikan untuk membina semua sebuah masjid. Memang segala bantuan dan projek-projek baik untuk rakyat, hanya mereka mempersoalkan mengapa ketika hampir pilihanraya baru nak diberi. Mengapa tidak dilakukan setahun dua dulu.

Tidak mustahil juga jika sekiranya Perdana Menteri pada pada hari lawatan itu (4hb Mei) akan mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh dipilih semula sebagai calon BN Gua Musang.

Begitu juga nasib Tun Mahathir tidak berapa lama dulu. Walaupun pernah memimpin UMNO dan negara selama lebih 22 tahun, apabila saja tidak berjawatan UMNO tidak pedulikan beliau lagi. Nak jadi wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO pun tak dapat. Yang sedihnya bak kata Tun Mahathir, beliau dikalahkan dengan hanya RM200 saja yang diberi kepada setiap perwakilan, ditambah pula dengan sabotaj dari pemimpin UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian. Sekali lagi media cetak dan elektronik tlah digunakan untuk membelasah Tun Mahathir. “Itulah UMNO!!!” kata mereka yang bersimpati dengan beliau.

Nasib yang sama juga pernah dilalui oleh Tan Sri Isa Samad. Dengan komplot yang didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO Pusat dan Negeri, beliau akhirnya diaibkan oleh ‘mahkamah’ UMNO; dipecat bukan sahaja sebagai Naib Presiden UMNO bahkan juga sebagai Menteri Kabinet.

Oleh kerana mahukan kemenangan selepas UMNO/BN kalah di beberapa pilihanraya kecil sebelum itu, UMNO TERPAKSA ‘menjilat ludahnya’ sendiri dengan memilih beliau sebagai calon pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bayangkan kedudukan beliau kini jika tidak ada pilihanraya kecil itu.

Begitulah juga dengan keadaan arwah ayahanda saya Tun Ghafar. Menunggu selama hampir 3 bulan nak berjumpa seorang Menteri Besar UMNO yang kebetulan pernah bertugas dibawahnya sebelum itu. Selepas gagal, beliau membuat temujanji berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu. Hanya dalam tempoh 2 hari saja mereka dapat bertemu di pejabat Tuan Guru. Bukan itu saja, Tuan Guru menawarkan kereta kerajaan kepada beliau walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan, tambah pula mereka berlainan parti. Itulah beza pemimpin UMNO dengan Pas.

Selepas keluat kabinet tidak ada sesiapa pun pemimpin UMNO yang ambil kisah tentang beliau sama ada kesihatan mahupun masalah kewangannya yang sehingga kini beberapa orang ahli keluarga terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan. Itulah hadiah UMNO kepada seorang pahlawan yang pernah disanjung.

Itulah juga sikap (attitude) sebahagian besar ahli-ahli khasnya pemimpin-pemimpin UMNO. Justeru, bagaimanakah UMNO hendak diselamatkan?

Pandangan dan teguran orang-orang lama dipandang sepi malah ada diantaranya dianggap musuh parti. Akibatnya ada yang dipecat dan ada pula yang dinasihatkan keluar parti seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tanpa mengambil peduli sumbangan mereka yang begitu banyak kepada UMNO. Tidak hairanlah ramai pengasas dan pejuang UMNO sepertu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn (bapa Datuk Hishammuddin) mati di luar UMNO. Malah Tun Mahathir sendiri pernah keluar UMNO.

Sebenarnya UMNO tidak salah, yang salah ialah pemimpin-pemimpinnya.

“Jika UMNO tidak berubah UMNO akan diubah” – itulah kata-kata YAB Dato’ Sri yang juga merupakan doanya di Perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu.

Ramai berpendapat pemimpin-pemimpin hari ini hanya pintar dengan slogan dan retorik. Mereka mula turun padang mendekatkan diri dengan rakyat ketika memerlukan sokongan rakyat sahaja. Rakyat didendangkan dengan janji-janji manis seolah-olah merekalah pejuang rakyat sebenar. Cara mereka memujuk rakyat tak ubah seperti ayah memujuk anaknya dengan memberi gula-gula. Tiba-tiba rakyat diberi saguhati RM500, penuntut diberi RM200 dan RM100.

Tetapi sebahagian besar rakyat masih terus dalam keadaan susah oleh kerana kos sara hidup (cost of living) terus meningkat setiap hari. Kadar jenayah dan rasuah semakin buruk tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan juak-juaknya tidak segan-segan merompak khazanah negara. Mereka tidak peduli undang-undang kerana itu semua adalah dibawah cengkaman mereka. Tambahan pula mereka yakin sebahagian besar rakyat terutama orang-orang Melayu khususnya di luar bandar mudah dipengaruhi dengan propaganda yang dipasak bertubi-tubi melalui akhbar dan stesen radio serta tv.

Saya mengaku di zaman Pemuda dahulu, saya juga terlibat dengan jayanya menanam perasaan takut orang-orang Melayu bahawa tanpa UMNO Melayu akan hilang kuasa dan tanpa kuasa masa depan orang-orang Melayu akan gelap-gelita. PAS pula digambarkan sehingga kini parti yang hanya bercakap tentang akhirat semata-mata dan tidak berjuang membangunkan ummah. Sehingga hari ini propaganda kononnya DAP akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Raja-Raja terus dibisik-bisikkan. Tanya mereka, siapakah hari ini yang bertanggungjawab mengenepikan hak-hak istimewa Bumiputera dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, jika bukan UMNO. Begitu juga bukankah pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri yang memberi lesen kepada rakan kongsinya, MCA acapkali menghina agama suci kita dengan mengatakan pelabur-pelabur akan lari dan rakyat akan menderita jika Pas memerintah negara ini berlandaskan hukum Islam. MasyaAllah! PKR pula digambarkan dengan berbagai skandal seolah-olah pemimpin UMNO/BN adalah “maksum” – tidak tercemar dengan sebarang maksiat dan skandal.

Masa berlalu, zaman pun berubah namun UMNO/BN tetap dengan propaganda yang usang itu. Rakyat kini terutama golongan muda sedar dengan helah itu semua.

Sekiranya kepercayaan dan keyakinan rakyat dapat dikembalikan yang mana sebahagian besarnya adalah melalui apa yang saya sarankan melalui surat ini, saya penuh yakin UMNO dan BN masih mampu mencipta detik gemilangnya.

Sebelum terlupa, ada juga kawan-kawan lama kita berdoa dan berharap agar perbicaraan kes rasuah “Kapal Selam Scorpene” milik negara di Mahkamah Perancis tidak akan membabitkan YAB Dato’ Sri atau mana-mana ahli keluarga. Ia juga diharap tidak ada kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya yang masih diperkatakan.

Meskipun surat ini untuk tatapan YAB Dato’ Sri tetapi sekiranya selepas 14 hari daripada surat ini dihantar dan didapati tiada respon daripada YAB Dato’ Sri untuk memulihkan keadaan dan memperbaiki kerosakan dalam negara sebagaimana yang disebutkan diatas, saya merasakan tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan menghakiminya dengan memberi ruang kepada seramai mungkin rakyat turut sama membaca surat ini.

Dengan rakyat turut sama membaca surat ini setelah ianya tidak mendapat respon daripada pihak YAB Dato’ Sri, saya beranggapan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Selebihnya saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan sama ada mereka mahu terus menyokong kepimpinan YAB Dato’ Sri dan UMNO atau sebaliknya.

Saya tidak akan terperanjat jika sesudah surat ini tersebar luas, ramai ‘hero-hero’ UMNO terutama di kalangan mereka yang sedang menyiapkan diri untuk dipilih atau dipilih semula sebagai calon, akan “menyerang” saya.

Tidak kurang juga “mualaf-mualaf” UMNO/BN iaitu mereka yang baru “bertaubat” setelah memaki hamun UMNO/BN bertahun-tahun lamanya dianugerahkan pangkat dan kemewahan dan masih menunggu lebih banyak lagi “durian runtuh” akan bertindak sebagai “askar upahan” memaki hamun saya pula seperti apa yang mereka lakukan terhadap rakan seperjuangan mereka di suatu ketika dahulu.

Saya yakin ada diantara askar upahan ini akan mendesak pemecatan saya daripada UMNO. Umum tahu askar upahan dan mualaf politik ini tidak lebih seperti “harimau sarkas” yang sentiasa lapar menunggu diberi habuan. Harimau sarkas ini terpaksa disuap kerana mereka tidak pandai mencari makan sendiri. Sekiranya habuan tidak diberi dengan cukup dan memuaskan, mereka juga akan membaham tuannya sendiri. Nasihat saya kepada YAB Dato’ Sri agar berwaspada dengan specis harimau sarkas ini.

Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sama ada mahu menerima tekanan daripada mereka itu tetapi saya membuat keputusan menulis surat ini dan berucap di khalayak ramai adalah kerana saya tidak mahu dituduh seperti “lembu” yang boleh dicucuk hidung.

Ada kawan-kawan mengingatkan tidakkah saya takut tindak balas (reaction) dari pemimpin-pemimpin UMNO terhadap saya dan ahli keluarga. Kata mereka lagi, pemimpin-pemimpin UMNO boleh menyekat rezeki, mengaibkan di muka pengadilan, membankrapkan dan malah dengan kuasa yang diberi oleh rakyat, mereka boleh buat apa saja.

Kepada Allah saya berserah; Dialah Yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa. Dari Dia kita datang dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Allahu Akbar!!!

Adalah menjadi harapan saya agar YAB Dato’ Sri dapat meluangkan masa membaca dan meneliti surat ini demi survival UMNO dan BN di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

TAMRIN TUN ..


PART 4 - SURAT TERBUKA TAMRIN TUN GHAFAR UNTUK YAB PERDANA MENTERI



14. ROYALTI MINYAK

YAB Dato’ Sri,

Dalam isu royalti minyak untuk rakyat Kelantan, saya amat kagum dengan ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan rakyat Kelantan berhak memperolehi royalti minyak itu sebagaimana yang telah dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Tindakan YAB Dato’ Sri enggan memberikan royalti minyak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan menggantikannya dengan wang ihsan, bukan sahaja menunjukkan sikap pilih bulu terhadap rakyat Kelantan tetapi juga menganiaya mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adalah sesuatu yang amat menghairankan jika peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa yang lain semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan royalti minyak sebanyak 5 peratus diberikan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan tidak dihormati.

Bukankah rakyat Kelantan juga adalah rakyat negara ini? Apakah rakyat Kelantan tidak dikenakan membayar cukai seperti orang lain? Mengapakah mereka dianak-tirikan semata-mata kerana faktor politik?

Baru-baru ini saya ke Kota Bharu bersama Tengku Razaleigh Hamzah. Saya amat hairan mengapa pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan termasuk Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussain serta pemimpin UMNO Bahagian-bahagian bermati-matian menentang Pas yang berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan royalti minyak bagi rakyat Kelantan. Di manakah perjuangan UMNO untuk rakyat sebenarnya?

Mereka sepatutnya berasa malu mengaku berjuang untuk rakyat Kelantan, termasuk berkempen rumah ke rumah sedangkan apa yang sebenarnya mereka lakukan bukannya untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi.

Bermula dengan Terengganu apabila UMNO/BN dibawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di sana, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan ‘wang ihsan’ sehingga ke hari ini. Ini kerana kerajaan Pas dibawah pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebab-sebab yang kita semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga kini.

Kini trend yang sama diguna pakai oleh YAB Dato’ Sri. Sepatutnya YAB Dato’ Sri TIDAK mengikuti jejak langkah Tun Mahathir yang rata-rata rakyat di sana mengatakan tidak mempunyai perasaan dan hati perut. Mereka mempersoalkan di mana sumpah janji YAB Dato’ Sri “rakyat didahulukan” melainkan YAB Dato’ Sri, Dato’ Mustapa Mohamed, Datuk Awang Adek Hussain, Datuk Fatmi Che Salleh dan pemimpin-pemimpin lain menganggap negeri Kelantan bukan sebahagian dari negara ini.

Jika wang ihsan ini lebih menguntungkan rakyat dari royalti minyak, mengapa tidak diselaraskan saja wang ihsan ini termasuk untuk Sabah dan Sarawak?

Dato’ Mustapa Mohamed hanya bernasib baik di Jeli kerana terdapat kem tentera (undi pos) yang telah memberi kemenangan kepada beliau.

Semasa Tengku Razaleigh Hamzah selaku Presiden Petronas menandatangani Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan negeri-negeri, YAB Dato’ Sri hanya seorang junior officer yang ditempatkan di pejabat Presiden Petronas ketika itu.

Jika YAB Dato’ Sri sanggup meminta maaf kepada rakyat Kelantan dan memulangkan HAK mereka sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan Tengku Razaleigh sendiri, saya percaya negeri Kelantan juga akan dapat dibangunkan dengan lebih maju lagi seperti negeri-negeri lain. Perkara ini boleh YAB Dato’ Sri lakukan semasa lawatan rasmi ke Gua Musang pada 04hb Mei depan.

Mengikut pengalaman, pasti selepas saja YAB Dato’ Sri membuat pengumuman seperti yang dicadangkan ini pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di semua peringkat terutamanya di Kelantan akan mendabik dada mengataka perjuangan mereka selama ini telah berhasil. Akhbar-akhbar khasnya Utusan dan Berita Harian serta stesen radia dan TV akan memberi headline sensasi seperti “Najib Pemimpin Rakyat Sebenarnya” dan lain-lain tajuk lagi.

15. DEBAT DENGAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

YAB Dato’ Sri,

Sekarang ini di mana-mana orang mempertikaikan kewibawaan YAB Dato’ Sri berikutan keengganan untuk menyahut cadangan Merdeka Centre berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pengurusan ekonomi negara. Dalam perkembangan tamadun manusia, debat sebenarnya sudah diterima sebagai salah satu kaedah untuk menguji kebijaksanaan seseorang. Sebab itulah di beberapa negara maju seperti AS misalnya, kaedah debat dalam pemilihan Presiden negara itu begitu popular dan dinanti-nantikan bukan saja oleh rakyat Amerika, malahan di seluruh dunia.

Di sekolah dan pusat pengajian tinggi juga debat sudah menjadi acara tahunan yang dipertandingkan sejak sekian lama untuk menguji kehebatan dan kecerdikan seseorang.

Dalam isu debat antara YAB Dato’ Sri dengan Datuk Seri Anwar, ia bukan saja medan untuk menguji kewibawaan, kecerdikan dan kepetahan masing-masing dalam melontarkan idea dan perancangan untuk kepentingan negara tetapi ia juga akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai secara objektif dan matang tawaran-tawaran manakah yang lebih baik untuk kepentingan rakyat dan negara.

Debat sama-sekali tidak bermaksud untuk melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang tetapi melalui lontaran idea yang dicurahkan, ia mampu memberi ruang yang lebih baik untuk rakyat membuat pilihan serta pertimbangan dalam PRU 13 nanti.

Selain Amerika Syarikat, Great Britain dan Negara-Negara Eropah – Indonesia dan Thailand pun mengamalkan debat. Di Malaysia pula, rakyat begitu mengalu-alukan debat antara MCA dengan DAP serta Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli yang diadakan baru-baru ini dan debat antara Datuk Seri Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak berapa lama dulu. Rakyat juga tentunya tidak lupa debat yang pernah berlangsung antara Tun Dr Mahathir dengan Allahyarham Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Dalam isu debat ini, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri pernah menyatakan kesediaan untuk mengaturkan debat itu.

Malahan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, bekas wakil rakyat Pulau Manis dan Ketua Penerangan UMNO Pekan dalam blognya Sakmongkol AK47, mempersoalkan jika tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, mengapa YAB Dato’ Sri selaku ketua kerajaan sering berdolak-dalik untuk menghadapi debat ini.

Lupakah apa yang YAB Dato’ Sri pernah kata tidak berapa lama dulu iaitu jika debat ini diadakan ia akan pasti memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana selaku Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri mempunyai banyak dokumen dan sekian ramai pegawai yang akan membantu YAB Dato’ Sri.

Yang anehnya, dalam masa yang sama YAB Dato’ Sri terus mengelak walaupun Datuk Seri Anwar telah menerima tawaran Merdeka Centre itu malah sanggup memberi “extra time” kepada YAB Dato’ Sri sewaktu debat nanti.

Walaupun sudah meninggalkan UMNO, namun beliau tidak mahu YAB Dato’ Sri dilabel dalam sejarah sebagai seorang Perdana Menteri yang amat penakut dan pengecut.

Lagi pula, berdasarkan kajian Merdeka Centre, didapati 76 peratus generasi muda mahukan debat itu diadakan. Ini tentunya memberi maksud bahawa sekiranya YAB Dato’ Sri dapat menunjukkan keberanian menyahut cabaran debat itu, saya percaya undi dan sokongan generasi muda secara majoritinya akan tertumpah kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang ini.

BERSAMBUNG  KE PART 5 - TERAKHIR...........................

PART 3 - SURAT TERBUKA TAMRIN TUN GHAFAR UNTUK YAB PERDANA MENTERI


5. PINJAMAN PTPTN


Saya cukup tertarik dengan tawaran Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang pinjaman PTPTN kepada para pelajar pusat pengajian tinggi dan ingin memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Bagi saya, tawaran Pakatan Rakyat itu amat baik dan relevan demi kepentingan rakyat, generasi muda dan kepentingan melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti untuk negara.


Demi kepentingan rakyat dan untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda dalam pilihanraya umum ini, saya ingin menyarankan agar YAB Dato’ Sri segera bertindak pantas menghapuskan pinjaman PTPTN ini kerana ia didapati begitu membebankan pelajar dan menyebabkan mereka dibelenggu dengan hutang sebelum pun memasuki dunia pekerjaan.


Pinjaman PTPTN ini ternyata amat membebankan generasi muda dan tidak adil jika dilihat daripada kesediaan kerajaan memberikan pinjaman RM250 juta dengan kadar faedah hanya 2% serta diberikan tempoh membayar balik selepas lima tahun yang diberikan kepada projek lembu NFC.


Lagi pun, jika hutang Tan Sri Tajuddin Ramli berjumlah RM589 juta terhadap kerajaan pun dapat dilupuskan, tentulah tiada masalah bagi pihak kerajaan menghapuskan hutang PTPTN ini demi kepentingan modal insan negara.


Saya bersetuju dengan pandangan Tengku Razaleigh melalui hasil minyak negara sebanyak antara RM80 hingga RM90 bilion setahun, ianya tidak menjadi masalah kepada pihak kerajaan untuk memperuntukkan sebahagian kecil daripadanya untuk membiayai pelajaran anak-anak muda kerana mereka inilah harta negara sebenarnya yang perlu diberi perhatian serta tumpuan.


Mengapakah kerajaan terlalu berkira sangat dalam soal hutang PTPTN ini kerana jika mengikut laporan di mana hutangnya hanya tinggal RM24 billion dan andainya pembayaran balik dilakukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun, kerajaan hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang kecil sahaja sedangkan inilah pelaburan terbaik untuk masa depan negara.


Oleh kerana cadangan ini datangnya dari Pakatan Rakyat, kerajaan menolaknya dengan alasan yang susah diterima akal yang waras iaitu negara akan bankrap jika sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan. Amat cetek sekali pemikiran dan pendekatan kerajaan dalam menangani isu PTPTN ini.


Yang sedih dan memilukan apabila sekumpulan “askar-askar upahan” mencederakan anak-anak muda (penuntut) yang berpiket secara aman di Dataran Merdeka. Saya diberitahu, anggota polis yang berhampiran mengambil masa agak lama sebelum bertindak seolah-olah mengizinkan insiden tersebut. Begitu juga tindakan kasar Penguatkuasa DBKL. Sekarang ini mereka menyalahkan anak-anak muda ini pula dengan mengheretnya ke mahkamah – Ialah mereka yang berkuasa!!


6. CAMPURTANGAN SISTEM KEHAKIMAN


Baru-baru ini telah didedahkan minit mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri sendiri di mana di dapati wujud usaha campurtangan untuk mempengaruhi hakim-hakim dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan antara para peneroka dengan Felda. Pendedahan ini begitu mengejutkan kerana ia didapati campurtangan yang tidak wajar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri yang saban hari melaungkan perjuangan mengutamakan rakyat, termasuk peneroka. Kata mereka mungkin banyak lagi kes-kes yang membabitkan campurtangan YAB Dato’ Sri dalam sistem kehakiman ini.


Adalah penting untuk YAB Dato’ Sri membersihkan nama dalam hal ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ianya boleh berlaku. Pandangan rakyat dalam hal ini amat mudah, jika ianya tidak benar mustahil ia boleh dimasukkan dalam minit mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri sendiri. Sudah mula kedengaran cakap-cakap, dulu Mahathir sekarang Najib pula!


7. ISU PENGUNDI HANTU DAN HIMPUNAN BERSIH 3.0


Mengikut laporan-laporan yang didedahkan dalam media, isu pengundi hantu dan berleluasanya amalan menjadikan warga asing sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi amat menakutkan sekali. Warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja didapati begitu ramai dijadikan sebagai pengundi.


Dalam masa yang sama, pengundi hantu di beberapa kawasan dan negeri juga didapati bertambah dengan mendadak. Selain Selangor yang didapati berlaku pertambahan jumlah pengundi yang besar, dilaporkan di kawasan Parlimen Pekan sendiri, jumlah pengundi baru bertambah sebanyak lebih 18 ribu. Ini tentunya merupakan suatu pertambahan yang meragukan.


Mengikut mereka, pertambahan jumlah pengundi di Pekan dilakukan selepas YAB Dato’ Sri menang tipis cuma 241 undi pada 1999 di mana pengimportan pengundi warganegara asing daripada Kemboja dan Myanmar berjumlah beberapa ribu orang bermula.


Oleh kerana media cetak dan elektronik utama dikuasai kerajaan, maka pelbagai pendedahan telah dibuat melalui akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Rata-rata rakyat amat sedih melihat bagaimana kerajaan sanggup memberi kerakyatan kepada berpuluh ribu orang asing sebegitu mudah semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini.


Proses membersihkan senarai pengundi amatlah penting dilakukan supaya pilihanraya berjalan dengan adil dan bersih. Adalah tidak berguna memenangi pilihanraya jika kemenangan itu hanya disumbangkan oleh undi daripada rakyat Bangladesh, Indonesia, Myanmar serta Kemboja dan ia tidak lebih umpama kata pepatah “menang sorak kampung tergadai” atau “menang pilihanraya negara tergadai”. Nauzubillah!


Oleh kerana kebanjiran begitu ramai rakyat negara asing dianugerahkan kad pengenalan biru untuk dijadikan pengundi terutama di Selangor dan beberapa kawasan tertentu, sudah ada ejekan iaitu UMNO bukan lagi United Malay National Organisation tetapi berubah kepada United Myanmar Nepalese Organisation. You have to prove them wrong.


YAB Dato’ Sri,


Rakyat sebenarnya mahukan pilihanraya yang bersih, bersih dari segala jenis penipuan dan SPR yang benar-benar bebas tetapi jelas terbukti kerajaan seperti tidak mahu melayani permintaan-permintaan tersebut dan SPR pula bersubahat dengan kerajaan. Kerajaan yang bersih sepatutnya menerima dengan hati terbuka kehendak rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih.


Untuk maksud tersebut, YAB Dato’ Sri mestilah serta-merta melantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang baru, ini ekoran pendedahan kedua-dua mereka iaitu Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli UMNO. Patutlah kedua-dua mereka ini dilihat tidak bersikap bebas dan bersih melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seperti yang dituntut oleh Perlembagaan dan undang-undang.


Tidak salah kakitangan awam menjadi ahli mana-mana parti tetapi masyarakat mengharapkan penjawat jawatan tinggi seperti Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mestilah bebas dari hubungan dengan mana-mana parti politik.


Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang baru WAJIB bertindak serta-merta membersihkan daftar pengundi dengan sebaik mungkin dan menolak kewujudan pengundi hantu yang tidak masuk akal seperti wujudnya nama 100 pengundi yang menggunakan satu alamat rumah.


Kewujudkan warga asing sebagai pengundi juga mesti dibersihkan demi maruah dan keselamatan negara. Justeru atas permintaan BERSIH, YAB Dato’ Sri perlu menubuhkan segera sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes-kes pemberian kad pengenalan dan mendaftarkan warga asing sebagai pengundi. Jika di Sabah Suruhanjaya Diraja boleh ditubuhkan walaupun belum dilaksanakan, untuk menyiasat isu kebanjiran beratus ribu warga asing di sana dan betapa mudahnya mereka memperolehi kad pengenalan, saya tidak nampak ia tidak boleh dilakukan.


Naib Presiden UMNO, Datuk Shafie Afdal baru-baru ini menyelar parti-parti politik yang kononnya akan menerima bantuan asing dan menyifatkan ianya amat merbahaya terhadap kedaulatan negara tetapi saya ingin memberitahu, perbuatan memberi kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi adalah jauh lebih merbahaya daripada itu.


Sehubungan itu, selain saya menyokong Himpunan Bersih 3.0 28 April ini, saya juga berpendapat bahawa UMNO dan kerajaan tidak mempunyai alasan untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan secara aman di Dataran Merdeka seperti yang dicadangkan. Dataran Merdeka adalah HAK rakyat juga asalkan mereka tidak merosakkannya.


Oleh kerana yang dituntut hanyalah proses pilihanraya yang bersih, jika YAB Dato’ Sri menentang dan menunjukkan sikap keras terhadap tuntutan rakyat sebagaimana Bersih 1.0 dan 2.0, ia hanya menyerlahkan YAB Dato’ Sri berada di pihak yang “kotor”. Diharap polis dan samseng-samseng tidak akan digunakan untuk membelasah dan menangkap mereka yang akan mengambil bahagian pada 28 April ini dan kemudiannya akan menyalahkan mereka yang dizalimi.


Dalam hal ini YAB Dato’ Sri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (SPR) dan Datuk Noh Omar serta Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai umat Islam perlu berani menjunjung al Quran bersumpah di mana-mana masjid bahawa YAB Dato’ Sri dan mereka TIDAK tahu-menahu langsung berkenaan skim penipuan mendaftarkan warganegara asing sebagai pengundi, menempatkan berpuluh ribu rakyat warga asing yang telah diberi kad pengenalan biru di Sabah dan sebagai pengundi di Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Pahang dan juga Wilayah Persekutuan.


Mengikut Perlembagaan Negara dan undang-undang, perbuatan keji seperti ini adalah merupakan PENGKHIANATAN (TREASON) KEPADA NEGARA dan hukumannya ialah gantung sampai mati seperti mana kes Al Maunah suatu ketika dahulu.


Begitu juga dengan tindakan SPR memindahkan pengundi dari tempat asal ke tempat lain TANPA mendapat izin tuan punya diri dan penggunaan jentera kerajaan secara berleluasa termasuk propaganda akhbar dan juga stesen radio serta tv mesti dihentikan serta-merta.


Mengikut hukum Islam pun, matlamat tidak menghalalkan cara dan matlamat yang benar mesti dicapai melalui kaedah yang benar jua.


Saya penuh yakin kiranya tindakan-tindakan yang konkrit ke arah memastikan perjalanan pilihanraya umum akan datang yang benar-benar bersih daripada tipu helah sebagaimana dikehendaki rakyat dapat dilakukan, ia mampu melonjakkan keyakinan rakyat dan YAB Dato’ Sri sendiri akan dikenang sebagai Perdana Menteri yang berani, telus dan penuh wibawa. Malah masyarakat antarabangsa pun akan menghormati YAB Dato’ Sri.


8. HUBUNGAN DENGAN ISRAEL


Mengenai hubungan dengan Israel ini, saya melihat persepsi rakyat amat keliru kerana sementara Datuk Seri Anwar cuba dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel, hakikat yang terbentang di depan mata ialah wujudnya hubungan dagang yang berterusan antara Malaysia dan Israel seperti pengakuan di Parlimen serta tindakan YAB Dato’ Sri melantik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel iaitu Apco sebagai perunding media kepada kerajaan dengan bayaran RM77 juta setahun. Ini menjadikan apa pun penjelasan yang cuba diberi oleh pihak kerajaan sentiasa menimbulkan kesangsian serta tanda tanya.


Sebenarnya hubungan dengan Israel bermula dalam sekitar 1980an semasa zaman Tun Mahathir lagi apabila beliau secara senyap-senyap menghantar Tengku Abdullah (Melewar) ke Tel Aviv. Saya masih menyimpan ucapan saya di Parlimen di mana saya menegur tindakan kerajaan berhubung perkara itu.


Amat menghairankan lagi apabila usul yang cuba dikemukakan oleh wakil pembangkang berhubung isu ini di Parlimen baru-baru ini agar kerajaan menghentikan sama-sekali perdagangan dengan Israel dan dalam masa yang sana meningkatkan jumlah bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, telah juga ditolak oleh Speaker.


Jika benar-benar ikhlas, YAB Dato’ Sri sepatutnya tidak merasa takut untuk mengarahkan Speaker agar menerima usul tersebut untuk dibahas dan diundi dan bukan sebaliknya. Sekarang rakyat khasnya masyarakat Islam sudah mulai nampak siapakah (antara YAB Dato’ Sri dan Datuk Seri Anwar) yang menyokong Israel.


9. PEMILIHAN CALON PILIHANRAYA


Untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya, selain keyakinan rakyat terhadap UMNO dikembalikan, pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat juga amat penting. Sementara YAB Dato’ Sri meletakkan kriteria “winnable” sebagai prasyarat terhadap calon dalam pilihanraya, rakyat juga sebenarnya ingin melihat YAB Dato’ Sri tidak begitu terkongkong dengan faktor jawatan seseorang dalam UMNO bagi pemilihan calon pilihanraya.


Sebagaimana pandangan Tun Dr Mahathir bahawa kebanyakan calon BN kini membawa imej rasuah dan agar UMNO perlu memilih calon yang lebih berkelayakan walaupun orang luar dalam pilihanraya akan datang jika ingin menang. Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut dan ingin menarik perhatian YAB Dato’ Sri sebagai contoh wakil-wakil rakyat Pas terutamanya di Kedah mereka terdiri daripada kalangan professional, berkelayakan serta berhemah berbanding wakil-wakil rakyat UMNO dan BN di sana yang majoritinya tidak pun lulus SPM.


10. PENINGKATAN KOS SARA HIDUP


Kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri dilaporkan mahu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST sebagai suatu kaedah percukaian dan menambah kantung perbendaharaan negara selepas pilihanraya ini. Melihat kepada beban hidup rakyat sedia ada, saya bersetuju dengan bantahan pihak pembangkang agar GST ini tidak dilaksanakan pada bila-bila masa kerana ia hanya akan menambahkan lagi kesengsaraan hidup rakyat.


Pada pandangan saya, kaedah cukai sedia ada di samping harga barang yang semakin mahal sudah cukup membebankan rakyat.


11. DAKWAAN BIADAP WAKIL-WAKIL RAKYAT PAKATAN


Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa orang surau di Ampang dan reaksi mereka terhadap laporan kononnya wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan baru-baru ini adalah satu lagi taktik kotor dan ‘desperado’ UMNO dan BN kerana apabila dicabar menama dan membuktikan tuduhan tersebut, Menteri Penerangan dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang turut bersuara, gagal berbuat demikian.


Mereka mengingatkan saya bagaimana pada awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda Perlembagaan Negara dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.


Semasa itu rapat-rapat umum diadakan secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.


Dengan ingatan mereka itu, saya teringat bagaimana saya sendiri telah diminta oleh UMNO mengepalai Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu untuk menyerang Sultan Selangor Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz atas campurtangan Baginda dalam urusan pentadbiran Negeri Selangor serta Sultan Perak berhubung kos pertabalan Baginda ketika itu. Saya dipilih di kalangan Exco Pemuda UMNO ketika itu kerana saya berasal dari Melaka, negeri yang tidak mempunyai Raja, justeru saya bebas untuk bercakap.


Menurut mereka lagi, kini UMNO dan BN melalui akhbar dan tv cuba menutup pekung lama mereka dengan mencipta isu dan membesar-besarkannya dengan niat dan harapan agar rakyat khususnya pengundi Melayu benci kepada parti pembangkang dalam pilihanraya ini.


Mereka meminta saya menyampaikan kepada YAB Dato’ Sri agar memulangkan semula kuasa Raja-Raja yang dirampas dahulu sebagai bukti UMNO dan BN hari ini benar-benar mencintai dan menghormati Raja-Raja Melayu. Mereka amat kecewa dan jijik dengan permainan pemimpin-pemimpin UMNO yang selalu berpura-pura dan menganggap rakyat khususnya orang Melayu mudah lupa serta boleh diperbodoh-bodohkan.


Kepada mereka, tindakan UMNO ini tidak ubah seperti orang sedang dalam kelemasan yang akan melakukan apa saja cara untuk menyelamatkan diri. Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri untuk memikirkan pandangan ini sama ada mahu menerima atau menolaknya.


Dalam isu ini, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja patut diadakan segera untuk menyiasat mereka yang memomok dan menghina Yang Dipertuan Agong. Kiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia sepatutnya juga menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk akhbar dan tv yang lebih dulu menghina dan memaki hamun Raja-Raja Melayu.


12. KONSEP 1MALAYSIA


Sementara YAB Dato’ Sri melaungkan konsep 1Malaysia, terdapat cakap-cakap kedai kopi bahawa ia bertentangan sama sekali dengan amalan UMNO itu sendiri yang tidak pernah meletakkan calon bukan Melayu bertanding dalam pilihanraya berbanding DAP yang dituduh rasis, sebaliknya sudah sekian lama menerima calon Melayu bertanding atas tiketnya. Pas yang dituduh mengamalkan fahaman Islam sempit juga pernah meletakkan bukan Islam sebagai calonnya.


Selain UMNO yang tidak pernah memilih bukan Melayu sebagai calonnya, parti MCA dan MIC yang turut mendokong konsep 1Malaysia juga tidak pernah meletakkan orang Melayu sebagai calon mereka. Kata mereka lagi, sepatutnya UMNO, MCA dan MIC mencontohi PAS dan DAP.


Dalam hal ini, siapakah yang rasis sebenarnya? Malahan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang dituduh rasis itu juga pernah merengkok sekian lama dalam penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang diperkosa sehingga melahirkan anak di sebuah pusat tahanan wanita di suatu ketika dahulu.


Dalam debat terbuka antara Lim Guan Eng dengan Chua Soi Lek baru-baru ini, jelas terbukti kepada kita bahawa DAP lebih menghormati agama Islam berbanding MCA yang tidak mahu bertolak ansur dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan Islam. Seperti hujah Chua Soi Lek, Presiden MCA itu, “Kita, MCA berani memberi kata dua kepada pemimpin UMNO” (We, MCA dare to tell off UMNO leaders) dalam perkara hudud (Islam) tetapi Lim Guan Eng dengan tegas memaklumkan bahawa DAP menghormati Islam dan Pas pun tidak mempersendakan agama dan kefahaman bukan Islam.


Saya sendiri hairan dan amat sedih dengan sikap berdiam diri YAB Dato’ Sri yang sanggup membiarkan pemimpin-pemimpin MCA menghina agama suci kita semata-mata hendak meraih undi masyarakat bukan Islam.


Tanya seorang ustaz, tidakkah PM Najib takut akan hukum Allah? Sila lihat Surah Al-Mae’idah ayat 44 yang bermaksud, “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia semata-mata) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.”


Untuk memenangi pilihanraya dan menunjukkan YAB Dato’ Sri benar-benar “cakap serupa bikin” dalam perlaksanaan konsep 1Malaysia ini, sudah sewajarnya ia benar-benar diterjemahkan kepada rakyat agar masing-masing dapat menilai kejujuran serta keikhlasan YAB Dato’ Sri dalam hal ini.


13. BANTUAN RAKYAT


Selepas YAB Dato’ Sri memberi bantuan RM500 kepada rakyat berpendapatan dibawah RM3000 sebulan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), (di kalangan muda-mudi ada yang mentafsirkan pula BR1M itu ialah Beli Rakyat 1 Malaysia), RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar universiti dan RM100 untuk pelajar sekolah, ada yang menyarankan agar program ini diteruskan lagi setiap bulan dan bukannya dibuat menjelang pilihanraya saja. Kerajaan juga disaran memberi wang tunai RM3,000 pula kepada setiap rakyat Islam menjelang sambutan bulan puasa dan Hari Raya pada tahun ini.


Kepada para imam serta jawatankuasa masjid dan surau pula, imbuhan khas sebanyak RM3,000 juga wajar diberikan kepada mereka atas peranan mengimarah serta meninggikan syiar Islam sepanjang bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Syawal.


Jika program bantuan rakyat yang dicadangkan ini dapat dilaksanakan dengan menangguhkan pilihanraya umum sehingga selepas Hari Raya, saya percaya kemenangan akan lebih mudah untuk diperolehi.

BERSAMBUNG KE PART 4......