BAGI Soo Lai Tong, sukarelawan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua di Pasir 
Hitam, Bukit Gantang, Perak, kedatangan tahun baru 2012 amat bermakna apabila sekolah itu 
terselamat daripada ditutup ekoran dua murid sekolah itu telahpun menamatkan pelajaran 
darjah enam.
Berkat usaha beliau, tiga murid baru daripada sebuah keluarga Melayu bersetju untuk belajar di 
sekolah tersebut. Lai Tong memperoleh respons daripada ibu tiga beradik tersebut, setelah 
masalah sekolah itu dipaparkan di Utusan Malaysia 1 Oktober lepas. Sebelum itu beliau 
meminta bantuan akhbar Cina dan Tamil tetapi tiada respons.
Awang paparkan kisah di Perak ini kerana mahu menekankan betapa terbukanya kita dalam 
soal pendidikan. Asalkan ada murid, walaupun jumlahnya tidak praktikal, sesebuah sekolah itu 
boleh terus beroperasi. Kos operasi sekolah bukanlah perkiraan utama.
Dalam kes SJKC Aik Hua ini, ia lebih unik apabila kesemua muridnya yang akan mula belajar 
beberapa hari lagi adalah Melayu.
Kes sekolah kekurangan murid ini bukanlah kes tunggal. Dari semasa ke semasa terdapat 
laporan mengenai sekolah di kawasan terpencil berdepan dengan masalah ketiadaan murid 
atau jumlahnya tidak sampaipun lima orang. Namun semua sekolah itu terus dibenarkan 
beroperasi, walaupun hakikatnya kos operasinya tidak setimpal dengan jumlah orang yang 
diajar. Itulah wajah sebenar Malaysia, rakyatnya sentiasa diutamakan.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT  ~~  Uniknya Malaysia.

 

 
 



