Tuesday, 4 November 2014

ADIK RAFIKIN DITEMUI SUDAH TIDAK BERNYAWA ... AL-FATIHAH..


Operasi mencari seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, adik Ahmad Rafikin Azman, 16, yang hilang sewaktu menyertai acara maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu sejak Sabtu lalu, berakhir dengan penemuan mayat, jam 6.35 petang tadi. SUMBER


Difahamkan jenazah mangsa yang ditemui tersepit di celah batu tidak jauh dari trek perlumbaan telah dibawa turun ke kaki gunung pada jam 6.50 petang dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat. 

UPDATE  :




HULU TERENGGANU – “Ketika berada di kawasan sekitar batu itu, saya laungkan azan lalu menyeru nama Ahmad Rafikin beberapa kali. Dengan izin ALLAH SWT,  saya terlihat satu objek di celah batu dan rupanya ia adalah tangan mangsa,” kata Mohd Johari Abu Bakar.

Mohd Johari yang juga Ketua Pemuda Umno Terengganu merupakan individu pertama menemui Ahmad Rafikin Azman, 16, kira-kira jam 3.30 petang tadi ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Menurut Johari, beliau bersama sekumpulan pasukan pencari memulakan operasi hari ke-4 itu kira-kira jam 10.30 pagi dan nalurinya kuat mengatakan Ahmad Rafikin berada di sekitar kawasan batu yang terletak tidak berapa jauh daripada kasut mangsa ditemui petang semalam.

“Sebelum berjaya menemui mangsa, saya berada di kawasan itu bersama tiga individu lain. Hati saya kuat mengandaikan Ahmad Rafikin ada di situ dan ternyata ia tepat apabila ternampak satu objek seolah-olah tangan seseorang di celah batu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superitendan Mohd Rosli Mohd Amir  mengesahkan penemuan berkenaan dan mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan keselamatan sebelum tiba berhampiran bilik gerakan operasi jam  6.40 petang.

“Berdasarkan laporan diterima mayat mangsa berjaya ditemui di celah batu. Punca sebenar kejadian masih belum disahkan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya. – Sinar Harian

Al-Fatihah..... semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh adik Rafikin dan ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh dan beriman.... amin.

Post a Comment