Tuesday 4 November 2014

JOSEPH KURUP MENTERI PELAMPAU KRISTIAN ???


PERKASA mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang menggesa Pejabat Peguam Negara supaya membuka semula siasatan yang melibatkan ancaman Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali untuk membakar Bible.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam PERKASA, Shamsuddin Moner mendakwa Kurup  memainkan isu agama dan sentimen kebencian penganut Kristian terhadap PERKASA yang boleh mencetuskan 'rusuhan'.

Beliau mendakwa, Kurup sengaja cuba menaikkan kemarahan ahli PERKASA, dan mendakwa ia jelas menghasut.

"Justeru, kami mendesak supaya pihak polis memanggil Tan Sri Joseph memberi keterangan bagi membuktikan tuduhannya yang bersangka buruk terhadap Presiden PERKASA," katanya dalam satu kenyataan.

"Janganlah Tan Sri Joseph menjadi seorang menteri kabinet yang ekstremis dan pelampau agama Kristian," tambahnya.

Menurutnya lagi, menteri itu "tidak bijak" membuat kenyataan sedemikian secara terbuka sedangkan beliau boleh menyuarakannya dalam mesyuarat kabinet.

Beliau menyarankan agar Kurup menghayati konsep dan prinsip wasatiyah yang mahu diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kurup menggesa Pejabat Peguam Negara supaya membuka semula siasatan terhadap Ibrahim ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Pejabat Peguam Negara berkata ia tidak akan mendakwa Ibrahim atas kenyataan yang dibuatnya di Pulau Pinang tahun lepas kerana beliau tidak berniat untuk menimbulkan ketidakharmonian dan hanya mempertahankan kesucian Islam.

Sementara itu, Shamsudin berkata Kurup sebenarnya "amat jahil" terhadap apa yang dimaksudkan oleh Ibrahim tentang gesaan membakar Bible yang diedarkan kepada pelajar Islam di Pulau Pinang.

Katanya, apa yang dimaksudkan oleh Ibrahim ialah membakar Bible terjemahan bahasa Melayu yang menterjemahkan 'God' kepada Allah dan diedar kepada pelajar Islam.

"Ini kerana Bible yang asal bukan dalam bahasa Melayu dan tidak pernah menggunakan kalimah Allah dalam menyebut 'God' sebagai Tuhan. Jelas bahawa Datuk Ibrahim Ali tidak bermaksud untuk menghasut rakyat supaya membakar Bible kitab suci penganut kristian," katanya.

No comments: