PETALING JAYA : Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana pada Selasa memohon maaf kepada umat Islam di atas tindakan penganut fahaman Buddha yang menggunakan sebuah surau di Johor untuk melakukan upacara keagamaan.
Dalam satu kenyataan ringkas, Sri Dhammaratana menyatakan rasa kesal berhubung insiden itu dan meminta penganut fahaman itu untuk menjadi lebih prihatin terhadap sensitiviti agama lain.
"Kami ingin memohon maaf kepada umat Islam di atas tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura kerana mengadakan upacara keagamaan di dalam surau sebuah resort di Kota Tinggi.
"Saya menasihatkan penganut Buddha di Malaysia dan Singapura supaya menghormati sensitiviti agama lain ketika melakukan upacara keagamaan mereka," katanya.