Friday, 19 October 2012

NIZAR TAK HERAN TONY BAH LETAK JAWATAN

Post Pic

KUALA LUMPUR:  PAS yakin pengumuman serta perletakan jawatan aktivis Orang Asal, Bah Tony daripada DAP negeri baru-baru ini langsung tidak akan menjejaskan kedudukan Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13), kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Malah, menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sepanjang mengenali peguam berusia 58 tahun itu beliau tidak nampak keterlibatannya secara langsung dalam program anjuran DAP dan Pakatan Rakyat peringkat negeri khususnya melainkan program yang melibatkan kemasyarakatan Orang Asal.

"Kalau tengok peranan dia dengan Pakatan Rakyat, saya rasa minima buat masa ini lah, kalau sepanjang saya kenal dia melalui DAP adalah melalui program-program kemasyarakatan orang asli (Asal) dia hadir, saya jumpa dia masa itu lah.

"Tapi kalau nampak dia terlibat sangat dalam program DAP ke Pakatan Rakyat tak nampak juga, (Pakatan) tak terjejas, di kalangan Orang Asli (Asal) saya tak tahu lah, kena tanya Orang Asli lah," katanya ditemui pemberita di lobi parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula menyifatkan pengumuman serta peletakan jawatan Bah Tony itu merupakan satu tamparan hebat kepada DAP Perak.

"Apa orang kata cuba nak memperdayakan dia, konon nak bagi dia jadi menteri besar lah.

"Mesti ini satu tamparan kepada Orang Asli (Asal), sebenarnya Orang Asli (Asal) daripada dulu menyokong kita (Barisan Nasional), DAP cuba nak pancing dengan menggunakan Bah Tony, habis kalau Bah Tony pun dah keluar, apa lagi, ikan tak makan pancing, umpan sudah lari," ujarnya secara sinis.

Memetik laporan muka depan akhbar tabloid semalam, Pakatan Perak dilihat mengalami halangan dalam usaha untuk mendapatkan semula Perak menjelang PRU-13.

Ini kerana aktivis Orang Asal, Bah Tony mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hampir dua minggu lalu.

Malah, sebab beliau meninggalkan parti itu sehingga kini masih menjadi spekulasi.

Bah, yang nama sebenarnya ialah Amani William-Hunt Abdullah dilihat sebagai calon terbaik Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang untuk mencabar MCA Datuk Dr Mah Hang Soon di mana  pengundi Orang Asli (Asal) terbesar di Perak.

AntaraPos

No comments: