Hiasan
TAIPING - Seorang wanita warga emas yang menyamar ahli perniagaan bergelar Datin dikesan licik memperdaya syarikat pemborong barangan runcit di Skudai, Johor dengan taktik membuat bayaran menggunakan invois sebuah koperasi tidak wujud di daerah ini.
Suspek berusia 60 tahun itu didakwa bijak menyamar menyebabkan pemilik syarikat pemborong itu kerugian lebih RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, suspek terbabit membuat tempahan barangan runcit dengan ‘menjual’ nama Koperasi Kelisa Halal Berhad Taiping yang tidak wujud.
Menurutnya, suspek dikesan menipu dengan membuat pembelian barangan runcit seperti gula, tepung, bawang, ubi kentang dan pelbagai produk lain dalam kuantiti besar.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek membuat bayaran permulaan secara tunai RM62,000 dan memberi jaminan membayar baki harga tempahan kemudian.
“Suspek dikesan melakukan pembelian antara Jun hingga Ogos lalu sebanyak 11 kali. Bagaimanapun, suspek tidak membuat bayaran baki harga barangan melebihi RM1 juta,” katanya.
Yusuf berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 14 September lalu.
“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menyerbu beberapa premis runcit di Kamunting, di sini, antara 27 September hingga 5 Oktober lalu.
“Hasil operasi itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 29 tahun. Suspek wanita terbabit adalah pengurus yang mengurus premis menjual barangan runcit di Kamunting,” katanya.
Menurutnya, seorang lelaki ditahan berusia 60 tahun dipercayai suami kepada wanita yang menyamar sebagai datin itu.
“Semua mereka yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis kecuali seorang suspek lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai kes lampau di Johor .
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau berkata, suspek wanita yang juga perancang utama itu turut dilaporkan pernah melakukan penipuan terhadap beberapa pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) membabitkan kerugian lebih RM100,00.
Katanya, suspek utama terbabit mempunyai tujuh kes jenayah lampau membabitkan penipuan dan pernah dihukum penjara dua tahun.
“Polis masih memburu wanita terbabit berasal dari Pulau Pinang dikenali sebagai Noorokiah Ishak. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-8080222, atau 05-8291222,” katanya.
myMetro 19 Okt 2012
2 comments:
Salam Perjuangan .. Mohon dilinkkan blog MMI mahamissa.blogspot.com terima kasih.
Saya akan linkan blog tuan di sini.... mohon linkkan blog saya d blog tuan. terima kasih.
Post a Comment