Tuesday 23 December 2014

LIGA HOKI DUNIA 2 : MALAYSIA GIATKAN LATIHAN


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) menyenaraikan 25 pemain menjelang saingan Liga Hoki Dunia 2 di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 25 Januari 2015.


Kesemua pemain itu terdiri daripada Pasukan Hoki Terengganu (THT), Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Sapura, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mereka adalah antara pemain yang tampil cemerlang bersama pasukan masing-masing ketika berdepan cabaran Hoki Malaysia TNB (TNB-MHL) 2014, yang berakhir bulan lalu.

Dalam saingan di Singapura itu nanti, pasukan hoki negara diundi dalam Kumpulan A bersama Ukraine, Oman dan Fiji.

Manakala Kumpulan B dihuni oleh tuan rumah Singapura, Poland, Jepun dan Bangladesh.

Di atas kertas, berdasarkan ranking dunia, Malaysia yang berkedudukan ke-13 dilihat tidak mempunyai masalah berdepan dengan cabaran di peringkat kumpulan.

Malah pasukan hoki negara dilihat menjadi pasukan pilihan untuk mengungguli cabaran itu nanti.
Bagaimanapun cabaran yang sengit bakal dilalui oleh pasukan bimbingan, Tai Beng Hai.

Skuad hoki sasar kedudukan dua terbaik

BAGI orang nombor satu dalam skuad kebangsaan, Beng Hai menjelaskan peluang Malaysia untuk melepasi halangan di Singapura itu nanti nampak cerah.

Malah Beng Hai juga optimis skuad negara mampu merealisasikan sasaran tempat kedua terbaik pada kejohanan tersebut.

Jelasnya, hanya dua pasukan iaitu Jepun dan Poland sahaja mampu menjadi pencabar kuat buat Malaysia, berbanding lima lagi pasukan lain.

“MHC menetapkan sasaran untuk meraih tempat kedua keseluruhan dan kami akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan ia tercapai.

“Sekiranya sasaran itu dapat direalisasikan, sudah tentu peluang pasukan kebangsaan untuk melangkah ke pusingan ketiga akan lebih cerah sekali gus membuka laluan untuk layak ke Sukan Olimpik 2016,” katanya.

Aksi persahabatan penentu hala tuju negara

DARIPADA 25 pemain yang disenaraikan sebelum ini, Beng Hai hanya membawa 18 pemain terbaik untuk menggalas cabaran buat pasukan negara.

Kesemua mereka bakal diuji dalam dua aksi persahabatan menentang Poland dan Bangladesh dalam tempoh waktu terdekat.

Bagi Beng Hai, di situ menjadi medan buat pemain membuktikan mereka layak dipilih.

“Keputusan yang direkodkan dalam aksi persahabatan itu bukan penentu apa yang penting adalah penilaian ke atas pemain.

“Kami akan berlatih bersama-sama selepas pemain mendapat rehat yang cukup terutama selepas tamat kempen Piala TNB 2014,” katanya.   -  SinarHarian

No comments: