Tuesday 17 June 2014

ZUL NOORDIN BELASAH DAP KAW-KAW HINA POLIS


Salam 2 all.

Saya mengutuk keras dan menyelar tindakan DAP yang mempolitikkan pendirian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyatakan pendirian polis tidak akan  mengambil tindakan menahan Mohd Ridzwan Abdullah berkaitan isu perintah hak jagaan anak yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi KL atas tuntutan bekas isterinya M. Indira Gandhi.


Tan Sri KPN sebenarnya telah mengambil pendirian yang betul dan berasaskan undang-undang atas alasan berikut:

1. Mohd. Ridzwan Abdullah telah memperolehi perintah jagaan anak tersebut yang dikeluarkan secara sah oleh Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa mengeluarkannya;

2. Oleh itu, tidak timbul isu beliau melanggar perintah Mahkamah Sibil kerana mengikut undang-undang, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa terhadap tuntutan yang dibawa oleh Mohd. Ridzwan berdasarkan fakta anak-anak tersebut sudah memeluk agama Islam;

3. Mahkamah Syariah & Mahkamah Sibil mempunyai bidangkuasa yang samataraf tetapi berasingan (competent separate jusrisdiction) berdasarkan Artikel 121 dan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan;

4. Oleh itu, tidak timbul isu Mohd Ridzwan tidak mematuhi atau ingkar terhadap perintah Mahkamah Sibil kerana beliau sendiri mendapat perintah jagaan yang sah daripada Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa;

5. Malahan, mana-mana Mahkamah Sibil tidak sepatutnya mengeluarkan perintah membabitkan subjek yang sama kerana ini bercanggah dengan Artikel 121 (1A) yang menyatakan dengan jelas Mahkamah Sibil tidak mempunyai bidangkuasa atas perkara yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa;

6. Tuntutan berkaitan hadhanah keatas anak beragama Islam adalah dibawah bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah. Oleh itu mana-mana Mahkamah Sibil tidak wajar mengeluarkan sebarang perintah berasingan ataupun bertindih;

7. Dalam keadaan itu, memaksa pihak Polis melaksanakan perintah Mahkamah Sibil sedangkan Mahkamah Syariah telah mengeluarkan perintah yang lain diatas subjek yang sama boleh dianggap seperti memaksa polis melanggar dan menghina perintah Mahlamah Syariah;

Selanjutnya, pihak Polis tidak wajar dibabitkan didalam sesuatu prosiding sibil antara dua pihak litigan. Pihak polis bukan litigan didalam kes sibil tersebut.

Didalam Kaedah Mahkamah Tinggi, mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keingkaran, kagagalan atau keengganan pematuhan apa-apa perintah atau penghakiman yang dikeluarkan oleh mana-mana Mahkamah sibil boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan atau perlaksanaan menurut peruntukkan yang disediakan termasuk prosiding penghinaan terhadap Mahkamah.

Malahan keujudan peruntukan penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah atau penghakiman mana-mana Mahkamah Sibil membuktikan bahawa pembabitan pihak polis adalah tidak wajar sama sekali. kecuali untuk perlaksanaan atau penguatkuasaan  sebarang perintah komital  untuk pemenjaraan.

Jika dilihat kepada Seksyen 20 Akta Polis, jelas bahawa pihak polis hanya mempunyai kuasa menangkap semua orang yang dia diberikan kuasa menangkap atau melaksanakan sepina, waran, perintah memenjara dan lain-lain proses yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa yang kompeten seperti Kastam, JPJ, Imigeresen, LHDN, SPRM, penguatkuasa syariah seperti JAIS, JAWI dan lain-lain.

Dan berkaitan penguatkuasaan sesuatu perintah Mahkamah, hasil daripada mana-mana prosiding atau guaman sibil, pihak polis hanya boleh menguatkuasa dan melaksanakan perintah komital yang dikeluarkan secara sah oleh mana-mana Mahkamah samada syariah atau sibil.

Sebaliknya penguatkuasaan atau perlaksaan perintah atau penghakiman lain oleh Mahkamah samada sibil atau syariah adalah dibuat menurut proses Mahkamah itu sendiri dan bukan melalui atau menggunakan pihak polis.

Oleh itu, pendirian yang diambil oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah betul dan berlandaskan undang-undang.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kesemua pihak yang terbabit sepatutnya membawa isu ini ke Mahkamah Persekutuan yang bersidang sebagai Mahkamah Perlembagaan untuk menimbang dan memutuskan konflik & persoalan perundangan dan perlembagaan antara dua perintah Mahkamah Syariah & Mahkamah Sibil yang berbeza dalam isu dan subjek yang sama.

Dan bagi maksud itu, suatu prosiding kehakimana perlu dimulakan di Mahkamah yang berbidangkuasa untuk menentukan keabsahan dan kesahihan status anak-anak tersebut sebagai seorang Islam atau tidak. Penentuan kepada status ini penting untuk menentukan Mahkamah mana yang mempunyai bidangkuasa dalam soal hak penjagaan keatas mereka - samada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sibil.

Oleh itu, tindakan DAP dan yang sewaktu dengannya mempolitikkan pendirian Tan Sri KPN ini jelas adalah tindakan populis untuk meraih habuan politik untuk kepentingan parti yang sempit.

Malah tindakan DAP ini adalah satu penghinaan kepada pasukan Polis dan sewajarnya dikenakan tindakan sewajarnya.

Dan yang paling pelik, puak-puak ini yang jelas konsisten mempertikai kredibiliti dan kewibawaan pasukan polis tiba-tiba mahu polis menguatkuasakan perintah Mahkamah yang diperolehi oleh seseorang litigan. Tidakkah ini sikap hipokrit politik yang terlampau?

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
18 Sya'ban 1435
16 Jun 2014

No comments: