Wednesday 11 June 2014

PDRM WUJUDKAN POLIS SYARIAH DI BAWAH JAKIM


PUTRAJAYA, 10 JUN - Kementerian Dalam Negeri kini bersedia menempatkan anggota Polis serta Pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Polis Syariah untuk membantu Jabatan berkenaan menangani kes-kes berkait dengan umat Islam di Malaysia. Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, PDRM hanya menunggu Jabatan Perkhidmatan Awam mewujudkan jawatan berkenaan di JAKIM dan PDRM yakin mampu mengisi kekosongan berkenaan.

Menurut beliau, PDRM mempunyai pegawai dan anggota yang bersesuaian untuk menggalas tugasan tersebut. Beliau berkata, langkah ini sekaligus dapat membantu JAKIM mengambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga kesucian agama Islam di negara ini.

"Ramai anggota polis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ada yang memiliki ijazah daripada universiti tempatan atau luar negara dalam bidang agama dan kami bersiap siaga untuk menempatkan pegawai kami ke Jakim," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Zahid juga  berkata, tiada tempoh yang ditetapkan untuk penempatan anggota PDRM di JAKIM itu dan menyerahkan usaha untuk mendapatkan kelulusan bagi perjawatan itu daripada JPA kepada JAKIM. Zahid berkata, sebelum ini terdapat cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan polis syariah sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.

Zahid sebelum itu menghadiri majlis makan tengah hari dan ceramah bersama Ulama Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah bersempena kunjungan hormat imam dan khatib Masjid Saidina Jaafar, Jordan, di kementeriannya semalam. Beliau menyifatkan penempatan anggota PDRM sebagai Polis Syariah itu akan dapat meningkatkan lagi keupayaan JAKIM dalam membanteras semua kesalahan jenayah syariah di negara ini. -  UtaraNews.com

1 comment:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.