Wednesday, 11 June 2014

ISU WANITA KAHWIN DI KUIL KENA 'SERBU' JAIS : ZARENA - MAIS BERDAMAI, SALING MEMAAFKAN DAN PUJI-MEMUJI


Selepas seminggu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pengantin kontroversi Zarina Abdullah Majid akhirnya berdamai dalam isu perkahwinannya mengikut upacara Hindu.

Malah, selepas pertemuan kedua-dua pihak hari ini, Pengarah MAIS Datuk Mohamad Adzib dan Zarina mengeluarkan kenyataan bersama yang antara lain memuji tindakan satu sama lain.

Menurut kenyataan itu, wakil keluarga Zarina mengakui siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) – badan penguatkuasaan MAIS – dilakukan penuh hormat dan tidak menyinggung perasaan keluarga dan tetamu majlis perkahwinan.

“Pihaknya turut kesal dengan istilah serbuan yang sengaja disensasikan oleh pihak media sehingga menimbulkan ketegangan,” kata Adzib dan Zarina.

Dinyatakan juga, JAIS pula berkata, siasatan mereka mendapat kerjasama baik daripada Zarina dan keluarga.

Berhubung status agama Zarina, MAIS menasihatinya memfailkan permohonan status agama di Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia terletak bawah bidang kuasanya.

“MAIS dan JAIS akan membantu mempercepatkan proses pendengaran permohonan kes beliau di Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Nada kenyataan itu bagaimanapun berbeza sama sekali dengan kenyataan Zarina pada 4 Jun lalu yang dilaporkan berkata sangat malu dan sakit hati kerana majlis tersebut tergendala.

Laporan The Malaysian Insider melaporkan Zarina sebagai berkata, tindakan pegawai JAIS itu malah menyebabkan tetamunya meninggalkan majlis tanpa menjamah hidangan. 

Post a Comment