Tuesday, 29 April 2014

HARTA KARUN KESULTANAN MELAYU MELAKA DI PULAU NANGKA JADI PERHATIAN UMUM....



MELAKA : 
Harta karun yang dipercayai tertanam di Pulau Nangka adalah lambang kepada kemakmuran dan kekayaan Kesultanan Melaka suatu ketika dulu, kata Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin. Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) berkata, ketika itu, pelabuhan Melaka sentiasa sibuk dengan kehadiran ribuan kapal dagang yang akan menghadiahkan pelbagai barangan, termasuk emas kepada sultan sebagai cukai.

“Semua barangan yang diterima disimpan dalam istana dan mungkin juga mereka memindahkannya ke Pulau Nangka atau Pulau Besar ketika serangan Portugis pada 1511.
“Malahan, ada juga yang menyatakan harta karun zaman Kesultanan Melaka ditanam di Bukit St John,” katanya, di sini, baru-baru ini.
Laporan eksklusif di muka depan The Star, Isnin mendedahkan mengenai dua syarikat yang mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk menjalankan kerja-kerja evakuasi dan dipantau rapi oleh Perzim.
Mohd Jamil berkata, dakwaan wujudnya harta karun di Pulau Nangka sebenarnya sudah tersebar sejak 1997 dan pulau berkenaan diwartakan menjadi milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Beliau juga mengakui adanya cubaan pihak tertentu untuk mencari harta karun berkenaan, bagaimanapun ia gagal.
Sementara itu, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas mengesahkan kaji selidik pakar arkeologi mendedahkan tiada sebarang tanda menunjukkan adanya harta karun di Bukit St John.
“Kini hanya Pulau Nangka menjadi lokasi terakhir kemungkinan harta karun itu disembunyikan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan pihaknya menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak di dalam dan luar negara termasuk media asing berikutan pendedahan The Star mengenai harta karun itu.
MENJEJAK HARTA KARUN DI PULAU NANGKA......
MELAKA - Menggunakan perkhidmatan bot laju, jeti Pengkalan umbai Pernu kami tinggalkan. Sekitar 20 minit, kaki sudah dapat menjejak Pulau Nangka. Pulau yang kini kembali menjadi sebutan.

 Di Pulau ini, sesiapa saja tidak kira orang awam, wartawan atau jurugambar, tidak dibenarkan mengambil gambar atas arahan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). 

Kami hanya dibenarkan merakam pemandangan pulau di bahagian luar sahaja. Pulau Nangka digazetkan sebagi hak milik Perbadanan Muzium Melaka sejak 1997. Di persisiran pantai, bertemu beberapa petugas dipercayai kakitangan syarikat kontraktor dilantik Perzim untuk menjalankan kerja-kerja pencarian bukti mengenai wujudnya harta karun di pulau ini. Kami dihalang memasuki kawasan lebih jauh dengan alasan tidak dibenarkan serta memberi amaran kawasan berkenaan amat merbahaya. 

Selain bentuk muka bumi yang curam di bahagian belakang, pulau berkenaan dikatakan juga banyak dihuni makhluk halus dan keras. Hampa kerana hasrat untuk meneroka Pulau Nangka tidak kesampaian, kami kemudian pulang semula ke tanah besar.

 Di tanah besar, kami terus mendapatkan syarikat yang terlibat melakukan kerja-kerja penyelidikan di Pulau Nangka. Dakwaan adanya harta karun bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, disahkan dengan bukti bergambar yang diperoleh syarikat itu. 

Gambar-gambar tersebut merupakan artifak lama dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. Menurut Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, pihaknya mengadakan penyelidikan di pulau berkenaan kali pertama pada Julai 2012 dan menemui tiga tanda besar termasuk ukiran batu berbentuk bulan sabit. 

Katanya, batu berkenaan diperbuat daripada batu kuarza yang dilekapkan pada batu laut dipercayai berusia lebih setengah abad di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. “Selain itu, terdapat ukiran batu peta Pulau Nangka sendiri yang menunjukkan simbol bermaksud adanya pinggan mangkuk lama tersimpan di situ. “Semua itu boleh jelas kelihatan semasa air laut benar-benar surut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

Jelas Mohammad Foad, syarikatnya dipertanggungjawabkan untuk mencari bukti bergambar serta menjalankan kajian di Pulau Nangka selama tiga bulan dan akan berakhir sehingga penghujung April ini.

 “Mengikut kajian geoteknikal yang dijalankan, memang wujud bahan artifak lama dan selama hampir tiga bulan ini, kami bukan menemui gua seperti didakwa tetapi merupakan bilik-bilik yang dibina oleh orang terdahulu di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. 

“Saya tidak dapat pastikan berapa banyak barangan yang terdapat di dalamnya namun menerusi kajian geoteknikal serta imbasan imej bumi, mendapati memang wujud artifak berkenaan. “Cuma sekarang ini halangannya struktur batuan yang amat keras dan perlu dipecahkan terlebih dahulu,” katanya.

 Menurut beliau, binaan bilik-bilik berkenaan sama seperti struktur binaan Kota Melaka dan kemudiannya dikenali dengan nama Kota A Farmosa yang dibina oleh orang Melayu Melaka sendiri sebenarnya. 

“Bilik-bilik berkenaan dibina mempunyai banyak fungsi, antaranya bilik mesyuarat dan pelbagai bilik lain. Lebih kurang 20 tahun lepas ketika struktur pintu utama masih elok, kita boleh masuk tapi sekarang pintu tersebut sudah runtuh jadi kita kena buat pintu baru, itu sebabnya tidak boleh masuk.  - UtaraNews

PINTU TEMPAT SIMPANAN HARTA KARUN AKAN DAPAT DIBUKA RABU INI (ESOK)...???

MELAKA: Persoalan mengenai kewujudan harta karun peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka bakal diketahui Rabu ini. 

EXCO Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan, berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan dipercayai pintu tempat simpanan harta karun itu kini sudah 90 peratus dan dijangka selesai Rabu ini. 

"Kita percaya pintu ini akan berjaya dibuka dalam tempoh dua hari lagi dan seterusnya dapat memberi jawapan sama ada harta karun tersebut benar-benar wujud atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pencarian harta karun di Pulau Nangka di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja pencarian harta karun itu dijalankan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd melalui kontrak selama empat bulan bermula Januari lalu hingga 30 April ini. 

Katanya, jika syarikat terbabit gagal menyelesaikan kerja-kerja mengorek itu dalam tempoh kontrak, kerajaan negeri akan menyerahkannya kepada syarikat lain. 

"Jika Smart Partnership International berjaya membuka pintu ini dan tidak menemui sebarang artifak, kita akan memberi mereka lanjutan masa untuk proses pencarian harta karun," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata pihaknya menjalankan kerja-kerja menebuk dinding batu secara intensif selama 24 jam sehari membabitkan 36 pekerja. 
"Sehingga kini, kami masih belum menemui apa-apa tanda dan jika sebarang artifak atau harta tersebut ditemui kami akan maklumkan segera dalam satu sidang akhbar khas," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Gzali Khan Shahadat, berkata pihaknya melalui Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am akan bertugas menjaga kawasan itu jika terdapat penemuan artifak atau harta berkenaan. 

Pulau Nangka adalah sebuah pulau tidak berpenghuni berkeluasan kira-kira 20 hektar dan terletak 4 kilometer dari Pulau Besar, Jasin. 

- BERNAMA 

No comments: