Friday 17 January 2014

DENDAM PADA SUAMI, ISTERI KEDUA DICULIK 16 JAM



JOHOR BAHRU - Seorang isteri muda dapat diselamatkan polis selepas 16 jam diculik empat lelaki dari rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Nusajaya di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamed berkata, wanita berusia 19 tahun itu, yang juga isteri kedua seorang lelaki berusia 24 tahun, diculik suspek yang bersenjatakan besi dan kayu.

Beliau berkata, suami mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada kira-kira 1 pagi Selasa.

"Semasa kejadian, lelaki itu bersama-sama isteri pertamanya berusia 24 tahun dengan tiga anak mereka, isteri keduanya dan ibunya yang berusia 56 tahun berada di dalam rumah sebelum didatangi empat lelaki yang dikenali," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya suspek kemudian memukul ibu lelaki itu sebelum melarikan isteri keduanya dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona.

Bertindak atas laporan itu, polis melakukan serbuan di beberapa rumah di sekitar kawasan Bandar Selesa Jaya pada 4.45 petang hari sama dan menahan keempat-empat suspek berumur antara 14 dan 17 tahun sebelum menemui
semula mangsa dalam keadaan selamat.

"Kejadian itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap suami mangsa yang dikatakan mengambil barangan milik suspek...kerana itu, mereka membalas dendam dengan melarikan isterinya," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. - Bernama


Nota : Gambar sekadar hiasan

No comments: