Thursday 10 October 2013

ASISTEN SUPERITENDAN WANITA BANTU 'DATUK SERI KASANOVA' LOLOS DALAM PERJALANAN PULANG KE PENJARA

Post Pic

GEORGETOWN : Polis Pulau Pinang sedang memburu seorang kasanova selepas meloloskan diri dari Mahkamah Sesyen di sini, petang semalam.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam kejadian jam 2 petang itu suspek, Prabaharan Kesavan, 45, dalam perjalanan dihantar pulang ke Penjara Pulau Pinang selepas menghadiri sebutan kes peringkat akhir di Mahkamah Cameron Highlands, Selasa lalu.

"Ketika dalam perjalanan ke penjara, anggota yang mengiring Orang Kena Tuduh (OKT) itu menerima panggilan dari seorang pegawai kanan polis meminta lelaki itu dibawa ke biliknya dengan alasan untuk soal siasat satu lagi kes ugutan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pegawai kanan wanita berpangkat Asisten Superitendan itu ditahan kerana dipercayai membantu OKT itu melarikan diri.

Abdul Rahim berkata, wanita itu direman hari ini bagi membantu sisatan mengikut Seksyen Seksyen 223, Seksyen 224 dan 225 Kanun Keseksaan kerana cuai menjalankan tugas.

Katanya, suspek yang mempunyai lebih 10 pertuduhan kes penipuan di sekitar negeri Pulau Pinang, Perak, Johor dan Kedah itu ditahan pada Januari lalu kerana memperdaya wanita dengan menyamar sebagai 'Datuk Seri' dan doktor.

Abdul Rahim berkata, suspek dengan ketinggian 165 sentimeter, mempunyai berat badan 50kg serta berambut pendek dilihat pada kali terakhir memakai baju-T berkolar bulat warna ungu dan seluar pendek warna coklat.

Beliau berkata, polis yakin lelaki yang beralamat terakhir di nombor 26 Taman Mas Ipoh, Perak masih berada di Pulau Pinang dan Ops Tutup membabitkan seluruh laluan keluar masuk ke negeri ini sudah dilaksanakan bagi mengesan suspek.

Abdul Rahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi balai polis berdekatan.

No comments: