Thursday 10 October 2013

NUR JAZLAN CADANG SAMAN PENULIS THE MALAYSIAN INSIDER

.
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis portal berita, The Malaysian Insider berhubung pengeluaran artikel yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan peguamnya dan akan mendapatkan nasihat terperinci sebelum tindakan undang-undang dimulakan terhadap penulis artikel berkenaan.


Artikel yang bertajuk “Will PM Najib exert leadership over errant minister Zahid?” yang ditulis Kim Quek dalam portal berkenaan jelas mempunyai unsur yang keterlaluan.

“Dia (penulis rencana) tidak berada pada majlis itu, dan menulis artikel berkenaan semata-mata berdasarkan video yang dimuat naik dalam portal berita Malaysiakini dengan terus mengaitkan saya terbabit dalam kumpulan kongsi gelap, Tiga Line.

“Saya berada di situ, atas jemputan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan keseluruhan ucapan beliau tidak seperti yang ditulis dalam artikel berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan, Rabu.

Menurut Jazlan, artikel yang ditulis Kim Quek dalam portal berkenaan jelas mempunyai unsur fitnah yang keterlaluan.

Kim Quek dalam artikelnya turut mengaitkan beberapa nama ahli Parlimen Barisan Nasional dengan kongsi gelap tersebut seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim dan ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  itu, Taklimat Keselamatan yang diadakan Ahmad Zahid itu adalah untuk pemimpin akar umbi di Melaka dan ia perlu bagi memberikan maklumat terus kepada golongan berkenaan mengenai usaha yang diambil kerajaan dalam memerangi jenayah.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid jelas memperjudikan keselamatan beliau dan keluarganya, apabila terang-terangan berdepan dengan kumpulan kongsi gelap di negara ini, dalam usaha memastikan ketenteraman awam dipelihara.

“Namun, ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, dengan memutar belitkan keseluruhan fakta dalam ucapan berkenaan dan mendakwa saya serta tiga rakan lain bersama Datuk Zahid terbabit dalam kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Jazlan menyuarakan rasa kesal beliau terhadap pihak yang cuba bermain sentimen dengan isu keselamatan sedangkan kerajaan berusaha keras dalam memerangi jenayah. - mD

No comments: