Wednesday, 24 October 2012

WANITA INI MENGAKU HIDUP SEPERTI TARZAN KETIKA KECIL....

Marina Chapman mengaku dibesarkan oleh kawanan monyet capuchin di hutan belantara Colombia, setelah dia dibuang oleh para penculiknya.

Seorang surirumah di Britain, mengaku menghabiskan masa kecilnya bersama sejumlah kawanan monyet capuchin di hutan belantara Colombia. Untuk pertama kalinya, kini dia sedang cuba mencurahkan kisah perjalanan hidupnya yang luar biasa itu sama ada menulis sebuah buku atau membuat filem dokumentari.


Marina Champman mengaku hidup di hutan selama 5 tahun bersama sekumpulan monyet selepas dia diculik untuk mendapatkan wang tebusan pada tahun 1950-an dan yakin ketika  itu dia berusia 5 tahun sebelum ditinggalkan di dalam hutan oleh para penculiknya kerana penculikan itu telah menjadi kecoh.


Bagaikan sebuah filem cereka, selama 5 tahun itulah dia hidup seperti TARZAN! Belajar berburu, termasuk menangkap burung dan arnab dengan tangan kosong!

Bagaimanapun, kehidupan di hutan itu berakhir setelah dia ditemui oleh beberapa pemburu. Malangnya nasibnya tidak bertambah baik kerana pemburu-pemburu itu telah menjualnya pula ke sebuah rumah 'bordil' di Kota Cucuta dan di situ dia sering dipukul dan dibuli.

Akhirnya Marina berjaya melarikan diri, walaupun selepas itu dia hanya menjadi anak jalanan yang kadang-kadang ditahan polis. Nasibnya mula berubah ketika usianya menjejak remaja apabila sebuah keluarga Colombia telah menjadikannya pembantu rumah dan di situ dia mengubah sendiri namanya menjada Marina Luz.

Ketika berusia 20-an, dia mengikut beberapa jirannya yang bekerja dalam sektor perniagaan tekstil ke London.  Dia tinggal di sana setelah bertemu dengan seorang lelaki yang kemudian menjadi suaminya, John Chapman. Mereka berkahwin pada tahun 1977 dan tinggal di Yorkshire. Marina hanya bercerita mengenai pengalaman hidupnya itu kepada suaminya sahaja. Beliau dan suaminya kemudiannya memutuskan untuk berkongsi pengalaman itu bagi menunjukkan kepada umum betapa ngerinya pemerdagangan manusia di Amerika Selatan.

Salah seorang anak perempuan Marina, Vanessa Champman dikhabarkan akan menjadi komposer bagi filem tersebut dan membantu ibunya menuliskan kisah itu di dalam sebuah buku yang diberi judul 'THE GIRL WITH NO NAME'.

'Ibu hanya ingat seseorang telah menyuntik tangannya dengan ubat pelali (sedatif), kemudian menekup mulutnya dan tentang kehidupannya sebelum melalui detik kehidupan di hutan adalah mempunyai anak patung berwarna hitam', kata James, anak lelaki Marina kepada The Sunday Times.

James juga menambah, ibunya seorang yang sangat kuat dan sentiasa belajar melindungi dirinya sendiri dan hanya sekali jatuh sakit setelah termakan buah beri beracun. Malah, ibunya juga masih seperti kanak-kanak dalam pelbagai hal dan sering menceritakan kisah tentang hutan kepada anak-anaknya. James juga membantu ibunya menulis buku tersebut yang dijadualkan akan terbit dalam bulan April tahun depan. Manakala Blink Films pula bercadang membuat filem dokumentari untuk tayangan televisyen mengenai masa kecil Marina.

Marina Chapman yang belajar menjadi tukang masak, bekerja di National Media Museum di Bradford sebelum mengubah kariernya untuk menolong anak-anak bermasalah.  Menurut para pakar, monyet diketahui boleh menerima kanak-kanak untuk menjadi 'ahli' kawanan mereka. Ianya berdasarkan peristiwa serupa yang telah dialami oleh seorang budak berusia 4 tahun dari Uganda yang ditinggalkan selama lebih dari setahun dan hidup bersama kera sebelum diselamatkan dan kembali hidup normal bersama manusia. 

Sumber asal : kompas.com

No comments: