Wednesday 4 July 2012

TOLAK PAS DEMI SELAMATKAN ISLAM...




Datuk Dr. Hasan Ali menyeru ahli dan penyokong tegar Pas menolak parti itu demi menyelamatkan Islam, Melayu dan institusi raja-raja yang disifatkan beliau menuju kehancuran angkara tindak-tanduk pakatan pembangkang.


Dalam siri jelajah ke-149 di padang Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, Hasan menganggap beliau tertipu dengan parti itu yang kini tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan kepimpinan ulama.


Beliau yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, dua prinsip utama perjuangan Pas itulah yang mendorong beliau menyertai parti tersebut suatu ketika dulu meskipun sebelum itu telah berkhidmat lama dengan kerajaan.



"Saya percaya dua sebab inilah yang mendorong kita semua masuk Pas. Saya sendiri mempunyai banyak pilihan tetapi saya memilih Pas kerana terpesona dengan perjuangan negara Islam dan kepimpinan ulama yang mereka laung-laungkan.


"Tetapi saya berasa sangat tertipu kerana kedua-dua perjuangan ini sudah tidak lagi diutamakan kerana matlamat pemimpin-pemimpin Pas sekarang adalah Putrajaya," katanya di hadapan lebih 3,000 orang yang hadir di ceramah berkenaan.


Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.


Hasan berkata, Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 tahun lalu menegaskan parti itu akan menegakkan negara berkebajikan di Malaysia.


Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, prinsip perjuangan parti itu berubah setelah 70 peratus daripada barisan kepemimpinannya dikuasai oleh pemimpin sekular yang beliau sifatkan sebagai parasit.


"Pemimpin-pemimpin sekular ini fokus utama mereka adalah Putrajaya. Ketika saya menentang arak dan judi di Selangor dulu, DAP menentang habis-habisan kerana Putrajaya begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


"Lebih teruk apabila seorang pemimpin Pas datang ke rumah saya menyuruh supaya jangan terlalu bertegas soal arak dan judi itu kerana fokus utama sekarang adalah menawan Putrajaya dulu.
"Saya tidak boleh terima perkara itu kerana perjuangan saya, yang mungkar akan tetap mungkar. Dan disebabkan oleh perjuangan menegakkan Islam inilah saya akhirnya dipecat oleh Pas," tegasnya.

No comments: