Wednesday 4 July 2012

BUKTI LIWAT BERLAKU, ANWAR TIDAK LAYAK MENJADI PEMIMPIN....?


KUALA LUMPUR, 4 Julai - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin menyifatkan alasan penghakiman penuh Mahkamah Tinggi dalam kes liwat membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak layak menjadi Ketua Pembangkang dan ahli Parlimen.
Beliau yang dihubungi KLPOS memberitahu Anwar hanya dibebaskan dari disabitkan tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan dari segi undang-undang namun dari segi moral telah hilang kelayakan dan integriti bergelar Ketua Pembangkang dan ahli Parlimen.
"Dia (Anwar) sepatutnya letak jawatan kerana jelas dari penghakiman bahawa liwat berlaku.
"Cuma Anwar bernasib baik dengan sistem keadilan jenayah Malaysia yang meletakkan beban bukti terlalu tinggi kepada pihak pendakwaan iaitu melampaui keraguan munasabah," katanya.
Zulkifli dalam nada sinis memberitahu Ketua Pembangkang itu patut berterima kasih kepada sistem kehakiman yang diamalkan di negara ini yang membebaskan beliau atas dasar "kekhilafan teknikal".
Beliau turut berkata penghakiman ini sama seperti penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar dalam kes liwat Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan dengan alasan "kami percaya kejadian liwat berlaku tetapi tidak selamat untuk disabitkan kesalahan dari segi teknikaliti". 
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru ini turut mendesak agar Peguam Negara membuat petisyen rayuan dengan segera sebelum berakhirnya tempoh sepuluh hari yang diperuntukkan.

No comments: