Tuesday, 23 September 2014

AZMIN ALI ANGKAT SUMPAH MB SELANGOR YANG BAHARU


ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, sekitar jam 10.40 pagi tadi. Dengan perlantikan itu, beliau merupakan Menteri Besar Selangor yang ke - 15.


Angkat sumpah dilakukan sebanyak 3 kali disusuli dengan menandatangani 6 keping surat, witnessed by Shah Alam High Court Chief Judge Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali bersama isteri, Shamsida Taharin hadir pada Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu di Istana Alam Shah, Klang, pagi ini. - Foto Osman Adnan

Mohamed Azmin, 50, yang juga Ahli Parlimen Gombak, turut melafazkan ikrar "Aku Janji" merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi dalam tempoh memegang jawatan menteri besar.

Antara Aku Janji itu ialah memelihara dan menjunjung prinsip Rukun Negara, memastikan agama Islam tidak diganggu gugat, mempertahankan institusi raja, memastikan hak orang Melayu terpelihara, menjaga hak sah kaum lain serta mendahulukan rakyat.

Turut hadir, ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi; ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali; Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh; ADUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sabak, Sallehin Mukhyi.

Bagaimanapun, kebanyakan ADUN daripada DAP dan PKR tidak kelihatan dalam upacara istiadat berkenaan.


Sebelum itu dalam satu kenyataan,  Istana Selangor menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.



Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.


Menurutnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.


"Baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti PAS, PKR dan DAP.


"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa menteri besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor," katanya.


Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin mendapat surat lantikan dari Istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan tanda tanya siapa bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini.

PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Azmin memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh Istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.

PAS pula telah menyatakan akan mengikut pilihan dari Sultan Selangor.


Bagaimanapun Munir tidak memberikan sebab mengapa Wan Azizah ditolak.

Beliau dalam kenyataan sama turut menyanggah kenyataan yang mendakwa Sultan Sharafuddin Idris Syah telah mencampuri pentadbiran kerajaan negeri termasuk pelantikan menteri besar Selangor.

"Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain dari menasihati Datuk Menteri Besar Selangor.

"Di dalam urusan pelantikan menteri besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," kata beliau.

Selesai istiadat mengangkat sumpah di sini, Mohamed Azmin dijadual mengadakan kenduri kesyukuran di kediaman ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Kuala Lumpur bermula jam 12.30 tengah hari ini.

Post a Comment