Tuesday, 3 June 2014

SUKMA KE-17 : KALAH TENIS, PEMAIN DITUMBUK RAKAN SEPASUKAN


Kangar : 

Seorang atlet junior Sabah berusia 13 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk rakannya apabila mereka tewas dalam acara tenis, Sabtu lalu.


Dalam kejadian jam 4 petang di gelanggang tenis Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra itu, mangsa mendakwa ditumbuk suspek berusia 17 tahun selepas atlet senior terbabit tidak puas hati dengan permainan dipamerkannya.

Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kes berkenaan antara 16 laporan diterima pihaknya membabitkan atlet dan pegawai SUKMA Perlis sejak 24 Mei lalu.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kangar sebelum polis mengambil keterangan kedua-dua pihak.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Md Zukir, setakat semalam, sebanyak 16 laporan polis diterima membabitkan insiden sepanjang SUKMA.

Katanya, daripada jumlah itu kertas siasatan untuk tujuh kes sudah dibuka masing-masing membabitkan empat mencuri di dalam bangunan, dua curi dan satu mendatangkan kecederaan.

“Salah satu daripada kes mencuri di dalam bangunan membabitkan pelajar tingkatan tiga dan empat sebuah sekolah. Mereka terbabit ketika upacara perasmian SUKMA.

“Kedua-dua tertuduh sudah didakwa di Mahkamah Majistret 29 Mei lalu dan mengaku bersalah mencuri beg dan beberapa barangan peserta SUKMA,” katanya.

No comments: